Followers

Monday 14 October 2013

[Resensi Buku] Bougainvillea - Packy Sidique



Bougainvillea

Packy Sidique
ISBN:978-967-0508-04-7
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2012
Harga: RM22.00 (Sem. Malaysia)/RM25.00 (Sabah/Sarawak)







Assalamualaikum. Ini review pertama setelah beberapa bulan terhenti. Sebenarnya dalam beberapa bulan itu, banyak buku-buku yang sudah habis saya baca. Cumanya tidak diulas disini. Tetapi sehabis sahaja membaca karya pertama penulis ini, keinginan itu datang semula.

Bougainvillea pada saya merupakan kisah penyiasatan yang 'soft', kurang suspen tetapi teratur. Walaupun penyiasatan yang dilakukan antara nampak tak nampak, ia masih lagi membawa rasa ingin tahu perkaitan antara watak-watak suspek jenayah.

Seperti lazimnya cerita penyiasatan, ia bermula dengan satu kes pembunuhan. Satu mayat milik seorang gadis ditemui dengan kesan dicekik di satu kawasan pelupusan. Kes ini disiasat oleh ASP Kimi. Kimi, seorang yang digambarkan oleh penulis sebagai seorang yang tinggi dan tegap (sesuai dengan tugasnya sebagai pegawai polis) serta mempunyai wajah 'chinese look'. Menyertai pasukan polis kerana mempunyai misi sampingan iaitu ingin menjejaki kehilangan Nina, kekasih yang hilang 10 tahun lepas. Takdir telah menemukan dia dengan Deena. Lebih dramatik lagi, wajah Deena saling tak tumpah wajah Nina.

Watak Deena adalah medium yang membawa kepada apa yang berlaku kepada Nina. Deena yang baru berpindah ke Penang kebetulan tinggal di rumah yang pernah didiami Nina. Sejak itu Deena sering diganggu mimpi yang sebenarnya merupakan mesej untuknya. Namun ingin saya nyatakan bahawa kehilangan Nina bukanlah fokus utama cerita ini. Cuma siasatan ke atas kes pembunuhan yang berlaku telah membawa kepada penemuan kehilangan Nina sekaligus.

Risau kalau-kalau rahsianya terdedah, penjenayah tersebut telah menukar identitinya. Mangsanya kali ini ialah Edelene, tanpa menyedari Edelene adalah seorang pegawai polis. Apa yang berlaku kepada Edelene sama seperti mangsa-mangsa sebelumnya tetapi nasib Edelene lebih baik. Dia selamat walaupun koma. Sayangnya, kerana dia adalah salah seorang saksi utama selain Daniel (pelayan restoran) yang pernah melihat si penjenayah tersebut.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Akhirnya penjenayah itu dapat dikesan. Seperti biasa teori saya, watak yang kurang ditonjolkan itulah watak penjenayah. Namun, bagi saya profil penjenayah tidak cukup kuat dari segi psikologi untuk membolehkan dia dianggap sebagai 'pembunuh bersiri'. Seharusnya perlu diletakkan sejarah yang lebih kelam kerana untuk muncul sebagai pembunuh bersiri tidak cukup hanya bermula dengan kenakalan di waktu remaja.

Walaubagaimanapun, saya cukup enjoy dengan novel ini. Segala tanda tanya apa kaitan penjenayah dengan suspek yang lain terjawab. Kenapa tajuk novel ini Bougainvillea? Itu kena baca sendiri.

Tahniah untuk penulis, Packy Sidique.
 
 
Selamat membaca.
 
 
 
 
 
Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday 5 October 2013

Jodoh Tak Ke Mana



Assalamualaikum.


Ada yang kata berkahwin itu umpama satu kemenangan bagi orang bujang. Banyak usaha yang dilakukan serta halangan yang perlu ditempuhi sepanjang hidup membujang hingga ke hari perkahwinan. Maka tidak hairan, sah sahaja akad nikah semua akan menadah tangan mengucap syukur, mendoakan agar perkahwinan itu mendapat keberkatan Allah serta bahagianya berpanjangan hingga ke Jannah.



Dalam bab jodoh, isunya tidak pernah terhenti. Sebagai seorang muslim, kita amat percaya yang jodoh itu urusan Allah. Kita tidak akan tahu siapa pasangan kita. Tapi bukan bermakna kita hanya perlu menunggu di tepi pintu mengharapkan tiba-tiba orang datang meminang. Kita bukannya pujaan ramai sampai orang sanggup berbaris mahukan kita. Jodoh perlu juga diusahakan. Perlu juga dicari-cari. Bukanlah maksud saya seperti mencari barang di Suria KLCC. Bukan. Tidak salah kalau diusahakan berkawan dulu untuk mengenali diri masing-masing. Berkawan - jatuh cinta - putus di tengah jalan - jumpa orang baru, adalah proses dalam mencari jodoh. Ada yang jatuh cinta terus kahwin. Ada yang dah berkali-kali kecewa baru berjumpa yang betul. Malah ada bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain kemudian berkahwin pula dengan orang lain. 



Selalunya, bila kita sudah mula berkawan rapat denagan seseorang, hati mula tertanya-tanya adakah dia jodoh kita. Di sinilah peranan hati. Adakala kita pasti lalu diteruskan ke peringkat seterusnya iaitu berkahwin. Adakalanya kita dilanda rasa was-was. Maka istikharahlah jawapannya. Siapa pun calonnya, sudah pasti dia adalah orang yang kita bersedia untuk berkongsi apa sahaja. Sebelum berkahwin, kita sudah pastikan yang kita telah memilih yang terbaik. Maka, selepas berkahwin terimalah pasangan kita apa adanya.



Pilihan sendiri atau pilihan keluarga? Soal ini agak subjektif. Tidak ada bukti menunjukkan pilihan orang tua adalah terbaik. Namun begitu, jangan pula membelakangkan mereka dalam urusan memilih jodoh sendiri. Kerana itu juga, Islam telah meletakkan panduan dalam memilih jodoh. Sudah tentunya yang menitikberatkan agamanya yang dinilai dahulu. Tetapi yang paling penting, untuk mendapat jodoh yang baik, diri sendiri perlu menjadi baik dahulu. Lelaki baik untuk perempuan baik. Perempuan baik untuk lelaki yang baik. Itu janji Allah.



Apa-apapun, sekiranya berkahwin ini diibaratkan sebagai kemenangan bagi orang bujang, maka untuk mengekalkan kemenangan itu juga memerlukan usaha yang bukan sedikit.  Kita merancang, tetapi perancangan Allah yang terbaik. Yang penting bersabar, bersyukur, berusaha, berdoa dan tawakal. Hanya Dia, Allah yang Maha Adil.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...