Followers

Friday 21 December 2012

[Resensi Buku] Kenapa Kalau Kisah Psycho Mesti Guna Topeng Putih Ni? MENTAL Shaz Johar boleh jawab tak?






MENTAL
Shaz Johar

ISBN: 978-967-0374-18-5
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh terbit: November 2012         
Halaman: 299
Harga: RM19.90











Salam. Masih lagi bercakap-cakap perihal hari kiamat? Good, kerana kerana bila bercakap tu hati mula nekad untuk bertaubat. Bukan hanya borak-borak kosong. Ingat, kiamat tetap datang. Cuma kita tidak tahu bila harinya kerana itu rahsia Tuhan. Well, tak perlulah you all sibuk-sibuk nak google, mengkaji atau membaca sampai bengkak mata semata-mata mahu mendapatkan maklumat setepatnya bila hari kiamat tu berlaku. Rahsia Allah tetap rahsia Allah.


Okey, okey, okey. Terlebih suda lah kan... Well, saya nak tanya, kenal Shaz Johar? Atau ingat lagi dengan Shaz Johar? Mental adalah buku ketiga beliau. Sebelum ini Shaz Johar telah pun menghasilkan Kougar dan Tabu. Bagi saya Mental adalah buah tangan beliau yang terbaik. Walaupun agak mengelirukan, tapi idea beliau dalam Mental tidak boleh dipandang ringan. Tabik tanpa henti untuk beliau!


Pada mereka yang hendak mengenali Shaz Johar dengan lebih dekat, pergi sahaja ke blog beliau. Ala... Bukan susah pun. Klik sahaja di sini.


Di mana saya hendak bermula ya? Well, novel ini sering menganggu ketenangan saya. Bila sudah mula baca, saya langsung tidak boleh berhenti. Semuanya kerana rasa ingin tahu apa yang tidak kena dengan Maya? Atau keluarga Kosygin?  Atau keluarga di kampung? Atau orang –orang lain? Mental? Sesuailah dengan tajuknya. Tapi siapa yang mental sebenarnya? Wah, banyak soalan tu. Oleh kerana darah CSI saya membuak-buak, saya mula menyelak-nyelak halaman belakang untuk tahu mencari jawapan.


Okey, itu memang habit saya bila baca novel. Sesekali saya akan baca bahagian belakang untuk menjawab persoalan kepada ‘sesuatu’ yang saya ingin tahu sangat-sangat. Sesetengah orang mesti kata, tak best  buat macam tu. Dah rosak mood sebab dah tau jalan cerita. Well, saya sebenarnya tidak kisah. Saya juga tidak kisah pada mereka yang  dipanggil ‘spoiler’. Bila sudah dapat jawapan, nah, barulah saya dapat membaca dengan senang hati.


Apa jawapan yang saya cari dari belakang novel ini? Silalah dapatkan naskah ini secepat mungkin. Malam ini saya memang nak masukkan entri seringkas mungkin. Bukan tidak mahu berkongsi tapi saya rasa novel ini agak mencabar dan saya mahu kamu pun turut merasainya nanti. Biasalah, genre psycho-thriller memang begini. Lain yang kita agak, lain yang jadi. Kan Shah Johar kan?


Selamat malam semua. Sebelum tidur jangan lupa baca doa.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Tuesday 18 December 2012

Himpunan Kisah Thriller Dalam Jiwa Kacau




Antologi Jiwa Kacau

Elee Mardiana, Attoks Dikulgai, Lyn Dayana, Dhiya Zafira, Salina Salleh

ISBN: 978-983-124-785-3
Penerbit: Alaf 21
Tarikh terbit: 2012         
Halaman: 552
Harga: RM22.00




Salam. Apa khabar bookworms sekalian. Sudah habis membaca atau buku dah tutup muka? Good. Mesti ada yang begitu sibuk hingga  tidak sempat langsung untuk menyelak hatta satu muka surat pun. Faham. Maklumlah sekarang kan cuti sekolah. Hujung tahun pula tu. Masa untuk clearkan saki baki cuti tahunan. Pada mereka yang bercuti, selamat bercuti tapi jangan abaikan keselamatan diri, okey.

Now,kita kembali kepada resensi buku. Walaupun  sibuk menjadi tourist guide untuk keluarga yang datang bercuti, saya tetap berjaya menghabiskan satu novel antologi. Tajuk di atas ya. Ia mengandungi 5 kisah yang ditulis oleh 5 orang penulis.  Namun hanya 3 daripadanya yang saya kira mantap. Bookworms, jangan sentap dulu ya. Sesuai dengan tajuknya,  semua kisah berkisar tentang manusia yang jiwanya kacau. Whooo...jiwa kacau. Satu situasi yang rumit untuk ditangani sendirian sebenarnya. Mungkin akan berakhir dengan positif dan mungkin juga negatif. Bergantung kepada individu  itu sendiri dan juga sokongan orang terdekat.

Jom kita review satu persatu. 




TRAGEDI DI LAMPU ISYARAT – Elee Mardiana

Penulis ini telah berjaya menghasilkan banyak  novel. Kalau tidak silap ada 6 novel bersama Alaf21 (2 adalah genre fantasi). Tragedi Di Lampu Isyarat ini membawa kita kepada seorang gadis mat saleh iaitu Rita. Sejak pulih dari satu kemalangan (berlaku berdekatan dengan tempat tinggalnya di New York) yang meragut nyawa kedua orang tuanya serta seorang lagi mangsa (Juliana), Rita sering diganggu suara Juliana yang memintanya untuk mencari pembunuh adiknya, Johanis. Rita nekad untuk membantu dengan meninggalkan segala yang dimilikinya di New York lalu berpindah ke Malaysia. Di Malaysia, dia memulakan pencariannya bersama sama Atikah, kawan baik Juliana. 

Di Malaysia, Rita bertemu pula dengan Mukhlis yang dia syaki ada hubung kait dengan kematian Johanis. Dari situ, Rita memulakan rancangan untuk memerangkap Mukhlis dengan harapan dapat menemui mayat Johanis. Untuk menjayakan rancangannya, Rita mengahwini Mukhlis (hmmm..tak ada ke cara lain? Kahwin juga yang dia nak!). Berjayakah Rita membuat Mukhlis mengaku? Itu kena baca sendiri. Saya malas nak beritahu.

Okey, cerita ini pada saya so-so saja. Mungkin kerana kisahnya pendek maka jalan ceritanya kurang mantap. Maklumlah, idea jadi terhad. Banyak 'lubang' yang saya temui. Namun saya suka pada permulaan ceritanya. Terasa thrill-nya di situ. Kalaulah betul manusia ada kelebihan mendengar bisikan dari orang mati dibunuh, tentu dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes pembunuhan kan? Penjenayah pun takut. Mana tidaknya bila tiba -tiba kita tuding jari kata "dia yang bunuh". Hehe.. Kita ke next story pulak.



MENARI DALAM DUKA - Attoks Dikulgai

Ini adalah kali pertama saya membaca hasil tulisan penulis ini. Saya mengenali nama Attoks Dikulgai sebagai penulis aliran indie. Bagaimanapun saya tidak pernah lagi membaca mana-mana karyanya. Mungkin selepas ini. Menari Dalam Duka bagi saya amat menarik. Malah telah mendedahkan saya kepada maklumat yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini dan ia merupakan salah satu daripada 3 kisah yang saya gemari dalam siri antologi ini. Ianya boleh saya kategorikan sebagai thriller aksi ala-ala filem gangster Hong Kong.

Hmmm...saya perasan ayat-ayat saya di atas agak panjang. Maklumlah, teruja lebih. Tapi tak apa kan? Okey, kisahnya berkenaan dengan Arzam Domino, Ghazeem dan sedikit pemanis cerita iaitu Tria. Mereka ini anak yatim yang dibesarkan oleh Tuan D (Godfather). Cuma Arzam dan Ghazeem yang terlibat dengan aktiviti jenayah yang dijalankan oleh Tuan D. Nama pun dunia jenayah, tiada yang jujur. Berlaku pengkhianatan dalam organisasi. Ghazeem yang gila kuasa telah berpaling tadah untuk menjatuhkan Tuan D serta merampas teritory yang dipegang oleh Tuan D selama ini. Pengkhianatan Ghazeem bukan setakat terhadap Tuan D, malah juga kepada Arzam. Disebabkan itu Arzam ‘tercampak’ jauh dari kehidupan jenayah yang dia lalui selama ini. Apa yang berlaku kepada Arzam? Itu kena beli dan baca sendiri ya.



DENDAM BUNGA DAHLIA - Lyn Dayana

Teringat saya dengan filem 'I Know What You Did Last Summer'. Kisah  psiko thriller ringan yang dapat diagak penamatnya. Kisahnya diolah dengan teratur dan setiap watak yang terlibat mempunyai 'cerita' sendiri. Ia membolehkan kita mengikuti perkembangan setiap watak yang ada dan dengan gaya penulisan sebegini membolehkan saya membacanya dengan cepat.. Kisah ini juga antara yang saya suka. Namun watak si psiko kurang didedahkan.

Dania, Tihani dan Eda bertemu kembali setelah 10 tahun berpisah. Dulunya mereka berkawan baik. Selepas habis SPM mereka bersama-sama rakan lain bercuti ke Cameron Highland. Namun percutian bertukar malapetaka apabila Halil bunuh diri kerana cintanya ditolak oleh Dania. Errr...rapuhnya alasan untuk bunuh diri. Kini selepas 10 tahun mereka bertemu kembali tapi dalam situasi yang amat dingin. Masing-masing tidak menyukai satu sama lain sehingga mereka menjadi subjek seorang pembunuh bersiri. Disebabkan hal ini hubungan mereka mula rapat. Lebih kepada untuk melindungi diri dan mencari punca kenapa mereka diburu pembunuh bersiri itu. Siapakah pembunuh bersiri itu kepada mereka? Dan mengapa mereka diburu?



BURU BAYANGAN LUKA - Dhiya Zafira


Apa rasanya bila orang tuduh kita gila padahal kita tidak gila? Tapi orang akan kata pula yang orang gila tak akan mengaku dia gila. Betul tak? Hehe.. Okey, Azalea pernah masuk hospital gila kerana beberapa kali cuba untuk membunuh diri. Kematian bapanya telah meninggalkan kesan mendalam terhadap mental Azalea. Harta yang ditinggalkan ayahnya tidak mampu untuk memulihkan Azalea sehingga dia mula berhalusinasi ada orang yang ingin membunuhnya. Apakah benar Azalea berhalusinasi?

Kisahnya best sangat untuk dibaca. Saya pernah baca novel beliau bertajuk 'Hati Bergetar Rindu'. Best tau! Nanti saya akan cuba dapatkan novel beliau yang lain pulak. Tapi apa-apa pun baca yang ini dulu. Sayangnya halaman bukunya terhad. Kalau dikembangankan sudah tentu akan menjadi sebuah novel suspen-thriller-cinta. Eh?



CINTA BERDARAH - Salina Salleh


Hmmm...bagaimana saya nak rumuskan kisah yang terakhir ini ya? Saya tidak tahu di mana hendak bermula kerana jujurnya saya langsung tidak faham apa yang ingin diceritakan. Mungkin minda saya tidak cukup bijak untuk mentafsir apa yang ingin disampaikan penulis. Harus makan supllement penguat minda kot!

Bagi saya ia kisah gila, segila watak Helmi. Saya yang membacanya hampir juga gila. Ingin saja saya mencarik-carik halaman kisah ini kerana  'blur' dengan apa yang diceritakan. Kasihan!



Okey bookworms. Walaupun malam masih muda tapi mata sudah mula mengantuk. Jadi, saya layan mata dulu ya. Silalah membaca dengan rasa bahagia. Selamat malam semua.






Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Friday 7 December 2012

[Resensi Buku] Gergasi





GERGASI
Khairul Nizam Khairudin

ISBN: 978-967-0374-17-8
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh terbit: November 2012         
Halaman: 320
Harga: RM19.90




Salam. Apa khabar? Semoga semuanya sihat walafiat hendaknya ye.Lama betul tak buka blog sendiri (ayat biasa orang malas!). Haha...ini betul okey. Memang setiap kali bangun pagi dan sebelum keluar pergi kerja, hati kata nak update blog aka review novel balik nanti tapi bila dah nampak bantal, apa pun tak boleh.


Bila FIXI kata ada penulis dari PTS akan hantar karya, saya mula tertanya-tanya. Kenapa dan siapa? Seperti yang kita tahu, PTS amat menitikberatkan penggunaan bahasa dalam penulisan serta acuan yang lebih ‘local’. Adakah penulis ini tidak mencapai standard yang ditetapkan? Atau mungkin juga ingin beralih angin? Jadi, tunggu  punya tunggu maka keluarlah GERGASI


Melihat nama penulisnya sahaja sudah membuatkan saya tersenyum lebar. Lama saya tunggu karya terbaru beliau. Masih ingat lagi kehebatan ‘ANARKIS’nya. Begitu juga dengan KUDETA INTRO dan KUDETA KLIMAKS.  Pada saya ANARKIS adalah antara novel thriller ketenteraan terbaik yang ditulis oleh penulis malaysia. Maka, secara tidak langsung saya meletakkan high expectation pada GERGASI untuk menjadi sehebat ANARKIS


Namun GERGASI tidaklah sehebat tajuknya. Maaf kalau kedengaran agak keterlaluan. Bagi saya jalan ceritanya tidak begitu ‘licin’ seakan-akan saya dibawa melompat ke sana sini kerana terlalu banyak kejadian yang berlaku dalam satu masa. Dengan watak-watak yang tidak cukup menonjol, hampir sahaja membuatkan saya membacanya separuh jalan.


Arghhh...kenapa saya asyik terbayangkan Iron Man ketika membaca GERGASI. Cukup menganggu minda sebenarnya bila saya tidak dapat menghayati apa yang ditulis. Rasanya sama seperti makan ketika diserang selsema. Apa pun tak rasa. Mana menghilangnya jiwa thrillermu wahai  penulis? 


Namun kelebihan tetap datang bersama kelemahan. Saya rasa kagum bila Khairul Nizam Khairani menceritakan asal usul penciptaaan DEMON iaitu sejenis sut perisai luar biasa dengan memasukkan sedikit elemen sejarah dunia. Seakan akan saya diimbas kembali tentang sejarah perang dunia walaupun nama tempat dan tarikhnya diubah.


Hati saya juga sedikit terkesan di bahagian akhir buku ini di mana Aman bersama pasukannya ditugaskan untuk menawan Pulau Hainan. Dapat saya bayangkan kekalutan dan kesukaran yang mereka hadapi dalam misi tersebut. 


Apa-apa pun ini hanya pendapat saya. Semestinya tidak sama dengan yang lain. Mungkin kerana saya terbiasa dengan 3 novelnya yang terdahulu maka saya tidak dapat menghadam karyanya yang berbentuk sci-fi. Kepada mereka yang suka genre begini, buku ini wajib dibaca. Saya percaya ia dapat melonjakkan satu rasa yang sama seperti ketika kamu menonton filem genre sebegini.


Kepada Khairul Nizam Khairani, teruskan usaha anda menulis dalam genre thriller kerana saya percaya dengan bakat anda. Saya tetap akan beli buku anda selagi nama anda KHAIRUL NIZAM KHAIRANI.



Sinopsis
 Tahun 1511. Di kala kota Melaka sedang diserang, muncul gergasi misteri yang digelar Batara Waja membantu hulubalang tempatan menghadapi askar Portugis. Namun dalam satu pertempuran, Batara Waja tiba-tiba hilang...

500 tahun kemudian. Siti Nuraini, seorang kurator di Muzium Negara, yang bersahabat dengan seorang pemuda bernama Rizal, telah menemui sebuah artifak aneh. Namun artifak itu hilang sewaktu dalam simpanan muzium. Kotaraya kemudiannya digemparkan dengan kemunculan gergasi yang membunuh manusia-manusia tertentu - dan lagenda Batara Waja kembali.

Rizal mengalami mimpi-mimpi aneh berkaitan gergasi tersebut dan sering pitam. Suatu hari, muncul seorang lelaki bernama Hu Xien yang memberitahu Rizal bahawa Rizal ada kaitan dengan kemunculan GERGASI itu!





Selamat membaca.








Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Monday 1 October 2012

[Resensi Buku] Murtad





MURTAD
Hasrul Rizwan


ISBN: 978-967-0374-12-3
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh terbit: Jun 2012        
Halaman: 323
Harga: RM19.90








Salam. Selamat berkunjung kembali ke ruang yang hidup segan mati tak mahu ini. Terima kasihlah kerana susah susah je datang jenguk blog semata mata nak tahu resensi tentang novel Murtad kali ini. Almaklumlah, buku yang mencetuskan kontroversi katakannnn... Kontroversi yang timbul bukanlah pada jalan ceritanya tetapi pada bahasa yang digunakan. Dikatakan pihak syarikat Popular menarik balik penjualan novel Murtad kerana bahasa yang digunakan tidak sesuai untuk dibaca. Ermmm... kes pengunaan bahasa melayu rendah. Saya tak nak komen sekarang. Baca dulu sampai habis, okey?


Saya antara yang lambat mendapatkan Murtad. Mungkin kerana kesukaran untuk mendapatkannya di kedai buku. Well, nama pun novel kontroversi, mesti ramai yang nak baca. Sampaikan ianya habis dijual seperti pisang goreng panas. Agaknya kut?! Haha, jangan percaya cakap saya, okey?


Okey, mari kita mula. Pada saya Murtad biasa-biasa sahaja walaupun isu yang diketengahkan isu besar. Ini kerana, yang ada dalam Murtad hanyalah berkenaan 2 orang pemuda yang diupah untuk membunuh orang-orang yang murtad. Tidak pula diceritakan punca murtad kepada watak-watak yang ada sedangkan merekalah yang perlu Adam dan Akhil bunuh. Sebagai pembaca, saya ingin tahu kenapa mereka murtad kerana saya percaya masing-masing ada kisah hitam yang menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada agama. Selebihnya hanyalah babak-babak pergaduhan antara Adam dan Akhil dengan kumpulan kongsi gelap. Jadi, bolehlah saya kategorikan novel ini sebagai novel aksi ringan dan tiada unsur suspen yang mendebarkan. Sorry to say.


Watak Adam dan Akhil mengingatkan saya pada cerita Men In Black. Kadang-kadang teringat pula saya pada cerita Supernatural. Semua itu tentang penghapusan makhluk yang membawa bencana kepada kehidupan manusia. Menarik juga bila Hasrul Rizwan mengadaptasikan idea ini ke dalam Murtad. Cumanya kurang digarap dengan baik sehingga menjadikan ia jalan cerita yang biasa sahaja.


Mungkin penulis perlu melakukan sesuatu untuk menutup ketidaklogikan ceritanya. Mana mungkin membunuh sebegitu ramai orang selama bertahun-tahun tanpa ditangkap. Okey,saya faham ini novel fiksyen. Sudah alang-alang tidak logik, apa kata penulis buatkan sesuatu yang Adam dan Akhil boleh lakukan supaya mereka tidak boleh dijejaki. Sebagai contoh, dalam Men In Black, mereka ada peralatan untuk menghilangkan ingatan orang. Dengan ini ceritanya mungkin menjadi lebih menarik.


Nasib baik Murtad diselamatkan oleh keletah Adam dan Akhil yang easy going. Terhibur juga rasanya. Ditambah dengan loghat utara yang penulis gunakan. Pada saya bahasa yang digunakan oleh Hasrul Rizwan tidak menjadi hal memandangkan ianya adalah loghat percakapan yang biasa digunakan oleh orang utara. Lagipun, berapa banyak sangatlah perkataan nokharom yang digunakan. Tidaklah sampai melekat di minda dan terus nanti akan terikut-ikut menyebut nokharom dalam perbualan harian. Orang KL mana nak guna loghat utara. Contohhh...


Lagi satu, budak-budak tak baca novel tebal seperti ini. Yang membacanya adalah orang-orang seperti kita dan saya percaya kita tidaklah pula dipengaruhi oleh bahasa yang digunakan. Melainkan kalau ianya ditayangkan di televisyen! Yang perlu dibimbangkan adalah babak-babak yang dimasukkan ke dalam cerita kerana itu yang akan membangkitkan imaginasi sekaligus membawa kepada rasa ingin-cuba-buat. Saya tidak memihak kepada mana-mana. Cuma saya rasa isu bahasa di sini tidak akan habis selagi ada pembaca yang mempunyai pelbagai citarasa.


Akhir kata, kalau penulis nak sambung cerita ini, kasi gempak sikit boleh? Peace.



Selamat membaca.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday 1 September 2012

[Bukan Resensi Buku] Selamat Hari Lahir





Salam aidilfitri dan salam merdeka. Selamat hari lahir untuk diri sendiri. Alhamdullillah kerana masih lagi dikurniakan nyawa serta diberi peluang untuk menikmati kehidupan. Bertambah usia bermakna saya harus terus gigih berusaha menjadikan diri sebaik-baik manusia, yang berguna untuk manusia lain dan supaya sentiasa mendapat perhatian Allah.

Beberapa hari ini saya mencari-cari kata-kata yang sesuai untuk diletakkan di sini. Maklumlah, kita selalu memikirkan sesuatu yang istimewa di hari lahir termasuklah kata-kata yang ingin diucapkan. Ada yang kata, apalah sangat hari lahir tu. Sama sahaja seperti hari-hari biasa, yang penting apa yang telah kita lakukan. Betul tapi saya percaya, hati mereka tetap tersenyum bila diucapkan selamat hari lahir. Nampak? Tak banyak sikit, tetap ia bermakna kepada kita. Oh ya! Sebenarnya saya berkongsi tarikh lahir dengan adik perempuan saya. Seronok juga bila berkongsi hari istimewa. Sayangnya, kami tidak dapat meraikannya bersama.

Okey, sebenarnya tidak perlu kata-kata indah berbunga-bunga pun. Ucapan 'Selamat Hari Lahir' itu sendiri sudah cukup istimewa dan membawa terus kepada maksudnya. Ditambah lagi dengan doa dari kamu. Tak perlu saya mencari-cari lagi mungkin.Terima kasih untuk ucapan dan doa yang baik-baik dari kamu. Semoga Tuhan kabulkan.

Sekali lagi, selamat hari lahir untuk diri sendiri dan semua yang lahir dalam bulan September. Semoga hidup kita sentiasa dirahmati Allah. Amin.


Hidup baik-baik.



"Periksalah buku kenanganmu semalam, dan engkau akan tahu bahwa engkau masih berhutang kepada manusia dan kehidupan." 



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Thursday 16 August 2012

[Resensi Buku] Saga Takluk Jagat - Karya fantasi melayu tanpa sedikitpun dipengaruhi unsur barat. Digambarkan seperti kisah Lord Of The Ring versi melayu.






SAGA TAKLUK JAGAT
(Bisikan Ariasha / Amukan Indera Bumi)
Zaki Zainol


ISBN: 978-967-5136-72-6
Penerbit: PTS Fortuna Sdn bhd
Tarikh terbit: Cetakan pertama 2011
Halaman: 756
Harga: RM35.00 (Sem. Malaysia)/RM38.00 (Sabah/Sarawak)




Salam. Sebelum balik kampung saya nak review satu novel fantasi melayu, yang buat saya teringat-ingat hingga sekarang. Begitu terkesan. Bagi saya, Siri Takluk Jagat umpama mutiara di dalam lumpur. Sesuatu yang luar biasa yang kita tidak sedar kewujudannya. Sebelum ini saya hanya mengikuti siri pengembaraan fantasi Sunan Musafir (Ramlee Awang Mursheed) dan Lagenda Alfarren (Mohd Zahar Yasin). Bezanya, Sunan Musafir menghidangkan kepada pembaca satu kisah fantasi yang di luar jangkauan minda, manakala Lagenda Alfarren secara totalnya terikat dengan acuan fantasi barat. 

Ketika saya mula bosan dengan ruang litup jenis genre novel yang dibaca, saya ternampak buku ini terselit di antara buku-buku yang saya 'beli tetapi tidak dibaca'. Rasanya hampir setahun buku ini berada dalam simpanan saya. Dan baru saya perasan buku ini mengandungi novel pertama dan novel kedua. Bisikan Ariasha pada novel pertama dan disambung dengan Amukan Indera Bumi pada novel kedua. Khabarnya, sebelum ini kedua-dua buku ini diterbitkan secara berasingan sejak tahun 2008. Namun yang saya baca sekarang adalah cetakan tahun 2011 (buku berkembar).

Huh, berat juga buku ni. Dengan ketebalan, lebar serta beratnya yang seperti kamus, memungkinkan saya tidak akan membawanya ke hulu ke hilir seperti selalu saya lakukan kepada buku-buku lain. Melihat pada tajuk serta kavernya membuat saya tertanya cerita jenis apalah Takluk Jagat ni. Mesti sebuah fantasi yang biasa-biasa dengan watak hero melawan kejahatan dengan dibantu kuasa magik, binatang sebesar naga atau sekecil toyol, latar belakang hutan serta kostum ala-ala barat. Persepsi pertama saya itu rupa-rupanya jauh meleset! 

Idea, tema, latar belakang, watak, nama watak, budaya, dialog, kostum yang dipakai, senjata yang digunakan, kesenian melayu yang ditunjukkan melalui silat dan pantun/syair/mantera berjaya digarap oleh penulis tanpa dipengaruhi sedikit pun oleh idea barat. Sangat melayu! Perasaan saya memang terbawa-bawa ke dalam setiap penceritaannya. Dengan bahasa yang mudah difahami serta sedap dibaca, membuatkan saya tidak sukar untuk mengambarkan setiap apa yang penulis sampaikan. Sehinggakan saya sudah mula membayangkan siapa pelakon yang memegang setiap watak sekiranya karya ini difilemkan. 

Novel pertama menceritakan pengembaraan watak hero, Budi Adi Jata yang mencari pembunuh datuknya serta sebilah keris pusaka miliknya yang turut dicuri. Keris tersebut juga mempunyai pasangannya, Indera Bumi yang mana turut dicuri semasa pegembaraan itu. Rupa-rupanya keris itu mempunyai cerita yang tidak Budi ketahui, dan sangat-sangat diidamkan oleh Penakluk Dakawa untuk membentuk semula kerajaannya yang pernah runtuh suatu ketika dulu. Dalam pengembaraannya, Budi berjumpa dengan Zilastri dan Puteri Ariasha yang turut menyertai misi pencarian itu. Kewujudan keris dan makhluk bunian mengingatkan saya pada cerita Lord Of The Ring. Boleh saya katakan bahawa Takluk Jagat ini adalah LOTR versi melayu. Haha!

Novel kedua pula lebih kepada peperangan besar yang berlaku di Tanah Ini. Peperangan disertai oleh angkatan tentera Dasyuria dan Sedinggi dan dibantu oleh tentera bunian ini menentang tentera Dakawa yang dibantu oleh tentera Sigorong (makhluk besar hitam serta bersifat jahat). 

Menariknya, dipermulaan buku ini ada peta Tanah Ini yang memudahkan kita membayangkan perjalanan kembara watak-wataknya. Sepanjang pengembaraannya, Budi Adi Jata mula membentuk jati diri sebagai seorang pendekar muda. Pengembaraan yang pada asalnya bermula dari sebuah dendam. Setiap watak baru diperkenalkan, mempunyai perwatakan sendiri dan berdiri dengan kukuh. 

Setiap bab akan meninggalkan satu persoalan yang sentiasa menjentik hati pembaca untuk mengetahui apa yang telah berlaku sebelumnya atau apa yang akan berlaku selepas itu. Hai... Saya sentiasa berdebar dan cemas setiap kali pertarungan berlaku. Nasib baik penulis sentiasa menyelitkan unsur unsur komedi yang boleh melegakan tense yang dialami. Banyak twist dan sub plot membuatkan hati saya sentiasa meronta untuk terus membaca dan membaca. Maka, tidak kira berat, saya kepit juga Takluk Jagat ke hulu ke hilir mencari setiap ruang waktu untuk menyambung bacaan. Ketagihan tanpa sedar!

Seni silat yang mengunakan jurus-jurus ilmu batin dibacakan bersama mantera dalam bentuk enam kerat. Wah, sungguh menarik dengan frasa indah. Kadang-kadang seperti menonton filem kungfu purbakala di mana setiapnya mempunyai nama jurus serta kuasa magiknya. Sememangnya melayu indah bahasanya.

Sehingga saya habis baca, jiwa saya masih lagi berada dalam environment pengembaraan serta pertarungan itu. Maka, sesekali saya akan baca kembali bahagian-bahagian yang super menarik. Akan adakah lagi karya fantasi melayu sehebat Takluk Jagat selepas ini? Semoga Siri Takluk Jagat tidak terhenti di sini kerana saya mengharapkan agar penulisnya meyambung beberapa siri lagi. Teringin saya melihat siri Takluk Jagat menjadi kegilaan seperti siri Sunan Musafir. Diharap keinginan saya ini sampai kepada penulisnya.



Selamat membaca dan salam aidilfitri serta maaf zahir batin untuk semua.






Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday 5 August 2012

Resensi Buku: Nama Atas Kertas





NAMA ATAS KERTAS
Nasron Sira RAhim


ISBN: 978-967-5118-29-6
Penerbit: Jemari Seni Sdn bhd
Tarikh terbit: Cetakan Pertama Januari 2010
            Cetakan Kedua Jun 2010
Halaman: 504
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)





Salam. Hujung minggu yang agak membosan tanpa aktiviti yang memerlukan saya memberi fokus yang tinggi. Jadi, ada baiknya saya menulis satu lagi resensi buku. Ya, tetap tidak lari dari genre thriller. Tentang satu penyiasatan pembunuhan bersiri. Baru sahaja habis dibaca. Nama Atas Kertas saya temui ketika sedang mencari-cari sesuatu di Google. Oh, ada lagi genre thriller yang saya terlepas pandang. 

Latar belakang cerita yang jelas iaitu Kedah membuatkan saya berfikir yang penulisnya berasal dari sana. Lalu, saya mencari sedikit maklumat tentang beliau. Bekas wartawan Berita Harian rupanya dan telah menghasilkan beberapa buah novel dan buku umum. Tidak hairanlah, ada watak wartawan. Novel ini adalah yang kedua selepas Enigma. Ketika dalam proses pembacaan, saya dapat rasakan kecenderungan kuat penulis ke arah genre thriller penyiasatan. Itu persepsi awal saya. Kaver novel? Agak bercelaru tanpa mesej yang spesifik. Mungkin itu yang penulis ingin tunjukkan, kecelaruan personaliti pembunuh.

Cerita berkisar tentang pembunuhan bersiri yang bermotifkan dendam dan juga rasa prejudis terhadap pasukan polis, yang dirasakan tidak boleh diharap untuk membela mangsa yang teraniaya. Lantas, dia mengambil keputusan untuk membunuh penjenayah yang terlepas dari hukuman. Idea yang klise. Namun penulis memberi satu kelainan dalam jalan ceritanya. Selesaikan teka-teki! Subjek meninggalkan tanda pada setiap mangsa yang dibunuh. Tanda itu berupa satu 'puzzle' yang perlu diselesaikan yang mana sebenarnya merupakan klu. Hebat! Sayangnya, seperti mana pihak polis buntu dengan "puzzle' itu, saya juga turut merasa buntu bila terpaksa membaca ayat demi ayat. Aduh, sedikitnya dialog!

Saya kurang menghayati jalan ceritanya. Mungkin saya terlampau sibuk membaca ayat demi ayat sehingga keterujaan saya yang memuncak pada awalnya perlahan-lahan menurun. Inilah kelemahan saya bila terpaksa membaca sesuatu yang diceritakan secara berjela-jela. Cepat sahaja hilang mood. Penerangan yang panjang tanpa adanya prinsip 'show don't tell' sangatlah merunsingkan minda pembaca. Namun ada babak yang saya suka iaitu info mengenai sains tulisan yang berkait rapat dengan personaliti kita. 

Saya perasan yang perkembangan watak Faiz dan Hanim sangat mendatar. Begitu juga dengan Wadi. Kenapa dihentikan begitu sahaja sedangkan dia adalah sebahagian dari cerita malah agak penting juga. Ya Tuhan, resensi saya kali ini sangat lain. Ini kerana saya tahu penulis ini begitu meminati cerita-cerita penyiasatan. Saya juga begitu dan atas sebab itu saya mengharapkan Nama Atas Kertas mampu membuatkan saya teruja hingga ke akhir bab.

Penulis ada memberi sedikit info-tahukah-anda mengenai sains siasatan jenayah di akhir halaman buku. Menarik sekali! Dan penulis memang seorang yang suka berkongsi info seperti itu. Untuk mengetahui apa lagi yang dikongsikan, boleh sahaja layari blog beliau. Macam-macam yang boleh diperolehi di situ.

Apa-apa pun idea memasukkan 'puzzle' itu sangat menarik. Saya pasti semuanya tentu sudah biasa dengan teka silang kata, mencari perkataan dan sodoku. Permainan minda yang menyeronokkan. Sekiranya pembaca ingin sama-sama menyelesaikan kes pembunuhan ini, sila sertai Faiz dan Hanim. Mana tahu anda lebih pantas menemui pembunuhnya.

Jadi, sudah bersedia untuk menyertai Faiz dan Hanim? Good luck to you! :)



Selamat membaca.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Friday 3 August 2012

Resensi Buku: Licik (FIXI)


Licik
Sham Hashim & Julie Anne


ISBN: 978-967-0374-09-3
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh terbit: 2012
Halaman: 272
Harga: RM18.90











Salam Ramadhan. Sudah separuh ramadhan kita lalui. Alhamdulillah. Semoga tiada kengkangan untuk kita terus menjalani ibadat puasa dan mendapat rahmat berterusan dari Allah.

Resensi kali ini adalah sebuah pulp-fiction dari keluaran FIXI. Huh! Nak review novel ni pun ambil masa berhari-hari. Punyalah malas! Licik saya kira antara yang laku keras dalam senarai novel keluaran FIXI. Ceritanya sangat mudah. Idea yang diketengahkan pula biasa-biasa sahaja tapi digarap dengan baik sekali. Abaikan sahaja standard bahasanya. Namapun dari FIXI. Kannn...

Selalu kita terbaca tentang penipuan wang ringgit sehingga mencecah jutaan ringgit. Kena tipu duit hantaran, MLM, kredit kad, gores dan menang dan beberapa kes lagi pernah hangat suatu ketika dulu. Tidak tahu mahu simpati pada mangsa atau tidak. Mungkin mangsa yang terlalu bebal atau si penipu yang terlalu licik. Hanya mereka yang terlibat yang tahu. Manusia memang sering lemah bila berdepan dengan wang ringgit. Inilah plot dalam Licik.

Okey, kurangkan celoteh bulan puasa. Jom kita lihat apa ada dalam Licik. Licik adalah novel kolaborasi pertama dari Fixi (mungkinkah akan ada lagi?)  Kerjasama yang baik sekali antara Sham Hashim dan Julie Anne (orang kampung saya, tahu?). Ia menimbulkan pelbagai rasa. Ingin saya beritahu awal-awal ceritanya juga ‘jujur’ ya. Tanpa tapis-tapis. Jadi, tidak perlu diulangbaca bahagian yang mencuit fikiran nakal. Sering juga jalan ceritanya mengingatkan saya pada kisah-kisah dari surat khabar.  Penceritaan yang bersahaja seringkali mencuit hati lebih-lebih lagi watak-wataknya sedaya upaya berlakon untuk menjayakan penipuan yang dirancang.

Alias-Fira-Sadik merupakan tunjang utama dalam novel Licik. Ketiga-tiganya adalah penipu tahap profesional. Tipu kiri tipu kanan. Tetapi sekali pun tidak pernah tertangkap. Wah, tipu kan? Haha. Okey, Fira dibesarkan oleh ayahnya, Alias untuk menjadi seorang penipu yang cekap – con artist. Semuanya dirancang dengan baik sehinggalah suatu ketika penipuan yang Alias lakukan telah menyebabkan kematian. Ia telah menjadi titik dendam yang menyebabkan perubahan besar berlaku dalam hidup anak beranak itu.  Kehadiran Sadik pula umpama buku bertemu ruas. Penipu dengan penipu. Kolaborasi yang sangat padan.

Saya tertarik dengan kata kata Alias,

“Nak tipu orang, bukan boleh sembarangan. Kau cuma boleh tipu orang yang tak jujur.”

Hehe. Bunyinya semacam satu prinsip pula. Namun dalam keseronokan membaca, saya terjumpa beberapa kesalahan pada nama. Nama Rais bertukar menjadi nama Alias, Engku Som jadi Engku Long. Hati-hati ya Encik Editor.

Babak di mana Fira ditipu Sadik membawa rasa simpati saya pada Fira. Bayangkan tanpa mengetahui yang dia ditipu, Fira bagai orang gila mencari Sadik yang disangkakan diculik. Kejamnya lelaki tu! Nasib baik akhirnya Fira dapat balik apa yang Sadik ambil daripadanya. 

Okeylah, saya rasa lebih baik baca sendiri. Ceritanya memang seronok. Maklumlah tipu sana sini tapi tak pernah kena tangkap. Macam mudah je kan? Well, tahniah untuk kedua dua penulis. Untuk Julie Anne, I wish you all the best! Mungkin akan datang boleh hasilkan novel dengan idea sendiri, okey?


Selamat membaca.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Tuesday 10 July 2012

Resensi Buku: Venom Suria


Venom Suria
Mazni Aznita


ISBN: 978-967-0342-40-5
Penerbit: Grup Buku Karangkraf (Buku Prima)
Tarikh terbit: 2012
Halaman: 692
Harga: RM25.90










Salam. Setelah menghabiskan masa hampir tiga minggu dengan sebuah novel sejarah, saya kembali kepada genre thriller. Kali ini penulisnya seorang wanita. Bagus sekali ceritanya. Dengan setebal 692 muka surat, saya menghabiskan bacaan dalam masa 2 hari di mana sebahagiannya saya baca sehingga ke pukul 4 pagi. Menarik. Sangat-sangat menarik dan saya tidak menyangka penulis wanita juga mampu untuk menulis kisah thriller sebegini baik. Prolognya sahaja sudah mampu membawa saya hingga ke akhir muka surat.

Kaver buku sangat ringkas. Dengan satu tangan yang memegang keris dan tangan yang lain memegang topeng serta percikkan darah sudah cukup memberitahu ini adalah kisah thriller. Banyak watak yang terlibat. Setiap watak pula mampu 'bercerita sendiri'. Penulis juga menggunakan teknik imbas kembali dan mimpi untuk menceritakan apa yang telah berlaku yang membawa kepada konflik watak-watak tersebut. Penyusunan plotnya juga menarik. 

Mari saya ringkaskan ceritanya. Venom Suria sebenarnya berkisar tentang penyiasatan siri-siri pembunuhan yang berlaku dan pemburuan ke atas kuasa jahat. Semua pembunuhan itu saling berkaitan. Namun pembunuhan itu bukan pembunuhan yang biasa-biasa. Okey pembaca, ini adalah thriller supernatural. Mungkin apa yang dibayangkan adalah cerita-cerita filem yang menentang kejahatan kuasa ghaib. Lebih kurang begitulah Venom Suria. Semestinya pelbagai halangan perlu dilalui sebelum dapat menghapuskan kejahatan kuasa ghaib.

Suria, gadis wartawan seorang pemburu berita jenayah. Ironinya, dia juga diburu oleh satu kuasa makhluk jahat - Mahira yang inginkan jasadnya untuk terus berkuasa. Sementelah, Suria adalah waris kepada jasad yang digunakan oleh Mahira sebelum ini. Dan transformasi itu perlu dilakukan pada malam bulan gerhana merah. 

Pembunuhan yang berlaku telah membawa kepada pembongkaran satu kumpulan pemburu Mahira. Kumpulan ini juga ingin membunuh Suria bagi menghalang Mahira dari mendapatkan Suria sekaligus menghapuskannya. Namun disebalik semua itu ada rahsia lain yang tersembunyi. Ada kisah yang mengaitkan satu watak kepada watak yang lain. Well, itu perkara biasa dalam satu-satu cerita bukan? Jangan risau kerana ia tetap akan memakukan mata kamu untuk terus membaca.

Saya kira penulisnya, Mazni Aznita boleh menjadi penulis pelapis dalam genre thriller. Buku ini adalah buku pertama untuk beliau tahun ini. Sebelum ini penulis telah pun menulis beberapa buah buku dan Venom Suria adalah antara yang mencabar kerana ini bukan kisah cinta. Saya tahu ada di kalangan pembaca yang kurang gemar dengan genre thriller yang dirasakan berat. Namun sekiranya ada di antara kamu yang ingin mencuba, boleh bermula dengan Venom Suria. Tidak ada masalah untuk difahami sekiranya kamu peminat drama bersiri atau filem berbentuk thriller supernatural. Mungkin tidak setahap penulis barat, namun ini sudah dikira cukup baik untuk penulisnya. 


Selamat membaca.



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday 17 June 2012

Review Novel: Adamaryam a.k.a Code X



ADAMARYAM
Xarine


ISBN: 978-967-5118-74-6
Penerbit: Jemari Seni Sdn bhd
Tarikh terbit: November 2011
Halaman: 504
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)






Salam. Jujurnya saya agak 'lost' dalam membuat review kali ini. Ini kerana novel Adamaryam telah lama saya habis baca ( lebih kurang 6 bulan lepas). Novel ini saya jumpa ketika melayari laman web Jemari Seni penghujung tahun lepas. Itulah kali pertama saya kenal dengan nama penulisnya. Beliau juga pernah menghasilkan 2 lagi novel iaitu Yuda dan Bintang-bintang Ke Syurga. Mungkin juga sekarang dalam proses menghasilkan Yuda 2.

Untuk memudahkan review, saya ulang-baca cerita ini sepintas lalu. Persepsi saya? Ia adalah sebuah cerita aksi-thriller yang ringan. Xarine membawa saya mengenali alam pekerjaan kilang. Bukan secara detail tapi cukup untuk saya tahu serba sedikit bagaimana keadaan bekerja di kilang. Saya anggarkan yang penulis sendiri adalah jurutera kilang (maaf,kalau saya silap). Banyak juga perkataan-perkataan yang berteknologi tinggi yang digunakan. Kebanyakannya tidak saya fahami namun ia tidak langsung mengugat keinginan saya untuk terus membaca. Bahasa kelantan pun ada. Kelakar rasanya bila mulut saya terkumat kumit mengulangi dialog  Bani. Hehe..

Okey, saya ringkaskan cerita. Adam mempunyai segala-galanya. Genius, berpangkat, ada rupa sehingga menjadi kegilaan ramai gadis-gadis kilang di situ. Bagi saya Adam adalah lelaki kategori 5 bintang! Adam berjaya mencipta formula Code X yang bakal mengubah kehidupan manusia. Wow, hebat! Apa itu Code X? Itu kena baca sendiri kerana Code X ini yang sebenarnya membawa kepada perkembangan plot Adamaryam (walaupun sinopsisnya seolah-olah mengambarkan Maryam adalah tunjang utama cerita ini).

Formula Code X yang dicipta itu mengheret Adam dalam konflik jenayah peringkat antarabangsa. Ramai yang mahukan formula tersebut. Kepercayaan dan kesetiaan bukan lagi perkara pokok. Wang adalah segala-galanya hingga Adam diculik dengan daya tipu muslihat oleh orang yang dipercayai. Musuh dalam selimut! Apabila projek bernilai jutaan USD itu hampir siap, formula itu pula diciplak dan menyebabkan projek itu hampir dibatalkan. Maka terbongkar satu demi satu rahsia disebalik penghasilan formula Code X. Sempurna, saya memang suka cerita aksi.

Oh ya, saya memang tidak menyentuh kisah cinta yang dipaparkan. Permulaan cerita memang agak perlahan. Pengenalan kepada watak-watak yang terlibat serta kaitan antaranya tidak begitu saya fokuskan. Bagi saya, itu hanya proses biasa dalam jalinan sesuatu cerita. Namun dipengakhirannya, saya terkesan dengan watak Bani. Walaupun niat sebenarnya baik namun cara Bani menyelesaikan masalahnya telah mendatangkan musibah pada diri sendiri. Betullah orang kata yang niat tidak menghalalkan cara.

Kesimpulannya, cerita ini memang sesuai untuk mereka yang suka genre aksi yang tidak keterlaluan. Diselitkan dengan kisah cinta untuk diseimbangkan dengan gaya cerita yang pantas dan mendebarkan. Secara peribadi, saya rasa yang Adamaryam boleh berdiri sendiri dalam genre begini tanpa melibatkan kisah cinta. Namun, penulisnya lebih tahu apa yang ingin disajikan. Apa-apa pun syabas saya ucapkan kerana mampu menulis cerita aksi-thriller sebegini.



Selamat membaca.



Even if they can buy the sun, they can't buy you.
Islam made your heart worth heaven.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday 3 June 2012

Review Novel: For One More Day ( Untuk Sehari Lagi)


FOR ONE MORE DAY
Mitch Albom


ISBN: 978-967-5783-06-7
Penerbit: PTS Litera Sdn bhd
Tarikh terbit: 31 Mac 2010
Halaman: 247
Harga: RM17.50











Novel ini merupakan novel terjemahan kedua yang saya baca untuk tahun ini selepas Gadis-gadis Kota Riyadh. Untuk Sehari Lagi diterjemahkan oleh PTS Litera, hasil karya Mitch Albom - For One More Day. Kisahnya adalah mengenai pertemuan yang sekejap antara anak dan ibunya yang sudah tiada. 

"Apakah yang akan kita lakukan jika kita diberi peluang melalui semula satu hari bersama orang yang kita sayang, yang sudah pun pergi?" - itulah persoalan yang diangkat dalam novel ini. Dan sehingga habis novel ini dibaca, saya percaya, kita tidak pernah tahu dan tidak mahu ambil tahu bahawa ibu adalah IBU yang paling baik sehingga kita sendiri menjadi ibu.

Charles 'Chick' Banetto cuba membunuh diri tetapi gagal. Dalam 10 tahun selepas kematian ibunya, dia mengalami kegagalan demi kegagalan (juga gagal dalam cubaan membunuh diri, heh!). Gagal dalam sukan besbol, perkahwinan, karier dan disisih oleh anaknya. Namun saya kira, menyesal atas pembohongan yang dia lakukan pada malam sebelum kematian ibunya yang lebih menghantui kehidupan Chick.

Sewaktu kecil, Chick disuruh memilih sama ada menjadi anak ayah atau anak ibu. Dia memilih untuk menjadi anak ayah sehinggalah lelaki itu meninggalkan mereka. Mulai saat itu, Chick beralih menjadi anak ibu. Namun sepanjang kehidupan bersama ibunya, ada perkara-perkara yang dia tidak tahu mengenai ibunya. Seperti kehidupan kita sendiri, adakalanya kita suka dan adakalanya kita tidak suka ibu kita (proses pembesaran dari kanak-kanak hingga dewasa). 

Dan kegagalan membunuh diri (Chick percaya yang roh ibunya telah menyelamatkan dia) telah memberi peluang pada Chick bersama dengan ibunya untuk sehari lagi. Di sinilah bermula kisah yang Chick tidak tahu, mengenai bagaimana ibunya berusaha keras untuk membesarkan mereka, perasaan ibunya dan kekecewaan yang ibunya alami selepas berpisah dengan suami.

Gaya penulisan Mitch Albom cukup santai tetapi mampu membuat saya rasa hiba. Hiba kerana sesungguhnya kita tidak pernah nampak dengan jelas kasih sayang seorang ibu dan kepayahannya dalam membesarkan anak-anak. Dan yang paling suka saya baca ialah surat-surat ibu untuk Chick. Sangat menyentuh hati.

Novel ini sedikit berat. Maklumlah, kisah keluarga. Namun saya jamin pembaca tidak hampa dengan ceritanya. Banyak pengajaran yang diperolehi. Di bawah ini saya sertakan beberapa quotes yang ada dalam novel ini,


"Berbalik kepada sesuatu yang sudah kamu tinggalkan tidak semudah yang kamu sangka" (ms. 163)

"Apabila seseorang sentiasa dalam ingatan kamu, dia tidak hilang sepenuhnya. Dia mampu datang kepada kamu walaupun pada masa-masa tidak diduga." (ms. 179)

"Kekal setia dengan keluarga. Itulah yang menjadikan satu keluarga bahagia." (ms. 229)

"Anak tidak sepatutnya dipaksa memilih." (ms. 235)

"...kamu boleh menjumpai sesuatu yang amat berharga dan penting dalam waktu-waktu yang dianggap biasa." (ms. 241)

"Kadang-kadang, ceritanya mudah sahaja,dan kadang-kadang sebabnya pedih dan menyayat hati. Tetapi di belakang setiap cerita kamu, sentiasa ada cerita ibu kamu, sebab cerita kamu bermula daripada ceritanya." (ms. 243)


Selamat membaca.



Ingati saya semasa hari-hari ini, bukan hari-hari saya yang lalu.












Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Monday 21 May 2012

Review Novel: Datang Pada Waktunya



Datang Pada Waktunya
Maria Kajiwa


ISBN: 978-967-365-121-4
Penerbit: Fajar Fakeer Sdn Bhd
Tarikh terbit: April 2012
Halaman: 476
Harga: RM20.00

~Tiada yang lebih indah daripada apa yang ada antara kita~






Datang Pada Waktunya. Sebelum ini saya membaca beberapa bab dari novel ini di sini. Maria Kajiwa memang tidak pernah mengecewakan saya dengan hasil tulisan beliau. Saya memang tidak suka kisah cinta yang melewah. Namun, bila penulis menyelitkan sedikit kisah cinta di dalamnya, saya tidak mampu menolak. Tidak ada perasaan cinta yang keterlaluan dan membuai-buai sehingga membuat para pembaca berangan-angan untuk bercinta seperti itu.

Untuk satu, dua bab permulaan, agak perlahan bagi saya. Mungkin kerana saya sudah membacanya di blog Kak Maria menyebabkan saya tidak sabar untuk tahu apa cerita keseluruhannya. Membaca novel beliau kali ini membuatkan jiwa saya sedikit 'terseksa'. Ini kerana Maria Kajiwa sedikitpun tidak memberi hint apa yang berlaku seterusnya. Setiap kali beralih bab, setiap kali itu juga hati saya semakin ingin tahu. Apa yang berlaku sebenarnya?

Datang Pada Waktunya mengambil latar tempat sebuah perkampungan di Pahang. Saya rasa ia adalah sebuah perkampungan bunian. Edri, telah ditugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes sebuah projek pembinaan jambatan yang terbengkalai selama 45 tahun. Beberapa orang telah dihantar untuk tugas tersebut tetapi tidak pernah kembali lagi selepas itu. Mereka menjadi kes 'orang hilang'. Tiada pilihan, Edri terpaksa bersetuju dan membawa sekali rakan serumahnya, Adam untuk pergi menemaninya ke Bandar Durian Lima. Semasa perjalanan menuju ke bandar tersebut (ikut jalan lama yang sudah lama ditutup), kereta mereka telah dilanggar oleh kenderaan lain menyebabkan ia rosak dan tersadai tepi jalan. Nasib mereka baik kerana bertemu dengan Saleha dan Murni, penduduk Kampung Durian Lima (kampung yang terlibat dengan pembinaan jambatan itu) . Mereka dibawa ke kampung itu dan tinggal di sana untuk beberapa waktu sehingga masalah jambatan itu selesai.

Semasa di sana, Edri dan Adam terpaksa menyesuaikan diri dengan cara hidup kampung. Pelbagai peristiwa yang mereka alami. Jam tangan mati, kompas tidak berfungsi, duit zaman british, kehidupan kampung yang serba kekurangan, tanpa kemudahan eletrik dan air yang sempurna, gaya hidup yang berbeza serta penerimaan penduduknya terhadap orang luar. Telah lama kita tinggalkan kehidupan kampung yang begitu terutamanya dalam hal permuafakatan dan saling mengambil berat di antara satu sama lain. Betapa zaman sudah berubah, dunia sudah maju.

Atas layanan yang baik, Edri telah jatuh cinta pada Saleha namun di halang oleh Hasan yang telah lama berhajat untuk memiliki Saleha. Penentangan demi penentangan dilakukan oleh Hasan terhadap Edri dan Adam sehinggalah suatu hari keadaan bertambah parah bila mereka dikatakan telah melakukan onar di kampung itu. Mereka diburu tetapi Edri tidak menyerah begitu sahaja. Dia memutuskan untuk dibawa berjumpa dengan Tok Ampat. 

Siapa yang membuat onar sebenarnya? Dan ketika itu, terbongkarlah siapa sebenarnya Saleha dan apa yang berlaku kepada mereka yang hilang sebelum ini. Ceritanya memang penuh debaran. Kita hanya tahu apa sebenarnya berlaku hanya diakhir cerita. Salute untuk Maria Kajiwa kerana berjaya membuat saya terus membaca sehingga pukul 1 pagi!

Secara halusnya cerita ini membawa kita kepada nilai nilai yang sudah lama hilang. Pemuafakatan, saling bekerjasama, maruah, kehidupan melayu tradisional, persahabatan dan pengorbanan. Dapatkan novel ini dan sila baca sampai habis.



"Berani itu bukan bermakna berani melawan sahaja, berani juga bermakna berani menghadapi dan menerima"





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday 5 May 2012

Invasi-Buku Fixi





Invasi
Raja Faizal


ISBN: 978-967-0374-07-9
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh terbit: April 2012
Halaman: 310
Harga: RM19.90











Saya baru usai membaca Invasi. Kali ini saya mengambil masa agak lama untuk menghabiskan bacaan. Bukan kerana jalan ceritanya tidak bagus, melainkan saya yang dihimpit kesibukkan dan keletihan. 

Bagi saya, Invasi adalah salah satu novel sci-fi yang enjoy dibaca. Ringan dan tidak banyak menggunakan perkataan saintifik yang boleh memeningkan kepala. Melihat kavernya sahaja dah cukup buat kita tahu isi ceritanya. Sungguh "angkasa lepas" you!

Ceritanya berkenaan serangan alien. Bermula di klcc, penjajahan alien merebak ke utara dan selatan. Banyak kematian dan kemusnahan berlaku. Rupa-rupanya klcc menyimpan satu rahsia yang orang tidak tahu. Serangan itu telah menyebabkan kehidupan manusia berubah sekelip mata. Latar belakang cerita adalah sekitar kawasan Kuala Lumpur. Jadi, ada di antara kamu yang biasa dengan tempat-tempat tersebut. Sila bangga!

Raja Faizal 'memandu' plot cerita dengan baik sekali. Bermula dengan usaha Bavani dan Anwar menyelamatkan diri, ia akhirnya menjadi usaha untuk menghancurkan alien-alien tersebut. Matlamatnya jelas, untuk melepaskan manusia dari cengkaman alien dan mengembalikan keamanan yang telah dirampas. Jadi, you all dihidangkan dengan jalan cerita yang penuh dengan acara lari-lari dan tembak-tembak okey. Cuma penulis tidak memvisualkan rupa alien dengan begitu detail. Sekadar memberitahu tentang saiz, suara dan rupa gigi alien yang runcing. Apa yang saya visualkan hanyalah rupa toyol yang dibesarkan saiz tubuhnya! Hehe..

Saya suka watak Bavani. Daripada seorang yang suka berpoya-poya, dia berubah menjadi seorang yang bertanggungjawab dalam memastikan kelangsungan hidup orang-orang di sekelilingnya. Memang patut pun. Dia kan hero. Hero kenalah orang yang boleh diharap dan bertanggungjawab. Betul tak?

Saya juga suka bab ketika mereka kesuntukkan masa untuk sampai ke Bandar Utama (satu-satunya zon penyelamat yang tinggal). Kalau dalam filem sudah tentu terangkat kaki tengok aksi dan insiden yang berlaku. Namun, nama pun cerita. Tak bestlah kan kalau cepat sangat selamat. Harapan mereka musnah bila tempat yang menjadi harapan terakhir itu juga menjadi sasaran serangan alien. Dapat saya rasakan kekecewaan yang mereka alami.

Well, panjang pulak review saya kali ni. Mungkin kerana saya cuba untuk review dengan cara yang betul. Maklumlah, saya tidak ada asas untuk buat review. Ni tengah nak belajar. Jadi, sila beri tunjuk ajar ye.

Bagaimana cerita ini berakhir? Apa yang boleh saya kata; setiap apa yang diperolehi, ada harga yang harus dibayar.

Okey, kawan-kawan. Tulisan kecil dalam blog ini bukan untuk di tenung lama-lama. Nanti rabun mata. Sudah! Pergi dapatkan buku ini dan baca.


Selamat membaca.


" Doa tanpa usaha itu bohong, dan usaha tanpa doa itu sombong."









Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...