Followers

Thursday 16 August 2012

[Resensi Buku] Saga Takluk Jagat - Karya fantasi melayu tanpa sedikitpun dipengaruhi unsur barat. Digambarkan seperti kisah Lord Of The Ring versi melayu.






SAGA TAKLUK JAGAT
(Bisikan Ariasha / Amukan Indera Bumi)
Zaki Zainol


ISBN: 978-967-5136-72-6
Penerbit: PTS Fortuna Sdn bhd
Tarikh terbit: Cetakan pertama 2011
Halaman: 756
Harga: RM35.00 (Sem. Malaysia)/RM38.00 (Sabah/Sarawak)




Salam. Sebelum balik kampung saya nak review satu novel fantasi melayu, yang buat saya teringat-ingat hingga sekarang. Begitu terkesan. Bagi saya, Siri Takluk Jagat umpama mutiara di dalam lumpur. Sesuatu yang luar biasa yang kita tidak sedar kewujudannya. Sebelum ini saya hanya mengikuti siri pengembaraan fantasi Sunan Musafir (Ramlee Awang Mursheed) dan Lagenda Alfarren (Mohd Zahar Yasin). Bezanya, Sunan Musafir menghidangkan kepada pembaca satu kisah fantasi yang di luar jangkauan minda, manakala Lagenda Alfarren secara totalnya terikat dengan acuan fantasi barat. 

Ketika saya mula bosan dengan ruang litup jenis genre novel yang dibaca, saya ternampak buku ini terselit di antara buku-buku yang saya 'beli tetapi tidak dibaca'. Rasanya hampir setahun buku ini berada dalam simpanan saya. Dan baru saya perasan buku ini mengandungi novel pertama dan novel kedua. Bisikan Ariasha pada novel pertama dan disambung dengan Amukan Indera Bumi pada novel kedua. Khabarnya, sebelum ini kedua-dua buku ini diterbitkan secara berasingan sejak tahun 2008. Namun yang saya baca sekarang adalah cetakan tahun 2011 (buku berkembar).

Huh, berat juga buku ni. Dengan ketebalan, lebar serta beratnya yang seperti kamus, memungkinkan saya tidak akan membawanya ke hulu ke hilir seperti selalu saya lakukan kepada buku-buku lain. Melihat pada tajuk serta kavernya membuat saya tertanya cerita jenis apalah Takluk Jagat ni. Mesti sebuah fantasi yang biasa-biasa dengan watak hero melawan kejahatan dengan dibantu kuasa magik, binatang sebesar naga atau sekecil toyol, latar belakang hutan serta kostum ala-ala barat. Persepsi pertama saya itu rupa-rupanya jauh meleset! 

Idea, tema, latar belakang, watak, nama watak, budaya, dialog, kostum yang dipakai, senjata yang digunakan, kesenian melayu yang ditunjukkan melalui silat dan pantun/syair/mantera berjaya digarap oleh penulis tanpa dipengaruhi sedikit pun oleh idea barat. Sangat melayu! Perasaan saya memang terbawa-bawa ke dalam setiap penceritaannya. Dengan bahasa yang mudah difahami serta sedap dibaca, membuatkan saya tidak sukar untuk mengambarkan setiap apa yang penulis sampaikan. Sehinggakan saya sudah mula membayangkan siapa pelakon yang memegang setiap watak sekiranya karya ini difilemkan. 

Novel pertama menceritakan pengembaraan watak hero, Budi Adi Jata yang mencari pembunuh datuknya serta sebilah keris pusaka miliknya yang turut dicuri. Keris tersebut juga mempunyai pasangannya, Indera Bumi yang mana turut dicuri semasa pegembaraan itu. Rupa-rupanya keris itu mempunyai cerita yang tidak Budi ketahui, dan sangat-sangat diidamkan oleh Penakluk Dakawa untuk membentuk semula kerajaannya yang pernah runtuh suatu ketika dulu. Dalam pengembaraannya, Budi berjumpa dengan Zilastri dan Puteri Ariasha yang turut menyertai misi pencarian itu. Kewujudan keris dan makhluk bunian mengingatkan saya pada cerita Lord Of The Ring. Boleh saya katakan bahawa Takluk Jagat ini adalah LOTR versi melayu. Haha!

Novel kedua pula lebih kepada peperangan besar yang berlaku di Tanah Ini. Peperangan disertai oleh angkatan tentera Dasyuria dan Sedinggi dan dibantu oleh tentera bunian ini menentang tentera Dakawa yang dibantu oleh tentera Sigorong (makhluk besar hitam serta bersifat jahat). 

Menariknya, dipermulaan buku ini ada peta Tanah Ini yang memudahkan kita membayangkan perjalanan kembara watak-wataknya. Sepanjang pengembaraannya, Budi Adi Jata mula membentuk jati diri sebagai seorang pendekar muda. Pengembaraan yang pada asalnya bermula dari sebuah dendam. Setiap watak baru diperkenalkan, mempunyai perwatakan sendiri dan berdiri dengan kukuh. 

Setiap bab akan meninggalkan satu persoalan yang sentiasa menjentik hati pembaca untuk mengetahui apa yang telah berlaku sebelumnya atau apa yang akan berlaku selepas itu. Hai... Saya sentiasa berdebar dan cemas setiap kali pertarungan berlaku. Nasib baik penulis sentiasa menyelitkan unsur unsur komedi yang boleh melegakan tense yang dialami. Banyak twist dan sub plot membuatkan hati saya sentiasa meronta untuk terus membaca dan membaca. Maka, tidak kira berat, saya kepit juga Takluk Jagat ke hulu ke hilir mencari setiap ruang waktu untuk menyambung bacaan. Ketagihan tanpa sedar!

Seni silat yang mengunakan jurus-jurus ilmu batin dibacakan bersama mantera dalam bentuk enam kerat. Wah, sungguh menarik dengan frasa indah. Kadang-kadang seperti menonton filem kungfu purbakala di mana setiapnya mempunyai nama jurus serta kuasa magiknya. Sememangnya melayu indah bahasanya.

Sehingga saya habis baca, jiwa saya masih lagi berada dalam environment pengembaraan serta pertarungan itu. Maka, sesekali saya akan baca kembali bahagian-bahagian yang super menarik. Akan adakah lagi karya fantasi melayu sehebat Takluk Jagat selepas ini? Semoga Siri Takluk Jagat tidak terhenti di sini kerana saya mengharapkan agar penulisnya meyambung beberapa siri lagi. Teringin saya melihat siri Takluk Jagat menjadi kegilaan seperti siri Sunan Musafir. Diharap keinginan saya ini sampai kepada penulisnya.



Selamat membaca dan salam aidilfitri serta maaf zahir batin untuk semua.






Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday 5 August 2012

Resensi Buku: Nama Atas Kertas





NAMA ATAS KERTAS
Nasron Sira RAhim


ISBN: 978-967-5118-29-6
Penerbit: Jemari Seni Sdn bhd
Tarikh terbit: Cetakan Pertama Januari 2010
            Cetakan Kedua Jun 2010
Halaman: 504
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)





Salam. Hujung minggu yang agak membosan tanpa aktiviti yang memerlukan saya memberi fokus yang tinggi. Jadi, ada baiknya saya menulis satu lagi resensi buku. Ya, tetap tidak lari dari genre thriller. Tentang satu penyiasatan pembunuhan bersiri. Baru sahaja habis dibaca. Nama Atas Kertas saya temui ketika sedang mencari-cari sesuatu di Google. Oh, ada lagi genre thriller yang saya terlepas pandang. 

Latar belakang cerita yang jelas iaitu Kedah membuatkan saya berfikir yang penulisnya berasal dari sana. Lalu, saya mencari sedikit maklumat tentang beliau. Bekas wartawan Berita Harian rupanya dan telah menghasilkan beberapa buah novel dan buku umum. Tidak hairanlah, ada watak wartawan. Novel ini adalah yang kedua selepas Enigma. Ketika dalam proses pembacaan, saya dapat rasakan kecenderungan kuat penulis ke arah genre thriller penyiasatan. Itu persepsi awal saya. Kaver novel? Agak bercelaru tanpa mesej yang spesifik. Mungkin itu yang penulis ingin tunjukkan, kecelaruan personaliti pembunuh.

Cerita berkisar tentang pembunuhan bersiri yang bermotifkan dendam dan juga rasa prejudis terhadap pasukan polis, yang dirasakan tidak boleh diharap untuk membela mangsa yang teraniaya. Lantas, dia mengambil keputusan untuk membunuh penjenayah yang terlepas dari hukuman. Idea yang klise. Namun penulis memberi satu kelainan dalam jalan ceritanya. Selesaikan teka-teki! Subjek meninggalkan tanda pada setiap mangsa yang dibunuh. Tanda itu berupa satu 'puzzle' yang perlu diselesaikan yang mana sebenarnya merupakan klu. Hebat! Sayangnya, seperti mana pihak polis buntu dengan "puzzle' itu, saya juga turut merasa buntu bila terpaksa membaca ayat demi ayat. Aduh, sedikitnya dialog!

Saya kurang menghayati jalan ceritanya. Mungkin saya terlampau sibuk membaca ayat demi ayat sehingga keterujaan saya yang memuncak pada awalnya perlahan-lahan menurun. Inilah kelemahan saya bila terpaksa membaca sesuatu yang diceritakan secara berjela-jela. Cepat sahaja hilang mood. Penerangan yang panjang tanpa adanya prinsip 'show don't tell' sangatlah merunsingkan minda pembaca. Namun ada babak yang saya suka iaitu info mengenai sains tulisan yang berkait rapat dengan personaliti kita. 

Saya perasan yang perkembangan watak Faiz dan Hanim sangat mendatar. Begitu juga dengan Wadi. Kenapa dihentikan begitu sahaja sedangkan dia adalah sebahagian dari cerita malah agak penting juga. Ya Tuhan, resensi saya kali ini sangat lain. Ini kerana saya tahu penulis ini begitu meminati cerita-cerita penyiasatan. Saya juga begitu dan atas sebab itu saya mengharapkan Nama Atas Kertas mampu membuatkan saya teruja hingga ke akhir bab.

Penulis ada memberi sedikit info-tahukah-anda mengenai sains siasatan jenayah di akhir halaman buku. Menarik sekali! Dan penulis memang seorang yang suka berkongsi info seperti itu. Untuk mengetahui apa lagi yang dikongsikan, boleh sahaja layari blog beliau. Macam-macam yang boleh diperolehi di situ.

Apa-apa pun idea memasukkan 'puzzle' itu sangat menarik. Saya pasti semuanya tentu sudah biasa dengan teka silang kata, mencari perkataan dan sodoku. Permainan minda yang menyeronokkan. Sekiranya pembaca ingin sama-sama menyelesaikan kes pembunuhan ini, sila sertai Faiz dan Hanim. Mana tahu anda lebih pantas menemui pembunuhnya.

Jadi, sudah bersedia untuk menyertai Faiz dan Hanim? Good luck to you! :)



Selamat membaca.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Friday 3 August 2012

Resensi Buku: Licik (FIXI)


Licik
Sham Hashim & Julie Anne


ISBN: 978-967-0374-09-3
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh terbit: 2012
Halaman: 272
Harga: RM18.90











Salam Ramadhan. Sudah separuh ramadhan kita lalui. Alhamdulillah. Semoga tiada kengkangan untuk kita terus menjalani ibadat puasa dan mendapat rahmat berterusan dari Allah.

Resensi kali ini adalah sebuah pulp-fiction dari keluaran FIXI. Huh! Nak review novel ni pun ambil masa berhari-hari. Punyalah malas! Licik saya kira antara yang laku keras dalam senarai novel keluaran FIXI. Ceritanya sangat mudah. Idea yang diketengahkan pula biasa-biasa sahaja tapi digarap dengan baik sekali. Abaikan sahaja standard bahasanya. Namapun dari FIXI. Kannn...

Selalu kita terbaca tentang penipuan wang ringgit sehingga mencecah jutaan ringgit. Kena tipu duit hantaran, MLM, kredit kad, gores dan menang dan beberapa kes lagi pernah hangat suatu ketika dulu. Tidak tahu mahu simpati pada mangsa atau tidak. Mungkin mangsa yang terlalu bebal atau si penipu yang terlalu licik. Hanya mereka yang terlibat yang tahu. Manusia memang sering lemah bila berdepan dengan wang ringgit. Inilah plot dalam Licik.

Okey, kurangkan celoteh bulan puasa. Jom kita lihat apa ada dalam Licik. Licik adalah novel kolaborasi pertama dari Fixi (mungkinkah akan ada lagi?)  Kerjasama yang baik sekali antara Sham Hashim dan Julie Anne (orang kampung saya, tahu?). Ia menimbulkan pelbagai rasa. Ingin saya beritahu awal-awal ceritanya juga ‘jujur’ ya. Tanpa tapis-tapis. Jadi, tidak perlu diulangbaca bahagian yang mencuit fikiran nakal. Sering juga jalan ceritanya mengingatkan saya pada kisah-kisah dari surat khabar.  Penceritaan yang bersahaja seringkali mencuit hati lebih-lebih lagi watak-wataknya sedaya upaya berlakon untuk menjayakan penipuan yang dirancang.

Alias-Fira-Sadik merupakan tunjang utama dalam novel Licik. Ketiga-tiganya adalah penipu tahap profesional. Tipu kiri tipu kanan. Tetapi sekali pun tidak pernah tertangkap. Wah, tipu kan? Haha. Okey, Fira dibesarkan oleh ayahnya, Alias untuk menjadi seorang penipu yang cekap – con artist. Semuanya dirancang dengan baik sehinggalah suatu ketika penipuan yang Alias lakukan telah menyebabkan kematian. Ia telah menjadi titik dendam yang menyebabkan perubahan besar berlaku dalam hidup anak beranak itu.  Kehadiran Sadik pula umpama buku bertemu ruas. Penipu dengan penipu. Kolaborasi yang sangat padan.

Saya tertarik dengan kata kata Alias,

“Nak tipu orang, bukan boleh sembarangan. Kau cuma boleh tipu orang yang tak jujur.”

Hehe. Bunyinya semacam satu prinsip pula. Namun dalam keseronokan membaca, saya terjumpa beberapa kesalahan pada nama. Nama Rais bertukar menjadi nama Alias, Engku Som jadi Engku Long. Hati-hati ya Encik Editor.

Babak di mana Fira ditipu Sadik membawa rasa simpati saya pada Fira. Bayangkan tanpa mengetahui yang dia ditipu, Fira bagai orang gila mencari Sadik yang disangkakan diculik. Kejamnya lelaki tu! Nasib baik akhirnya Fira dapat balik apa yang Sadik ambil daripadanya. 

Okeylah, saya rasa lebih baik baca sendiri. Ceritanya memang seronok. Maklumlah tipu sana sini tapi tak pernah kena tangkap. Macam mudah je kan? Well, tahniah untuk kedua dua penulis. Untuk Julie Anne, I wish you all the best! Mungkin akan datang boleh hasilkan novel dengan idea sendiri, okey?


Selamat membaca.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...