Followers

Sunday 17 June 2012

Review Novel: Adamaryam a.k.a Code X



ADAMARYAM
Xarine


ISBN: 978-967-5118-74-6
Penerbit: Jemari Seni Sdn bhd
Tarikh terbit: November 2011
Halaman: 504
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)






Salam. Jujurnya saya agak 'lost' dalam membuat review kali ini. Ini kerana novel Adamaryam telah lama saya habis baca ( lebih kurang 6 bulan lepas). Novel ini saya jumpa ketika melayari laman web Jemari Seni penghujung tahun lepas. Itulah kali pertama saya kenal dengan nama penulisnya. Beliau juga pernah menghasilkan 2 lagi novel iaitu Yuda dan Bintang-bintang Ke Syurga. Mungkin juga sekarang dalam proses menghasilkan Yuda 2.

Untuk memudahkan review, saya ulang-baca cerita ini sepintas lalu. Persepsi saya? Ia adalah sebuah cerita aksi-thriller yang ringan. Xarine membawa saya mengenali alam pekerjaan kilang. Bukan secara detail tapi cukup untuk saya tahu serba sedikit bagaimana keadaan bekerja di kilang. Saya anggarkan yang penulis sendiri adalah jurutera kilang (maaf,kalau saya silap). Banyak juga perkataan-perkataan yang berteknologi tinggi yang digunakan. Kebanyakannya tidak saya fahami namun ia tidak langsung mengugat keinginan saya untuk terus membaca. Bahasa kelantan pun ada. Kelakar rasanya bila mulut saya terkumat kumit mengulangi dialog  Bani. Hehe..

Okey, saya ringkaskan cerita. Adam mempunyai segala-galanya. Genius, berpangkat, ada rupa sehingga menjadi kegilaan ramai gadis-gadis kilang di situ. Bagi saya Adam adalah lelaki kategori 5 bintang! Adam berjaya mencipta formula Code X yang bakal mengubah kehidupan manusia. Wow, hebat! Apa itu Code X? Itu kena baca sendiri kerana Code X ini yang sebenarnya membawa kepada perkembangan plot Adamaryam (walaupun sinopsisnya seolah-olah mengambarkan Maryam adalah tunjang utama cerita ini).

Formula Code X yang dicipta itu mengheret Adam dalam konflik jenayah peringkat antarabangsa. Ramai yang mahukan formula tersebut. Kepercayaan dan kesetiaan bukan lagi perkara pokok. Wang adalah segala-galanya hingga Adam diculik dengan daya tipu muslihat oleh orang yang dipercayai. Musuh dalam selimut! Apabila projek bernilai jutaan USD itu hampir siap, formula itu pula diciplak dan menyebabkan projek itu hampir dibatalkan. Maka terbongkar satu demi satu rahsia disebalik penghasilan formula Code X. Sempurna, saya memang suka cerita aksi.

Oh ya, saya memang tidak menyentuh kisah cinta yang dipaparkan. Permulaan cerita memang agak perlahan. Pengenalan kepada watak-watak yang terlibat serta kaitan antaranya tidak begitu saya fokuskan. Bagi saya, itu hanya proses biasa dalam jalinan sesuatu cerita. Namun dipengakhirannya, saya terkesan dengan watak Bani. Walaupun niat sebenarnya baik namun cara Bani menyelesaikan masalahnya telah mendatangkan musibah pada diri sendiri. Betullah orang kata yang niat tidak menghalalkan cara.

Kesimpulannya, cerita ini memang sesuai untuk mereka yang suka genre aksi yang tidak keterlaluan. Diselitkan dengan kisah cinta untuk diseimbangkan dengan gaya cerita yang pantas dan mendebarkan. Secara peribadi, saya rasa yang Adamaryam boleh berdiri sendiri dalam genre begini tanpa melibatkan kisah cinta. Namun, penulisnya lebih tahu apa yang ingin disajikan. Apa-apa pun syabas saya ucapkan kerana mampu menulis cerita aksi-thriller sebegini.



Selamat membaca.



Even if they can buy the sun, they can't buy you.
Islam made your heart worth heaven.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday 3 June 2012

Review Novel: For One More Day ( Untuk Sehari Lagi)


FOR ONE MORE DAY
Mitch Albom


ISBN: 978-967-5783-06-7
Penerbit: PTS Litera Sdn bhd
Tarikh terbit: 31 Mac 2010
Halaman: 247
Harga: RM17.50











Novel ini merupakan novel terjemahan kedua yang saya baca untuk tahun ini selepas Gadis-gadis Kota Riyadh. Untuk Sehari Lagi diterjemahkan oleh PTS Litera, hasil karya Mitch Albom - For One More Day. Kisahnya adalah mengenai pertemuan yang sekejap antara anak dan ibunya yang sudah tiada. 

"Apakah yang akan kita lakukan jika kita diberi peluang melalui semula satu hari bersama orang yang kita sayang, yang sudah pun pergi?" - itulah persoalan yang diangkat dalam novel ini. Dan sehingga habis novel ini dibaca, saya percaya, kita tidak pernah tahu dan tidak mahu ambil tahu bahawa ibu adalah IBU yang paling baik sehingga kita sendiri menjadi ibu.

Charles 'Chick' Banetto cuba membunuh diri tetapi gagal. Dalam 10 tahun selepas kematian ibunya, dia mengalami kegagalan demi kegagalan (juga gagal dalam cubaan membunuh diri, heh!). Gagal dalam sukan besbol, perkahwinan, karier dan disisih oleh anaknya. Namun saya kira, menyesal atas pembohongan yang dia lakukan pada malam sebelum kematian ibunya yang lebih menghantui kehidupan Chick.

Sewaktu kecil, Chick disuruh memilih sama ada menjadi anak ayah atau anak ibu. Dia memilih untuk menjadi anak ayah sehinggalah lelaki itu meninggalkan mereka. Mulai saat itu, Chick beralih menjadi anak ibu. Namun sepanjang kehidupan bersama ibunya, ada perkara-perkara yang dia tidak tahu mengenai ibunya. Seperti kehidupan kita sendiri, adakalanya kita suka dan adakalanya kita tidak suka ibu kita (proses pembesaran dari kanak-kanak hingga dewasa). 

Dan kegagalan membunuh diri (Chick percaya yang roh ibunya telah menyelamatkan dia) telah memberi peluang pada Chick bersama dengan ibunya untuk sehari lagi. Di sinilah bermula kisah yang Chick tidak tahu, mengenai bagaimana ibunya berusaha keras untuk membesarkan mereka, perasaan ibunya dan kekecewaan yang ibunya alami selepas berpisah dengan suami.

Gaya penulisan Mitch Albom cukup santai tetapi mampu membuat saya rasa hiba. Hiba kerana sesungguhnya kita tidak pernah nampak dengan jelas kasih sayang seorang ibu dan kepayahannya dalam membesarkan anak-anak. Dan yang paling suka saya baca ialah surat-surat ibu untuk Chick. Sangat menyentuh hati.

Novel ini sedikit berat. Maklumlah, kisah keluarga. Namun saya jamin pembaca tidak hampa dengan ceritanya. Banyak pengajaran yang diperolehi. Di bawah ini saya sertakan beberapa quotes yang ada dalam novel ini,


"Berbalik kepada sesuatu yang sudah kamu tinggalkan tidak semudah yang kamu sangka" (ms. 163)

"Apabila seseorang sentiasa dalam ingatan kamu, dia tidak hilang sepenuhnya. Dia mampu datang kepada kamu walaupun pada masa-masa tidak diduga." (ms. 179)

"Kekal setia dengan keluarga. Itulah yang menjadikan satu keluarga bahagia." (ms. 229)

"Anak tidak sepatutnya dipaksa memilih." (ms. 235)

"...kamu boleh menjumpai sesuatu yang amat berharga dan penting dalam waktu-waktu yang dianggap biasa." (ms. 241)

"Kadang-kadang, ceritanya mudah sahaja,dan kadang-kadang sebabnya pedih dan menyayat hati. Tetapi di belakang setiap cerita kamu, sentiasa ada cerita ibu kamu, sebab cerita kamu bermula daripada ceritanya." (ms. 243)


Selamat membaca.



Ingati saya semasa hari-hari ini, bukan hari-hari saya yang lalu.












Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...