Followers

Tuesday 12 November 2013

[Resensi Buku] Sebelas Patriot: Impian Dan Pengorbanan


Sebelas Patriot
Andrea Hirata
 
ISBN:978-967-408-071-6
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
Tarikh terbit: 23 March 2012
Halaman: 80
Harga: RM10.00 (Sem. Malaysia)/RM12.00 (Sabah/Sarawak)
 
 
 
Assalamualaikum.
 

Nipis tapi memukau! Dari tetrologi 'Laskar Pelangi', kemudian 'Padang Bulan', hingga ke 'Sebelas Patriot, kesemuanya tidak pernah gagal memukau perasaan saya. Kadang-kadang saya terfikir magis apa yang ada pada Andrea Hirata ini? Mungkinkah terletak pada sifat karyanya yang 'humble'? Atau boleh saya katakan karyanya jujur dan sederhana dalam setiap penceritaan. Aduhai...sebenarnya sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.

Seperti selalu, 'Aku' merujuk pada watak Ikal. Sebenarnya saya tidak suka penceritaan yang menggunakan kata ganti aku. Sebabnya 'aku' itu sangat 'serba tahu' sifatnya, malah 'aku' itu juga tebal sifat 'keakuannya'. Itu pada saya. Namun, Andrea Hirata mempunyai kemahiran untuk meneutralkan penggunaan 'aku' menjadi lebih jujur dan sederhana tetapi kuat karekternya. Saya rasa ini antara kekuatannya yang tidak semua penulis ada.

Dalam Sebelas Patriot, masih lagi tentang perasaan sayang Ikal terhadap ayahnya, tentang impian yang ingin digapai dan tentang pengorbanan. Dan semua itu dizahirkan oleh penulis melalui kisah tentang bola. Semuanya bermula dari sekeping gambar lama yang Ikal jumpa secara tidak sengaja; yang sengaja disimpan jauh seperti tidak mahu lagi mengingati kenangan lama itu. Gambar itu adalah gambar yang menyimpan segala kisah suka duka masa lampau. 

Gambar itu menyimpan kisah kegemilangan ayahnya, yang kemudiannya menjadi satu episod duka. Ayah Ikal rupa-rupanya seorang pemain bola sepak. Bersama-sama dua lagi adik beradiknya, dia yang bermain sayap kiri menjadikan perlawanan bola sepak sebagai satu cara untuk menentang penjajahan Belanda pada ketika itu. Sudah menjadi sifat penjajah, mereka tidak mahu dikalahkan. Kalah itu bererti malu! Dalam meraikan kemenangan menjaringkan gol, rupa-rupanya ayah Ikal menempah malang. Esoknya, ayahnya di bawa ke balai polis (harusnya orang Belanda) dan ditahan sehingga seminggu. Ayahnya kemudian kembali dengan tempurung lutut hancur.
 
Mengetahui kisah ayahnya membuatkan Ikal berazam untuk menunaikan impian ayahnya dengan menjadikan dirinya pemain bola sepak bagi pasukan kebangsaan Indonesia (PSSI). Bermula dengan pemilihan pemain junior daerah, kemudiannya membawa kepada pemilihan pemain junior wilayah barulah pemilihan untuk kemasukkan pemain PSSI. Semuanya harus dilalui tanpa kompromi. 

Berjayakah Ikal? 

Dalam novel ini, penulis menzahirkan bola sepak itu sebagai:

1) patriotisme
2) kegigihan & kesungguhan
3) pengorbanan & keikhlasan
4) rasa cinta & inspirasi
5) kegembiraan & keghairahan
6) politik
7) perniagaan
8) budaya dan sejarah
9) kehidupan
 

Selesai saya menulis entri ini, satu persoalan terdetik di fikiran. Bagaimana pula halnya dengan situasi bola sepak kita?
 
 
Selamat membaca!

Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...