Followers

Monday 16 December 2013

[Resensi Buku] Suara Tengah Malam - Maria Kajiwa


Suara Tengah Malam
Maria Kajiwa 
 
ISBN:978-967-0535-38-8
Penerbit: Buku Prima
Tarikh terbit: 2013
Halaman:524
Harga: RM19.90 (Sem. Malaysia)/RM22.90 (Sabah/Sarawak)



Assalamualaikum.

Puas hati! Itu komen pendek saya. Kali ini novel penulis diterbitkan oleh Buku Prima dibawah label seram. Bagaimanapun novel ini bukan novel seram. Mungkin lebih kepada misteri. Penulisnya, Kak Maria sebelum ini telahpun menyiarkan beberapa bab dari novel ini di blognya.

Berlatarbelakangkan negeri Melaka, penulis menggunakan watak Adam, seorang penyiasat persendirian dari novel 'Seteguh Ilalang'. Adam, kehilangan isterinya yang dipercayai diculik telah ke Melaka bila mendapat maklumat yang isterinya ada di Melaka. Saya suka bila Maria Kajiwa menggunakan Melaka sebagai latar cerita kerana saya memang suka Melaka. Satu kelebihan Kak Maria ini bila dia gambarkan sesuatu tempat itu ia selalunya membuatkan saya ingin pergi ke situ. Kak Maria mengambarkannya sehingga ia kelihatan 'hidup'.

Mengenai watak Adam, saya tidak pasti bagaimana Adam dalam novel 'Seteguh Ilalang'. Novel pemberian Kak Maria itu masih kemas lagi dalam simpanan. Maaf Kak Maria, in shaa allah nanti saya akan baca.

'Suara Tengah Malam' mengetengahkan beberapa masalah sosial yang menghantui masyarakat kita. Mazni yang menjadi kerakusan ayah tiri terbiar menanggung trauma sementelah ibunya yang menyalahkan dia dalam hal ini. Kalau ibu sendiri sudah tidak percaya, kepada siapa lagi mangsa sumbang mahram mengadu nasib? Kelurga Mazni menjadi kucar kacir selepas itu. Perbuatan ayah tiri yang tidak bertanggungjawab serta sikap ibu yang tidak memihak pada anak-anak telah menyebabkan Mazni lebih rela tinggal berjauhan dari keluarga. Adiknya pula menjadi penagih dadah hingga akhirnya terlibat dengan geng kongsi gelap atas desakan hidup di samping merasa kecewa dengan apa yang menimpa keluarganya.

Rumah yang mereka diami pula sering kedengaran suara aneh menjelang senja. Tipikal masyarakat kita yang suka percayakan hal-hal ghaib, rumah itu dilabel sebagai rumah berhantu. Yakin ada sesuatu yang berlaku, Adam mula menyiasat kisah hantu tersebut. Wah, 2 kes sekaligus. Adam memang penyiasat sejati. Hehe...

Okeylah. Apa kata baca sendiri novel ini. Karya Kak Maria memang tidak menghampakan. Selalunya novel Kak Maria membawa mesej yang sepatutnya kita ambil berat. Sebagai masyarakat yang terkenal dengan sikap prihatin, penglibatan kita dalam usaha membenteras gejala sosial sangat-sangat dituntut. Diharap kita tidak menjadi masyarakat yang 'bisingnya' hanya bermusim. Semoga.


Selamat membaca.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Tuesday 12 November 2013

[Resensi Buku] Sebelas Patriot: Impian Dan Pengorbanan


Sebelas Patriot
Andrea Hirata
 
ISBN:978-967-408-071-6
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
Tarikh terbit: 23 March 2012
Halaman: 80
Harga: RM10.00 (Sem. Malaysia)/RM12.00 (Sabah/Sarawak)
 
 
 
Assalamualaikum.
 

Nipis tapi memukau! Dari tetrologi 'Laskar Pelangi', kemudian 'Padang Bulan', hingga ke 'Sebelas Patriot, kesemuanya tidak pernah gagal memukau perasaan saya. Kadang-kadang saya terfikir magis apa yang ada pada Andrea Hirata ini? Mungkinkah terletak pada sifat karyanya yang 'humble'? Atau boleh saya katakan karyanya jujur dan sederhana dalam setiap penceritaan. Aduhai...sebenarnya sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.

Seperti selalu, 'Aku' merujuk pada watak Ikal. Sebenarnya saya tidak suka penceritaan yang menggunakan kata ganti aku. Sebabnya 'aku' itu sangat 'serba tahu' sifatnya, malah 'aku' itu juga tebal sifat 'keakuannya'. Itu pada saya. Namun, Andrea Hirata mempunyai kemahiran untuk meneutralkan penggunaan 'aku' menjadi lebih jujur dan sederhana tetapi kuat karekternya. Saya rasa ini antara kekuatannya yang tidak semua penulis ada.

Dalam Sebelas Patriot, masih lagi tentang perasaan sayang Ikal terhadap ayahnya, tentang impian yang ingin digapai dan tentang pengorbanan. Dan semua itu dizahirkan oleh penulis melalui kisah tentang bola. Semuanya bermula dari sekeping gambar lama yang Ikal jumpa secara tidak sengaja; yang sengaja disimpan jauh seperti tidak mahu lagi mengingati kenangan lama itu. Gambar itu adalah gambar yang menyimpan segala kisah suka duka masa lampau. 

Gambar itu menyimpan kisah kegemilangan ayahnya, yang kemudiannya menjadi satu episod duka. Ayah Ikal rupa-rupanya seorang pemain bola sepak. Bersama-sama dua lagi adik beradiknya, dia yang bermain sayap kiri menjadikan perlawanan bola sepak sebagai satu cara untuk menentang penjajahan Belanda pada ketika itu. Sudah menjadi sifat penjajah, mereka tidak mahu dikalahkan. Kalah itu bererti malu! Dalam meraikan kemenangan menjaringkan gol, rupa-rupanya ayah Ikal menempah malang. Esoknya, ayahnya di bawa ke balai polis (harusnya orang Belanda) dan ditahan sehingga seminggu. Ayahnya kemudian kembali dengan tempurung lutut hancur.
 
Mengetahui kisah ayahnya membuatkan Ikal berazam untuk menunaikan impian ayahnya dengan menjadikan dirinya pemain bola sepak bagi pasukan kebangsaan Indonesia (PSSI). Bermula dengan pemilihan pemain junior daerah, kemudiannya membawa kepada pemilihan pemain junior wilayah barulah pemilihan untuk kemasukkan pemain PSSI. Semuanya harus dilalui tanpa kompromi. 

Berjayakah Ikal? 

Dalam novel ini, penulis menzahirkan bola sepak itu sebagai:

1) patriotisme
2) kegigihan & kesungguhan
3) pengorbanan & keikhlasan
4) rasa cinta & inspirasi
5) kegembiraan & keghairahan
6) politik
7) perniagaan
8) budaya dan sejarah
9) kehidupan
 

Selesai saya menulis entri ini, satu persoalan terdetik di fikiran. Bagaimana pula halnya dengan situasi bola sepak kita?
 
 
Selamat membaca!

Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Monday 14 October 2013

[Resensi Buku] Bougainvillea - Packy Sidique



Bougainvillea

Packy Sidique
ISBN:978-967-0508-04-7
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2012
Harga: RM22.00 (Sem. Malaysia)/RM25.00 (Sabah/Sarawak)







Assalamualaikum. Ini review pertama setelah beberapa bulan terhenti. Sebenarnya dalam beberapa bulan itu, banyak buku-buku yang sudah habis saya baca. Cumanya tidak diulas disini. Tetapi sehabis sahaja membaca karya pertama penulis ini, keinginan itu datang semula.

Bougainvillea pada saya merupakan kisah penyiasatan yang 'soft', kurang suspen tetapi teratur. Walaupun penyiasatan yang dilakukan antara nampak tak nampak, ia masih lagi membawa rasa ingin tahu perkaitan antara watak-watak suspek jenayah.

Seperti lazimnya cerita penyiasatan, ia bermula dengan satu kes pembunuhan. Satu mayat milik seorang gadis ditemui dengan kesan dicekik di satu kawasan pelupusan. Kes ini disiasat oleh ASP Kimi. Kimi, seorang yang digambarkan oleh penulis sebagai seorang yang tinggi dan tegap (sesuai dengan tugasnya sebagai pegawai polis) serta mempunyai wajah 'chinese look'. Menyertai pasukan polis kerana mempunyai misi sampingan iaitu ingin menjejaki kehilangan Nina, kekasih yang hilang 10 tahun lepas. Takdir telah menemukan dia dengan Deena. Lebih dramatik lagi, wajah Deena saling tak tumpah wajah Nina.

Watak Deena adalah medium yang membawa kepada apa yang berlaku kepada Nina. Deena yang baru berpindah ke Penang kebetulan tinggal di rumah yang pernah didiami Nina. Sejak itu Deena sering diganggu mimpi yang sebenarnya merupakan mesej untuknya. Namun ingin saya nyatakan bahawa kehilangan Nina bukanlah fokus utama cerita ini. Cuma siasatan ke atas kes pembunuhan yang berlaku telah membawa kepada penemuan kehilangan Nina sekaligus.

Risau kalau-kalau rahsianya terdedah, penjenayah tersebut telah menukar identitinya. Mangsanya kali ini ialah Edelene, tanpa menyedari Edelene adalah seorang pegawai polis. Apa yang berlaku kepada Edelene sama seperti mangsa-mangsa sebelumnya tetapi nasib Edelene lebih baik. Dia selamat walaupun koma. Sayangnya, kerana dia adalah salah seorang saksi utama selain Daniel (pelayan restoran) yang pernah melihat si penjenayah tersebut.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Akhirnya penjenayah itu dapat dikesan. Seperti biasa teori saya, watak yang kurang ditonjolkan itulah watak penjenayah. Namun, bagi saya profil penjenayah tidak cukup kuat dari segi psikologi untuk membolehkan dia dianggap sebagai 'pembunuh bersiri'. Seharusnya perlu diletakkan sejarah yang lebih kelam kerana untuk muncul sebagai pembunuh bersiri tidak cukup hanya bermula dengan kenakalan di waktu remaja.

Walaubagaimanapun, saya cukup enjoy dengan novel ini. Segala tanda tanya apa kaitan penjenayah dengan suspek yang lain terjawab. Kenapa tajuk novel ini Bougainvillea? Itu kena baca sendiri.

Tahniah untuk penulis, Packy Sidique.
 
 
Selamat membaca.
 
 
 
 
 
Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday 5 October 2013

Jodoh Tak Ke Mana



Assalamualaikum.


Ada yang kata berkahwin itu umpama satu kemenangan bagi orang bujang. Banyak usaha yang dilakukan serta halangan yang perlu ditempuhi sepanjang hidup membujang hingga ke hari perkahwinan. Maka tidak hairan, sah sahaja akad nikah semua akan menadah tangan mengucap syukur, mendoakan agar perkahwinan itu mendapat keberkatan Allah serta bahagianya berpanjangan hingga ke Jannah.



Dalam bab jodoh, isunya tidak pernah terhenti. Sebagai seorang muslim, kita amat percaya yang jodoh itu urusan Allah. Kita tidak akan tahu siapa pasangan kita. Tapi bukan bermakna kita hanya perlu menunggu di tepi pintu mengharapkan tiba-tiba orang datang meminang. Kita bukannya pujaan ramai sampai orang sanggup berbaris mahukan kita. Jodoh perlu juga diusahakan. Perlu juga dicari-cari. Bukanlah maksud saya seperti mencari barang di Suria KLCC. Bukan. Tidak salah kalau diusahakan berkawan dulu untuk mengenali diri masing-masing. Berkawan - jatuh cinta - putus di tengah jalan - jumpa orang baru, adalah proses dalam mencari jodoh. Ada yang jatuh cinta terus kahwin. Ada yang dah berkali-kali kecewa baru berjumpa yang betul. Malah ada bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain kemudian berkahwin pula dengan orang lain. 



Selalunya, bila kita sudah mula berkawan rapat denagan seseorang, hati mula tertanya-tanya adakah dia jodoh kita. Di sinilah peranan hati. Adakala kita pasti lalu diteruskan ke peringkat seterusnya iaitu berkahwin. Adakalanya kita dilanda rasa was-was. Maka istikharahlah jawapannya. Siapa pun calonnya, sudah pasti dia adalah orang yang kita bersedia untuk berkongsi apa sahaja. Sebelum berkahwin, kita sudah pastikan yang kita telah memilih yang terbaik. Maka, selepas berkahwin terimalah pasangan kita apa adanya.



Pilihan sendiri atau pilihan keluarga? Soal ini agak subjektif. Tidak ada bukti menunjukkan pilihan orang tua adalah terbaik. Namun begitu, jangan pula membelakangkan mereka dalam urusan memilih jodoh sendiri. Kerana itu juga, Islam telah meletakkan panduan dalam memilih jodoh. Sudah tentunya yang menitikberatkan agamanya yang dinilai dahulu. Tetapi yang paling penting, untuk mendapat jodoh yang baik, diri sendiri perlu menjadi baik dahulu. Lelaki baik untuk perempuan baik. Perempuan baik untuk lelaki yang baik. Itu janji Allah.



Apa-apapun, sekiranya berkahwin ini diibaratkan sebagai kemenangan bagi orang bujang, maka untuk mengekalkan kemenangan itu juga memerlukan usaha yang bukan sedikit.  Kita merancang, tetapi perancangan Allah yang terbaik. Yang penting bersabar, bersyukur, berusaha, berdoa dan tawakal. Hanya Dia, Allah yang Maha Adil.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday 16 June 2013

[Travelog] Throughout Malaysia: Langkawi #3



Assalamualaikum semua.


Wahhh... semua nampak gembira lepas makan-makan sempena Hari Bapa ya. Selamat Hari Bapa untuk semua bapa. Semoga bapa sentiasa berusaha menjadi bapa no 1 pada anak-anak. Errr, bapa ayam takmo okay.


*Sigh*


Tak sangka entri untuk travelog Langkawi tertangguh sampai sekarang. Cuti sekolah dah lama habis tapi entrinya tak buat-buat juga. Malas, kan? Nasib baiklah tadi mimpi tengah tangkap gambar tempat cantik-cantik. Tiba-tiba pula timbul semangat nak update entri ini.


*Alasan tak boleh blah*


Okeylah, jom cerita. Sebenarnya Langkawi dah banyak berubah. Makan Mahsuri dan Beras Terbakar tidak sama seperti kali terakhir saya kunjungi. Kalau dulu nampak tanah, sekarang dah nampak rumput. Dulu tak ada Dataran Lang sekarang dah ada. Cable car pun tak ada tapi sekarang saya dah naik. Cable Car di Langkawi dikatakan yang paling curam di dunia. Gerun rasanya. Tapi sayang, Skybrigde ditutup untuk sementara waktu.


Pantai Cenang sentiasa menjadi tempat favorite. Sekarang tempatnya bertambah padat dan sangat happening. Sesiapa yang suka tempat yang gempak, carilah hotel kawasan situ.


Jomlah kita tengok gambar. Tak banyak gambar walaupun dah merata tempat dilawati. Kenapa tak banyak gambar? Entahlah ek?!




Masuk sini kena bayar RM7. Kanak-kanak tak pasti.



Tempat yang dilalui sebelum sampai ke Makam Mahsuri.





Dulu Makam Mahsuri ni boleh disentuh.





Rumah Mahsuri.
















Perigi Mahsuri.Sibuk betul dia orang timba air. Berebut macam air tu air zam-zam. Hehehe...












Sayangnya ada tempat yang tak siap lagi.





Kawasan Beras Terbakar



Cable car ini wajib naik.



Permandangan dari atas.



Hah!! Letih betul upload gambar. Tak larat rasanya. Ada beberapa tempat lagi tapi dah rasa penat betul upload gambar masa line lembab ni.


Insha Allah, andai berkesempatan saya akan upload yang selebihnya. Apa-apa pun memang berbaloi kalau berkunjung ke Langkawi.


Oh ya. Satu pesanan penting. Bawa duit lebih untuk shopping. Al maklumlah, kawasan bebas cukai. Tak kan nak tengok je kan?


Adios.



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday 1 June 2013

[Travelog] Throughout Malaysia: Langkawi #2



Assalamualaikum.


Masih dalam mood bercuti? Good.


Sebenarnya, saya ke Langkawi berombongan. 4 orang dari KL, 5 lagi dari Butterworth. Jadi sementara menunggu yang 5 lagi sampai dari jeti Kuala Kedah, kami lepak-lepak dulu di Dataran Lang.


Okay, kali terakhir saya ke Langkawi adalah 15 tahun dahulu. Masa tu Dataran Lang belum ada lagi. Ia merupakan mercu tanda Langkawi dan terletak tidak jauh dari jeti Kuah. Dalam 10 minit berjalan kaki.


Tapi sayang, tidak berkesempatan melihat panorama di malam hari. Katanya, bila malam Dataran Lang ini akan dilimpahi cahaya lampu. Sungguh mengasyikkan tambah-tambah nampak cahaya berkelip-kelip dari lampu kapal kapal yang berlabuh. Eceh! Lebih-lebih pula berimaginasi.




Inilah helangnya. Nampak gagah perkasa walaupun kaku.







Eh,eh! Ada yang interframe.





Eee...!!! Menyampah betul bila orang ambik gambar saya senget.




Bumbung putih antara nampak tak nampak itu jeti kuah.



Ini cerita Dataran Lang. Lepas ini baru kita jalan-jalan tempat lain, okey?


Jumpa lagi.



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

[Travelog] Throughout Malaysia - Langkawi #1




Assalamualaikum.


Hai, berjumpa lagi kita. Jadi, seperti yang telah diberitahu minggu lepas, saya akan update entri percutian ke Pulau Langkawi. Tidak banyak. Sebenarnya, ia bukanlah destinasi pilihan. Tetapi selepas dipujuk-pujuk dengan janji-janji manis maka dengan senang hati saya pack kain baju.


(Bukan main eksyen ko kan Ernie...)


Pulau Langkawi merupakan destinasi percutian paling popular di Malaysia. Kapasiti pengunjungnya meningkat setiap kali musim cuti.


Buktinya, seawal 7 pagi orang sudah mula berpusu-pusu naik feri untuk ke seberang.





Ini dari jeti Kuala Perlis. Sementara menunggu kaunter tiket dibuka pukul 6 pagi, duduk-duduk layan mata mengantuk. Tak sangka ada pula yang datang berkhutbah di pagi hari.


Sadis betul cara dia nak cari pelanggan. Sekejap dia kutuk melayu yang tak nak layan bila dia tegur. Dia kata orang Kuala Lumpur sombong sombong bila mai Langkawi. Seminit kemudian, dia kutuk orang cina sebab hanya pentingkan periuk nasi sendiri.


Alahai Encik Agen Pelancongan, saya tahu awak nak promote service tapi tolong jangan rasis. Percutian saya tiada kena mengena dengan bangsa. Nasib baik, azan subuh berbunyi.


Saya bangun tinggalkan dia ternganga.


Sorry, I'm not interested. Kih kih kih.


Sampai jumpa lagi.







Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday 25 May 2013

[Travelog] Malaysia Di Hatiku




(Tajuk bukan main!)


Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Memang sudah lama saya merancang untuk berjalan jalan satu Malaysia. Oh ya, travel solo dengan menaiki keretapi. Namun sampai sekarang tak tercapai.


Maka, saya nekad bermula tahun ini, saya akan jelajah Malaysia sedikit demi sedikit tak kira dengan apa cara pun. 


Semoga saya diberi kelapangan waktu untuk merealisasikan apa yang dirancang. Inshaallah.  Doakan ya.


(Fuh! Rupa-rupanya tahun ini banyak juga perkara yang menuntut masa saya).


Untuk kembara Malaysia, saya khaskan dibawah tajuk "Throughout Malaysia". Haha... tajuk tak nak kalah kannn...

Jadi, sebagai permulaan saya akan ke Pulau Langkawi. Bas saya akan berangkat malam nanti.







Jumpa lagi dan selamat bercuti.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Wednesday 17 April 2013

[Resensi Buku] Catatan Penglipur Lara Sang Majistret



Catatan Penglipur Lara Sang Majistret 
Zabidi Mohamed

ISBN: 978-983-097-374-6
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2012
Halaman: 255
Harga: RM18.00 (Sem Msia) RM20.00 (Sabah/Swak)










As-salam. Kali ini saya review catatan dari seorang majistret. Majistret? Sebetulnya bekas majistret. Mungkin ada yang mengenali Zabidi Mohamed sebagai penulis. Tetapi sebelum itu beliau bertugas dalam bidang perundangan. Kini beliau terlibat secara serius (sejak tahun 1999) dalam bidang penulisan buku dan skrip. Antara buku yang ditulis ialah Arqam, Tersungkur Di Pintu Syurga; Maunah, Kebenaran Yang Sebenar dan novel Hani yang ditulis bersama Puan Nurulsham Saidin.


Catatan Penglipur Lara Sang Majistret mengandungi 4 cerita. Semuanya berdasarkan pengalaman lucu namun penuh pengajaran ketika penulis bertugas sebagai majistret. Bermula dari kisah dihantar ke Penjara Pudu untuk melihat sendiri bagaimana hukuman sebat dilaksanakan sehinggalah kejadian yang menakutkan  tetapi lucu yang berlaku di rumah MB Kelantan ( Dato' Seri Mohamed Yaacob ketika itu). Keseronokkan membaca cerita beliau sering membuat saya tersenyum, kadang kadang mencetuskan tawa.


Seperti yang dicatatkan di muqaddimah, asalnya pengalaman lucu yang ditulis ini adalah siri-siri catatan beliau di 'wall' Facebook. Status-status tersebut mendapat reaksi positif dari rakan-rakan FB. Kisah-kisah lucu yang berlanjutan menjadi episod panjang itu kemudiannya dibukukan dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd.


Walaupun kisah yang dipaparkan itu mencuit hati, banyak sekali info yang berguna serta nasihat yang boleh dijadikan ikhtibar. Melalui apa yang diceritakan, saya mendapat tahu yang bangsa Melayu, Cina dan India mempunyai cara berbeza dalam menerima hukuman sebat. Dalam rasa seriau boleh pula saya mengekek ketawa. Tak tahulah kalau penulis bercerita secara langsung kepada saya. Mahu putus urat perut!


Okeylah, cakap banyak pun tak guna. Beli dan alami sendiri. Kepada yang suka sangat genre kisah benar, memang patut baca. Jom kita baca sedikit blurp:

Dari Penjara Pudu merentas ke negeri Serambi Mekah, kisah-kisahnya amat menggelikan hati, namun tidak sepi daripada nilai-nilai tarbiah.

Kisah 1

"Zaaapppss," bunyi rotan itu apabila dihayunkan.

"Ayoyo! Amma!" jerit pesalah India itu sambil menangis menyangkakan rotan itu sudah mula dihayunkan kepadanya.

"Oi... belum mula lagilah!" jerit pegawai penjara yang memegang rotan itu sambil disambut gelak ketawa semua pegawai penjara yang ada di situ.

Kami majistret juga semua ketawa.



Kisah 2

Jurubahasa memandang ke arah saya. Saya tidak memberi sebarang reaksi.

"Nak mengaku salah atau nak bicara?" tanya jurubahasa itu lagi.

Sambil menggosok gigi dengan kayu suginya pensyarah itu menjawab dengan nada penuh yakin, tetapi dengan gaya yang agak sombong,

"Saya mengaku pun tak nak, bicara pun tak nak. Ini semua kuasa Allah!"

Jurubahasa terkedu.



Kisah 3

"Saya dengan berpandukan kepada peruntukan di bawah Akta Kastam menjatuhkan hukuman sebanyak... ."

"Gedebummm."

Saya berhenti membacakan hukuman. Mak cik yang tadinya berdiri di kandang pesalah sudah tidak kelihatan.

"Tuan! Mak cik tu pengsan tuan!" jerit jurubahasa sambil bergegas membuka pintu kandang pesalah untuk pergi melihat keadaan mak cik yang sudah terbaring dalam keadaan terkulai tidak sedarkan diri itu.

Mahkamah menjadi riuh-rendah.



Selamat membaca.

Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday 31 March 2013

[Bukan Resensi Buku] Sudah Tidak Minat


Salam dan selamat berhujung minggu.

Saya perasan sepanjang bulan Mac ini langsung tidak ada apa-apa yang saya tulis. Bukan malas atau sibuk. Saya tahu ada satu rasa yang mula hilang. MINAT.

Orang kata, buatlah sesuatu yang kita minat. Bukan saya tidak minat menulis. Antara membaca dan menulis, saya lebih suka (baca: minat) membaca.

Selalu juga saya dengar-dengar, kalau sudah banyak membaca tentu senang untuk menulis. Tulis sahaja apa yang kita baca.

Haih, masalahnya, apa yang saya baca tidak pula mahu keluar dari minda.

Sekian.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Monday 11 February 2013

[Resensi Buku] Huyan dan Mimpy





Huyan dan Mimpy 
Nippan


ISBN: 978-967-408-021-1
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
Penterjemah: Iskandar Syah Ismail
Tarikh terbit: 2011
Halaman: 305
Harga: RM17.00 (Sem Msia) RM19.00 (Sabah/Swak)










Salam. Sebelum saya teruskan, saya ingin memberitahu yang novel ini bukanlah pilihan kamu yang sukakan karya urban. Novel ini juga bukanlah pilihan pembaca yang sukakan karya benci-terpaksa kahwin-mula suka-ada konflik terpaksa berpisah-bersatu semula-bahagia dan ada anak comel. Bukan. Novel ini hanyalah kisah biasa dalam kehidupan, namun mempunyai motivasi hidup yang  luar biasa. Bertemakan pengorbanan, kisah ini membawa kita ke satu peringkat yang mana kita menyedari bukan semuanya mempunyai kehidupan yang baik. Malah ada yang perlu bekerja keras hingga ke akhir hayat hanya untuk sesuap nasi. Dengan berbekalkan semangat hidup yang tinggi serta kesabaran, mereka teruskan hidup sambil mencuba untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.


Huyan dan Mimpy dengan tajuk asalnya Butterfly and Flowers merupakan karya terbaik penulis Thailand, Nippan atau nama sebenarnya Makut Oradee. Nippan lebih dikenali di negaranya melalui Huyan dan Mimpy serta telah memenangi anugerah kesusasteraan berprestij di Pesta Buku Kebangsaan Thailand melalui novel ini.  Edisi bahasa melayu ini diterjemahkan oleh Iskandar Syah Ismail dibawah penerbitan  PTS Utama Litera Sdn Bhd. Setakat ini saya amat senang membaca buku terjemahan terbitan PTS dan Zi Publications. Terjemahannya tidak melulu tetapi dilakukan dengan penuh teliti. Dalam edisi terjemahan ini, Huyan dan Mimpy mampu menyentuh hati saya untuk turut berasa belas dengan kepayahan hidup yang watak-watak alami. Saya tidak tahu bagaimana rasanya bila saya mampu membaca karya asalnya. Silap-silap boleh mengalir airmata!


Nippan menggunakan watak Huyan bagi menggambarkan golongan kurang bernasib baik di selatan Thailand. Huyan, seorang remaja muslim yang berhati mulia, terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Dia menjual aiskrim dengan pendapatan yang tidak seberapa. Ayahnya, walaupun kesal dengan keputusan Huyan, namun tetap bersyukur kerana mempunyai anak yang bersedia memikul tanggungjawab menyara keluarga. Sementelah, pendapatan dia sebagai pengangkut barang di stesen keretapi semakin berkurangan. Namun pekerjaan sebagai penjual aiskrim tidak mencukupi bagi Huyan. Dia ingin memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga dan mampu menyekolahkan dua orang adiknya. Pertemuan semula Huyan dengan Mimpy ( gadis yang selalu membeli aiskrim warna biru sewaktu mereka masih bersekolah) telah membuka lembaran baru dalam hidup Huyan. Melalui Mimpy. Huyan mula berfikir untuk melangkah lebih berani dalam usahanya untuk mengubah kehidupan keluarganya.


Kejadian ayahnya mendapat kemalangan lalu tidak lagi mampu untuk bekerja telah membuatkan Huyan nekad mengikut saranan Mimpy. Maka Huyan mula membabitkan diri dalam penyeludupan beras di sempadan Thailand-Malaysia. Walaupun pekerjaan itu merbahaya, apa pilihan yang Huyan ada memandangkan keperluan hidup yang semakin mendesak. Tambahan, Huyan tidak berpendidikan tinggi.


Saya dari mula telah mengikuti perkembangan Huyan. Huyan satu karekter yang sangat kuat. Malah kisah ini merupakan satu fasa perkembangan seorang remaja menjadi seorang dewasa. Dengan memasukkan unsur pengorbanan, kesetiaan persahabatan, kasih sayang, sifat survivor yang tinggi serta ketaksamaan taraf hidup, Nippan mampu mencuit rasa belas terhadap watak-watak yang ada. Tidak kira watak baik atau jahat, kedua-duanya terus berusaha mengharungi kepayahan hidup dengan tujuan yang sama.


Melalui rakan-rakannya (Mimpy, Adel dan Nakha) Huyan, dari seorang yang sangat naif mula belajar erti kehidupan sebenar. Namun Huyan adalah Huyan. Baginya, kerja sebagai penyeludup beras adalah salah. Terlintas di hatinya untuk berhenti tetapi tidak tahu apa yang perlu dia lakukan untuk menyara keluarganya nanti. Sedangkan dia perlu mengumpul lebih banyak duit untuk membeli basikal aiskrimnya nanti. Impiannya itu dikongsi bersama Mimpy. Saya rasa Mimpy banyak mempengaruhi Huyan dari segi harapan dan impian. Mimpy, dengan power of knowlegde yang dimiliki sentiasa menceritakan apa saja yang dia ketahui. Saya suka dengan watak Mimpy. Karekternya matang dan mengetahui serba serbi apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia bukanlah seperti remaja yang akan berfoya-foya biarpun hidupnya agak senang. Berhenti sekolah (menolong ibunya berniaga) tidak menghalangnya dari membaca kerana  dia boleh mendapat segala maklumat.


Kematian Nakha yang tergelincir dari bumbung keretapi ketika menyeludup beras membuatkan Huyan tersentak. Dia mula memikirkan masa depannya. Apa akan jadi sekiranya nasibnya seperti Nakha? Bagaimana pula nanti nasib keluarganya? Kerisauan ini diceritakan kepada Mimpy. Mimpy bersetuju dengan apa yang dirasai oleh Huyan. Dia lalu mencadangkan agar Huyan mengusahakan kebun bunga dan Mimpy sendiri akan menjual bunga. Sebenarnya, bagi saya, ia adalah impian Huyan dan Mimpy dalam merangka masa depan bersama, demi sebuah kehidupan yang lebih jujur serta tidak terbeban dengan perasaan takut atau risau ditimpa kecelakaan sewaktu menyeludup beras.


Banyak yang saya perolehi dari novel ini. Kehidupan yang sukar kadang-kadang membuatkan kita lebih matang, lebih bertanggungjawab, lebih peka dengan keadaan sekeliling serta lebih tinggi sifat survivornya. Ketaksamaan taraf hidup berlaku di mana-mana. Dugaan dan kesengsaraan yang berlaku boleh mengubah kita menjadi baik atau jahat. Seperti kata penulis,” dalam mana-mana agama sekalipun,pasti akan sentiasa wujud golongan ini; golongan yang baik dan jahat. Dan, kedua dua golongan ini, hidup bersama.”


Jadi,untuk kamu yang meminati karya sastera negara lain, tidak rugi sekiranya novel ini menjadi salah satu koleksi peribadi. Mungkin kamu akan mempelajari sesuatu darinya biarpun ia hanyalah karya tentang seorang remaja yang baru hendak mengenal kehidupan.




Selamat malam dan selamat membaca.







Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Friday 1 February 2013

[Bukan Resensi Buku] Pesta Buku 1 Malaysia 2013 - Shopping Bajet


Salam. Hari ini cuti Hari Wilayah Persekutuan. Yipieee! Apa lagi. Ke PWTC la jawabnya. Shopping buku. Sekarang ni di PWTC berlangsung Pesta Buku 1 Malaysia dari 30hb Jan - 3hb Feb 2013. Saya panggil pameran buku kecil-kecilan. Tapi kecil jangan disangka anak. Walaupun tak segah PBAKL tapi keluar duit juga lah dibuatnya. Mana boleh balik dengan tangan kosong. Ada yang meroyan. Kurang meriah tapi selesa sebab orang tak ramai. Boleh ngada-ngada pusing sampai 60 kali. Kannn... Okey, kata bajet RM100. Kira ini cabaran untuk diri sendirilah supaya tidak berbelanja melebihi had. Dalam kepala dah kira-kira dapat buku dalam 5-6 buah saja. Takpelah, nanti kan ada PBAKL.



Haha. Seperti tak percaya saya dapat 8 buku. Cuma terlebih bajet sedikit disebabkan The Da Vinci Code. Kalau nak tau, masa beli buku ni saya keliru dengan harganya. Macam-macam harga yang dilekatkan. Belek punya belek dapatlah yang hard cover dengan harga RM65. Harga sebenar tak tau sebab ada yang bertanda RM89. Logiknya kita akan ambik yang murahlah kan... Lepas tu dapat lagi diskaun 50 peratus! Masa nak bayar tu tanyalah cashier kenapa harga buku tu lain lain. Kesian dia. Tak tau pun harganya lain-lain. Nasib baik dia tak kisah harga buku yang saya pegang tu. Dapatlah RM32. Lepas dari saya bayar tu terus dia ambil semua buku The Da Vinci Code. Agaknya nak labelkan harga yang betul kut. Apa-apapun terima kasihlah sebab tak kisah saya ambil yang hard cover RM65 tu.





Yang ini saya dapat harga RM8. Rindu Andalusia saya pernah beli lama dulu tapi hilang. Jadi saya beli lagi sekali dengan buku kedua, Cinta Granada. Kisah tentang penderitaan satu keluarga muslim di tengah keruntuhan Kota Cardova. Kisah tentang bagaimana mereka menghadapi kekejaman yang dilakukan oleh orang kristian yang bersembunyi di sebalik 'misi suci'.



Perburuan dari Pramoedya Ananta Toer ini pun saya dapat dengan harga RM8.




Kertasnya dah sedikit kuning. Betul-betul buku lama. Bau pun macam baru keluar dari stor. Hehehe...


Okey, ini cerita tentang buku-buku dari pameran buku di PWTC. Harap-harap dapat dihabiskan sebelum PBAKL 2013. Insyaallah. Baru perasan 6 dari 8 buku tersebut adalah terjemahan. Nampaknya hala tuju pembacaan saya tahun ini adalah buku-buku terjemahan. Dah ada senarai buku dari ITBM untuk dibeli nanti. Tadi tak cukup bajet. Simpan dulu hingga PBAKL 2013 nanti.


Adios.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday 26 January 2013

[Resensi Buku] Isabella - Terjemahan Dato' Abdullah Hussain



Isabella merupakan sebuah novel bertemakan kajian perbandingan agama Islam dan Kristian. Dengan watak utamanya, Isabella, ia adalah  kisah benar tentang perjuangan seorang gadis kristian yang sentiasa mencari kebenaran dan mengkaji ilmu ketuhanan. Dilahirkan sebagai seorang puteri kepada ketua paderi besar Cordoba, dia dididik dengan ilmu agama yang cukup tinggi sehingga dalam usia yang sangat muda (17 tahun) dia sudah mahir dalam masalah yang berkaitan dengan keagamaan. Isabella juga sentiasa terlibat dalam perbincangan mengenai ilmu ketuhanan. Dikurniakan dengan kecantikan wajah serta peribadi yang anggun, bukan sedikit pemuda-pemuda yang berangan akan Isabella termasuk para bangsawan dan paderi-paderi (bukankah hati mereka harus suci dari nafsu?). Namun cita-cita bapa Isabella  mahu Isabella mengikut jejak Mariam, ibu Nabi Isa, tidak berkahwin hingga ke akhir hayat  serta mengabdikan diri kepada Jesus Kristus.


Namun Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Siapa sangka, dari seorang penganut kristian yang fanatik dan seorang ilmuwan dalam teologi, kini menjadi seorang muslim yang alim dan warak, seorang pentafsir hadis dan seorang wanita islam yang sempurna keyakinannya. Tidak sedikit cabaran yang dilalui untuk menjadi seorang muslim. Namun keyakinannya cukup tinggi terhadap kebenaran Islam. Dia telah menyerahkan seluruh hidupnya ke jalan Allah. Isabella meninggal dunia ketika berusia 80 tahun.


Plot cerita yang berlatarbelakangkan bandar Cordoba, Sepanyol ketika itu menyaksikan bagaimana kisah Isabella bermula. Pada suatu petang, Isabella bersama 4 orang rakannya duduk bersantai di sebuah taman yang terkenal dengan keindahannya. Tidak jauh dari situ, 2 orang pemuda Islam, Umar Lahmi dan Maaz sedang duduk berbincang mengenai keraguan dalam dasar ajaran agama kristian. Mereka begitu asyik berbincang sehingga tidak menyedari Isabella dan rakan-rakannya telah mencuri dengar. Isabella mendengar dengan penuh minat  dan cuba mencari jawapan pada persoalan Umar. Dia bertanya kepada ayahnya, gurunya malah mencari jawapan dalam kitab injil namun buntu. Hatinya mula timbul rasa ragu dengan dasar ajaran kristian. Untuk menghilangkan rasa ragu itu, Isabella mengemukakan cadangan agar diadakan perdebatan di antara cendekiawan islam dan kristian.  Semoga keraguan terhadap doktrin ajaran kristian hilang malah Isabella berniat untuk menarik Umar dan Maaz memeluk agama kristian sebagai pengajaran kepada umat Islamyang lain.


Dalam perbincangan pertama, Umar Lahmi meminta penjelasan tentang mengapa St Paul telah mengatakan yang hukum agama itu suatu kutukan. Adakah ianya benar-benar suatu kutukan ataupun tidak? Namun tiada jawapan pasti yang diperolehi kerana Father Peter sentiasa memberikan jawapan yang berbelit-belit. Perbincangan kemudiannya ditangguhkan ke keesokkan harinya. Disebaliknya pertemuan yang tertangguh itu, paderi-paderi mula berbalah sesama sendiri.


Isu perbincanga kedua telah ditetapkan oleh Father Peter. Ianya berkenaan ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Umar Lahmi memulakan perbincangan dengan membaca beberapa potong ayat Al-Quran. Ketika inilah sesuatu telah berlaku pada Isabella. Wajah Isabella kemerahan dan beberapa titik air matanya jatuh meleleh di pipinya yang merah bersih itu. Kerana terlalu terpesona dengan bacaan ayat suci itu, Isabella terjatuh dari kerusi. Hal ini menyebabkan para paderi mula menyangka yang Isabella sudah mula terpengaruh dengan Islam.


Situasi menjadi lebih teruk bila kedua-dua paderi yang cukup dihormati, Father Peterdan Father Michael, tidak berupaya menjawab soalan-soalan Umar walaupun ianya dari Kitab Injil itu sendiri. Ini merupakan tamparan yang cukup hebat sehinggakan mereka mula mengkritik dan menghina ajaran Islam. Keadaan di dalam gereja itu bertambah ribut bila Isabella menyebelahi Umar Lahmi (yang merasakan para paderi itu tidak profesional dalam menangani soal ketuhanan). Father Michael mula memarahi Isabella sehingga mengatakan yang fikiran Isabella dan rakan-rakannya telah dirasuk syaitan dan kemungkinan telah murtad.


Nasib baik ayah Isabella masuk sebelum keadaan bertambah buruk. Ketua paderi itu menempelak para paderi  serta pertemuan yang diadakan itu. Dia merasa malu dengan ketidakupayaan paderi-paderinya berhujah dan menganggap ia hanya akan menganggu kepercayaan orang kristian. Kemarahannya reda bila dipujuk oleh seorang paderi muda dengan alasan yang munasabah bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk menunjukkan kebenaran kepada orang-orang Islam yang dianggap kafir itu, dan berharap mereka kembali ke jalan kebenaran. Setelah terpujuk, ketua paderi itu menjemput Umar Lahmi serta cendekiawan Islam yang lain ke rumah untuk pertemuan seterusnya. Biar segala masalah dapat diselaesaikan dengan baik dan bijaksana serta kebenaran tentang soal ketuhanan mereka akan terjawab.


Pertemuan ketiga juga tidak seperti yang diharapkan. Persoalan mengenai Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus menjadikan perbincangan semakin tidak menyebelahi pihak gereja. Umar Lahmi dengan yakinnya menolak segala dasar ajaran kristian. Umar Lahmi mengatakan yang Kitab Injil mereka adalah palsu atau kitab asal yang telah dimanipulasikan demi kepentingan diri sendiri. Tidak dapat menahan asakan dari Umar Lahmi, Ketua paderi menhalau Umar Serta rakan-rakannya lalu meninggalkan perbincangan itu. Perkara  itu telah menjadi buah mulut di kalangan penganut kristian yang terkejut dengan sikap ketua paderi mereka.


Sejak itu, pegangan Isabella mula goyah bila dia dapat melihat walaupun belum yakin bahawa agamanya seakan-akan tidak mempunyai dasar dan prinsip yang kukuh. Dia mula menumpukan perhatiannya mengkaji isi Kitab Injil dan Al-quran secara senyap. Dia membuat perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua agama itumempunyai kebenaran yang hakiki dan yang mana pula di antaranya yang tidak benar. Dia turut menemui Umar Lahmi untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas semasa membuat perbandingan itu. Hati Isabella mula tunduk kepada Islam namun untuk menukar agamanya adalah sesuatu yang amat sukar. Namun kerana perasaan yang begitu kuat untuk mencapai kebenaran yang terbentang, Isabella nekad memeluk Islam. Terlalu banyak kepincangan yang dilihatnya baik dari ajaran kristian mahupun kehidupan para paderi dan biarawati itu sendiri. Sehinggakan andai diselak kain dan jubah yang dipakai maka akan ternampaklah kudis-kudis busuk di badan masing-masing. Walaupun merahsiakan keislamannya, khabar angin  tetap bertiup kencang. Nyawa Isabella mula terancam.


Apabila dirasakan Isabella sudah tidak dapat dibimbing kembali ke dalam kristian, satu konspisari dibuat. Isabella diculik dan dibawa ke sebuah rumah lalu dikurung di bawah tanah. Isabella dipaksa menjalani satu inkuisisi. Dia diseksa dan dihina namun keimanan Isabella sedikit pun tidak berganjak. Kehilangan Isabella akhirnya sampai kepada orang Islam. Mereka berpakat untuk menyelamatkan Isabella. Satu rancangan telah diatur dan operasi menyelamat itu dilakukan oleh 4 orang sahabat Isabella dengan bantuan orang Islam yang lainnya. Sekali lagi pihak gereja menerima tamparan hebat bila Isabella berjaya diselamatkandengan begitu mudah. Setelah diselamatkan, Isabella dan sahabat-sahabatnya mendapat perlindungan dan dikawal ketat oleh pengawal-pengawal Islam. Mereka mempelajari Islam dengan lebih mendalam dan turut diajar bahasa arab. Beberapa tahun berlalu, Isabella telah menjadi seorang penganut agama Islam yang berhemah tinggi dan diberi gelaran sebagai muhaddis di Cordova.


Usai sahaja membaca, saya menarik nafas. Hati saya amat terkesan dengan watak Isabella. Seorang yang cintakan ilmu, seorang yang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap agamanya, seorang yang berani demi kebenaran, malah langsung tidak gentar menghadapi seksaan fizikal dan mental kerana percaya Allah sentiasa di sisinya. Risikonya tinggi bila dia memeluk Islam di mana dia tidak lagi dipedulikan oleh ibunya. Ayahnya yang  mementingkan kuasa dan kedudukannya sebagai ketua paderi hanya membiarkan anaknya ditangkap untuk menjalani inkuisisi. Dia dibenci oleh para paderi dan biarawati. Namun sahabat-sahabat Isabella tetap berada di sampingnya. Demi persahabatan, mereka sanggup mengadaikan nyawa demi menyelamatkan Isabella. Akhirnya mereka ikut memeluk Islam.


Bagi saya, buku ini memang harus dibaca. Banyak yang kita perolehi dari novel yang diterjemahkan oleh Dato’ Abdullah Hussain ini. Karya asal ditulis oleh Maulana Muhammad Saeed Dehlvi dalam bahasa Urdu.  Mesej yang disampaikan juga cukup jelas iaitu Islam adalah agama yang benar.





Isabella (terjemahan Dato' Abdullah Hussain)
Maulana Muhammad Saeed Dehlvi

Penerbit: Pelima Media Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2011
Halaman: 271
Harga: RM16.00



Dato' Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Beliau merupakan seorang sasterwan negara dan pernah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok pada tahun 1981. Selain itu, Dato' Hussain diberi Anugerah Sasterawan Negara (1996), anugerah Dato' Setia Diraja Kedah serta Anugerah Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara. Kedua-dua nugerah itu membawa gelaran Dato'.  Karya yang ditulis beliau juga banyak. Antara yang penting adalah Interlok dan Terjebak. Novel Isabella telah menarik perhatian beliau sewaktu melihat-lihat buku di Kedai Buku USM pada tahun 1980. 







Selamat membaca.



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...