Followers

Saturday 5 October 2013

Jodoh Tak Ke Mana



Assalamualaikum.


Ada yang kata berkahwin itu umpama satu kemenangan bagi orang bujang. Banyak usaha yang dilakukan serta halangan yang perlu ditempuhi sepanjang hidup membujang hingga ke hari perkahwinan. Maka tidak hairan, sah sahaja akad nikah semua akan menadah tangan mengucap syukur, mendoakan agar perkahwinan itu mendapat keberkatan Allah serta bahagianya berpanjangan hingga ke Jannah.



Dalam bab jodoh, isunya tidak pernah terhenti. Sebagai seorang muslim, kita amat percaya yang jodoh itu urusan Allah. Kita tidak akan tahu siapa pasangan kita. Tapi bukan bermakna kita hanya perlu menunggu di tepi pintu mengharapkan tiba-tiba orang datang meminang. Kita bukannya pujaan ramai sampai orang sanggup berbaris mahukan kita. Jodoh perlu juga diusahakan. Perlu juga dicari-cari. Bukanlah maksud saya seperti mencari barang di Suria KLCC. Bukan. Tidak salah kalau diusahakan berkawan dulu untuk mengenali diri masing-masing. Berkawan - jatuh cinta - putus di tengah jalan - jumpa orang baru, adalah proses dalam mencari jodoh. Ada yang jatuh cinta terus kahwin. Ada yang dah berkali-kali kecewa baru berjumpa yang betul. Malah ada bercinta dengan orang lain, bertunang dengan orang lain kemudian berkahwin pula dengan orang lain. 



Selalunya, bila kita sudah mula berkawan rapat denagan seseorang, hati mula tertanya-tanya adakah dia jodoh kita. Di sinilah peranan hati. Adakala kita pasti lalu diteruskan ke peringkat seterusnya iaitu berkahwin. Adakalanya kita dilanda rasa was-was. Maka istikharahlah jawapannya. Siapa pun calonnya, sudah pasti dia adalah orang yang kita bersedia untuk berkongsi apa sahaja. Sebelum berkahwin, kita sudah pastikan yang kita telah memilih yang terbaik. Maka, selepas berkahwin terimalah pasangan kita apa adanya.



Pilihan sendiri atau pilihan keluarga? Soal ini agak subjektif. Tidak ada bukti menunjukkan pilihan orang tua adalah terbaik. Namun begitu, jangan pula membelakangkan mereka dalam urusan memilih jodoh sendiri. Kerana itu juga, Islam telah meletakkan panduan dalam memilih jodoh. Sudah tentunya yang menitikberatkan agamanya yang dinilai dahulu. Tetapi yang paling penting, untuk mendapat jodoh yang baik, diri sendiri perlu menjadi baik dahulu. Lelaki baik untuk perempuan baik. Perempuan baik untuk lelaki yang baik. Itu janji Allah.



Apa-apapun, sekiranya berkahwin ini diibaratkan sebagai kemenangan bagi orang bujang, maka untuk mengekalkan kemenangan itu juga memerlukan usaha yang bukan sedikit.  Kita merancang, tetapi perancangan Allah yang terbaik. Yang penting bersabar, bersyukur, berusaha, berdoa dan tawakal. Hanya Dia, Allah yang Maha Adil.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...