Followers

Saturday 26 January 2013

[Resensi Buku] Isabella - Terjemahan Dato' Abdullah Hussain



Isabella merupakan sebuah novel bertemakan kajian perbandingan agama Islam dan Kristian. Dengan watak utamanya, Isabella, ia adalah  kisah benar tentang perjuangan seorang gadis kristian yang sentiasa mencari kebenaran dan mengkaji ilmu ketuhanan. Dilahirkan sebagai seorang puteri kepada ketua paderi besar Cordoba, dia dididik dengan ilmu agama yang cukup tinggi sehingga dalam usia yang sangat muda (17 tahun) dia sudah mahir dalam masalah yang berkaitan dengan keagamaan. Isabella juga sentiasa terlibat dalam perbincangan mengenai ilmu ketuhanan. Dikurniakan dengan kecantikan wajah serta peribadi yang anggun, bukan sedikit pemuda-pemuda yang berangan akan Isabella termasuk para bangsawan dan paderi-paderi (bukankah hati mereka harus suci dari nafsu?). Namun cita-cita bapa Isabella  mahu Isabella mengikut jejak Mariam, ibu Nabi Isa, tidak berkahwin hingga ke akhir hayat  serta mengabdikan diri kepada Jesus Kristus.


Namun Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Siapa sangka, dari seorang penganut kristian yang fanatik dan seorang ilmuwan dalam teologi, kini menjadi seorang muslim yang alim dan warak, seorang pentafsir hadis dan seorang wanita islam yang sempurna keyakinannya. Tidak sedikit cabaran yang dilalui untuk menjadi seorang muslim. Namun keyakinannya cukup tinggi terhadap kebenaran Islam. Dia telah menyerahkan seluruh hidupnya ke jalan Allah. Isabella meninggal dunia ketika berusia 80 tahun.


Plot cerita yang berlatarbelakangkan bandar Cordoba, Sepanyol ketika itu menyaksikan bagaimana kisah Isabella bermula. Pada suatu petang, Isabella bersama 4 orang rakannya duduk bersantai di sebuah taman yang terkenal dengan keindahannya. Tidak jauh dari situ, 2 orang pemuda Islam, Umar Lahmi dan Maaz sedang duduk berbincang mengenai keraguan dalam dasar ajaran agama kristian. Mereka begitu asyik berbincang sehingga tidak menyedari Isabella dan rakan-rakannya telah mencuri dengar. Isabella mendengar dengan penuh minat  dan cuba mencari jawapan pada persoalan Umar. Dia bertanya kepada ayahnya, gurunya malah mencari jawapan dalam kitab injil namun buntu. Hatinya mula timbul rasa ragu dengan dasar ajaran kristian. Untuk menghilangkan rasa ragu itu, Isabella mengemukakan cadangan agar diadakan perdebatan di antara cendekiawan islam dan kristian.  Semoga keraguan terhadap doktrin ajaran kristian hilang malah Isabella berniat untuk menarik Umar dan Maaz memeluk agama kristian sebagai pengajaran kepada umat Islamyang lain.


Dalam perbincangan pertama, Umar Lahmi meminta penjelasan tentang mengapa St Paul telah mengatakan yang hukum agama itu suatu kutukan. Adakah ianya benar-benar suatu kutukan ataupun tidak? Namun tiada jawapan pasti yang diperolehi kerana Father Peter sentiasa memberikan jawapan yang berbelit-belit. Perbincangan kemudiannya ditangguhkan ke keesokkan harinya. Disebaliknya pertemuan yang tertangguh itu, paderi-paderi mula berbalah sesama sendiri.


Isu perbincanga kedua telah ditetapkan oleh Father Peter. Ianya berkenaan ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Umar Lahmi memulakan perbincangan dengan membaca beberapa potong ayat Al-Quran. Ketika inilah sesuatu telah berlaku pada Isabella. Wajah Isabella kemerahan dan beberapa titik air matanya jatuh meleleh di pipinya yang merah bersih itu. Kerana terlalu terpesona dengan bacaan ayat suci itu, Isabella terjatuh dari kerusi. Hal ini menyebabkan para paderi mula menyangka yang Isabella sudah mula terpengaruh dengan Islam.


Situasi menjadi lebih teruk bila kedua-dua paderi yang cukup dihormati, Father Peterdan Father Michael, tidak berupaya menjawab soalan-soalan Umar walaupun ianya dari Kitab Injil itu sendiri. Ini merupakan tamparan yang cukup hebat sehinggakan mereka mula mengkritik dan menghina ajaran Islam. Keadaan di dalam gereja itu bertambah ribut bila Isabella menyebelahi Umar Lahmi (yang merasakan para paderi itu tidak profesional dalam menangani soal ketuhanan). Father Michael mula memarahi Isabella sehingga mengatakan yang fikiran Isabella dan rakan-rakannya telah dirasuk syaitan dan kemungkinan telah murtad.


Nasib baik ayah Isabella masuk sebelum keadaan bertambah buruk. Ketua paderi itu menempelak para paderi  serta pertemuan yang diadakan itu. Dia merasa malu dengan ketidakupayaan paderi-paderinya berhujah dan menganggap ia hanya akan menganggu kepercayaan orang kristian. Kemarahannya reda bila dipujuk oleh seorang paderi muda dengan alasan yang munasabah bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk menunjukkan kebenaran kepada orang-orang Islam yang dianggap kafir itu, dan berharap mereka kembali ke jalan kebenaran. Setelah terpujuk, ketua paderi itu menjemput Umar Lahmi serta cendekiawan Islam yang lain ke rumah untuk pertemuan seterusnya. Biar segala masalah dapat diselaesaikan dengan baik dan bijaksana serta kebenaran tentang soal ketuhanan mereka akan terjawab.


Pertemuan ketiga juga tidak seperti yang diharapkan. Persoalan mengenai Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus menjadikan perbincangan semakin tidak menyebelahi pihak gereja. Umar Lahmi dengan yakinnya menolak segala dasar ajaran kristian. Umar Lahmi mengatakan yang Kitab Injil mereka adalah palsu atau kitab asal yang telah dimanipulasikan demi kepentingan diri sendiri. Tidak dapat menahan asakan dari Umar Lahmi, Ketua paderi menhalau Umar Serta rakan-rakannya lalu meninggalkan perbincangan itu. Perkara  itu telah menjadi buah mulut di kalangan penganut kristian yang terkejut dengan sikap ketua paderi mereka.


Sejak itu, pegangan Isabella mula goyah bila dia dapat melihat walaupun belum yakin bahawa agamanya seakan-akan tidak mempunyai dasar dan prinsip yang kukuh. Dia mula menumpukan perhatiannya mengkaji isi Kitab Injil dan Al-quran secara senyap. Dia membuat perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua agama itumempunyai kebenaran yang hakiki dan yang mana pula di antaranya yang tidak benar. Dia turut menemui Umar Lahmi untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas semasa membuat perbandingan itu. Hati Isabella mula tunduk kepada Islam namun untuk menukar agamanya adalah sesuatu yang amat sukar. Namun kerana perasaan yang begitu kuat untuk mencapai kebenaran yang terbentang, Isabella nekad memeluk Islam. Terlalu banyak kepincangan yang dilihatnya baik dari ajaran kristian mahupun kehidupan para paderi dan biarawati itu sendiri. Sehinggakan andai diselak kain dan jubah yang dipakai maka akan ternampaklah kudis-kudis busuk di badan masing-masing. Walaupun merahsiakan keislamannya, khabar angin  tetap bertiup kencang. Nyawa Isabella mula terancam.


Apabila dirasakan Isabella sudah tidak dapat dibimbing kembali ke dalam kristian, satu konspisari dibuat. Isabella diculik dan dibawa ke sebuah rumah lalu dikurung di bawah tanah. Isabella dipaksa menjalani satu inkuisisi. Dia diseksa dan dihina namun keimanan Isabella sedikit pun tidak berganjak. Kehilangan Isabella akhirnya sampai kepada orang Islam. Mereka berpakat untuk menyelamatkan Isabella. Satu rancangan telah diatur dan operasi menyelamat itu dilakukan oleh 4 orang sahabat Isabella dengan bantuan orang Islam yang lainnya. Sekali lagi pihak gereja menerima tamparan hebat bila Isabella berjaya diselamatkandengan begitu mudah. Setelah diselamatkan, Isabella dan sahabat-sahabatnya mendapat perlindungan dan dikawal ketat oleh pengawal-pengawal Islam. Mereka mempelajari Islam dengan lebih mendalam dan turut diajar bahasa arab. Beberapa tahun berlalu, Isabella telah menjadi seorang penganut agama Islam yang berhemah tinggi dan diberi gelaran sebagai muhaddis di Cordova.


Usai sahaja membaca, saya menarik nafas. Hati saya amat terkesan dengan watak Isabella. Seorang yang cintakan ilmu, seorang yang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap agamanya, seorang yang berani demi kebenaran, malah langsung tidak gentar menghadapi seksaan fizikal dan mental kerana percaya Allah sentiasa di sisinya. Risikonya tinggi bila dia memeluk Islam di mana dia tidak lagi dipedulikan oleh ibunya. Ayahnya yang  mementingkan kuasa dan kedudukannya sebagai ketua paderi hanya membiarkan anaknya ditangkap untuk menjalani inkuisisi. Dia dibenci oleh para paderi dan biarawati. Namun sahabat-sahabat Isabella tetap berada di sampingnya. Demi persahabatan, mereka sanggup mengadaikan nyawa demi menyelamatkan Isabella. Akhirnya mereka ikut memeluk Islam.


Bagi saya, buku ini memang harus dibaca. Banyak yang kita perolehi dari novel yang diterjemahkan oleh Dato’ Abdullah Hussain ini. Karya asal ditulis oleh Maulana Muhammad Saeed Dehlvi dalam bahasa Urdu.  Mesej yang disampaikan juga cukup jelas iaitu Islam adalah agama yang benar.





Isabella (terjemahan Dato' Abdullah Hussain)
Maulana Muhammad Saeed Dehlvi

Penerbit: Pelima Media Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2011
Halaman: 271
Harga: RM16.00



Dato' Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Beliau merupakan seorang sasterwan negara dan pernah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok pada tahun 1981. Selain itu, Dato' Hussain diberi Anugerah Sasterawan Negara (1996), anugerah Dato' Setia Diraja Kedah serta Anugerah Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara. Kedua-dua nugerah itu membawa gelaran Dato'.  Karya yang ditulis beliau juga banyak. Antara yang penting adalah Interlok dan Terjebak. Novel Isabella telah menarik perhatian beliau sewaktu melihat-lihat buku di Kedai Buku USM pada tahun 1980. 







Selamat membaca.



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

5 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...