Followers

Sunday 3 June 2012

Review Novel: For One More Day ( Untuk Sehari Lagi)


FOR ONE MORE DAY
Mitch Albom


ISBN: 978-967-5783-06-7
Penerbit: PTS Litera Sdn bhd
Tarikh terbit: 31 Mac 2010
Halaman: 247
Harga: RM17.50











Novel ini merupakan novel terjemahan kedua yang saya baca untuk tahun ini selepas Gadis-gadis Kota Riyadh. Untuk Sehari Lagi diterjemahkan oleh PTS Litera, hasil karya Mitch Albom - For One More Day. Kisahnya adalah mengenai pertemuan yang sekejap antara anak dan ibunya yang sudah tiada. 

"Apakah yang akan kita lakukan jika kita diberi peluang melalui semula satu hari bersama orang yang kita sayang, yang sudah pun pergi?" - itulah persoalan yang diangkat dalam novel ini. Dan sehingga habis novel ini dibaca, saya percaya, kita tidak pernah tahu dan tidak mahu ambil tahu bahawa ibu adalah IBU yang paling baik sehingga kita sendiri menjadi ibu.

Charles 'Chick' Banetto cuba membunuh diri tetapi gagal. Dalam 10 tahun selepas kematian ibunya, dia mengalami kegagalan demi kegagalan (juga gagal dalam cubaan membunuh diri, heh!). Gagal dalam sukan besbol, perkahwinan, karier dan disisih oleh anaknya. Namun saya kira, menyesal atas pembohongan yang dia lakukan pada malam sebelum kematian ibunya yang lebih menghantui kehidupan Chick.

Sewaktu kecil, Chick disuruh memilih sama ada menjadi anak ayah atau anak ibu. Dia memilih untuk menjadi anak ayah sehinggalah lelaki itu meninggalkan mereka. Mulai saat itu, Chick beralih menjadi anak ibu. Namun sepanjang kehidupan bersama ibunya, ada perkara-perkara yang dia tidak tahu mengenai ibunya. Seperti kehidupan kita sendiri, adakalanya kita suka dan adakalanya kita tidak suka ibu kita (proses pembesaran dari kanak-kanak hingga dewasa). 

Dan kegagalan membunuh diri (Chick percaya yang roh ibunya telah menyelamatkan dia) telah memberi peluang pada Chick bersama dengan ibunya untuk sehari lagi. Di sinilah bermula kisah yang Chick tidak tahu, mengenai bagaimana ibunya berusaha keras untuk membesarkan mereka, perasaan ibunya dan kekecewaan yang ibunya alami selepas berpisah dengan suami.

Gaya penulisan Mitch Albom cukup santai tetapi mampu membuat saya rasa hiba. Hiba kerana sesungguhnya kita tidak pernah nampak dengan jelas kasih sayang seorang ibu dan kepayahannya dalam membesarkan anak-anak. Dan yang paling suka saya baca ialah surat-surat ibu untuk Chick. Sangat menyentuh hati.

Novel ini sedikit berat. Maklumlah, kisah keluarga. Namun saya jamin pembaca tidak hampa dengan ceritanya. Banyak pengajaran yang diperolehi. Di bawah ini saya sertakan beberapa quotes yang ada dalam novel ini,


"Berbalik kepada sesuatu yang sudah kamu tinggalkan tidak semudah yang kamu sangka" (ms. 163)

"Apabila seseorang sentiasa dalam ingatan kamu, dia tidak hilang sepenuhnya. Dia mampu datang kepada kamu walaupun pada masa-masa tidak diduga." (ms. 179)

"Kekal setia dengan keluarga. Itulah yang menjadikan satu keluarga bahagia." (ms. 229)

"Anak tidak sepatutnya dipaksa memilih." (ms. 235)

"...kamu boleh menjumpai sesuatu yang amat berharga dan penting dalam waktu-waktu yang dianggap biasa." (ms. 241)

"Kadang-kadang, ceritanya mudah sahaja,dan kadang-kadang sebabnya pedih dan menyayat hati. Tetapi di belakang setiap cerita kamu, sentiasa ada cerita ibu kamu, sebab cerita kamu bermula daripada ceritanya." (ms. 243)


Selamat membaca.



Ingati saya semasa hari-hari ini, bukan hari-hari saya yang lalu.












Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

3 comments:

  1. macam best, nanti nak beli lah .. :)

    jum jalan2 sini..
    http://cheritakuhzara.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. Selamat sejahtera, cik berminat tak nak jual buku ini?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...