Followers

Monday 21 May 2012

Review Novel: Datang Pada Waktunya



Datang Pada Waktunya
Maria Kajiwa


ISBN: 978-967-365-121-4
Penerbit: Fajar Fakeer Sdn Bhd
Tarikh terbit: April 2012
Halaman: 476
Harga: RM20.00

~Tiada yang lebih indah daripada apa yang ada antara kita~






Datang Pada Waktunya. Sebelum ini saya membaca beberapa bab dari novel ini di sini. Maria Kajiwa memang tidak pernah mengecewakan saya dengan hasil tulisan beliau. Saya memang tidak suka kisah cinta yang melewah. Namun, bila penulis menyelitkan sedikit kisah cinta di dalamnya, saya tidak mampu menolak. Tidak ada perasaan cinta yang keterlaluan dan membuai-buai sehingga membuat para pembaca berangan-angan untuk bercinta seperti itu.

Untuk satu, dua bab permulaan, agak perlahan bagi saya. Mungkin kerana saya sudah membacanya di blog Kak Maria menyebabkan saya tidak sabar untuk tahu apa cerita keseluruhannya. Membaca novel beliau kali ini membuatkan jiwa saya sedikit 'terseksa'. Ini kerana Maria Kajiwa sedikitpun tidak memberi hint apa yang berlaku seterusnya. Setiap kali beralih bab, setiap kali itu juga hati saya semakin ingin tahu. Apa yang berlaku sebenarnya?

Datang Pada Waktunya mengambil latar tempat sebuah perkampungan di Pahang. Saya rasa ia adalah sebuah perkampungan bunian. Edri, telah ditugaskan untuk menyiasat dan menyelesaikan kes sebuah projek pembinaan jambatan yang terbengkalai selama 45 tahun. Beberapa orang telah dihantar untuk tugas tersebut tetapi tidak pernah kembali lagi selepas itu. Mereka menjadi kes 'orang hilang'. Tiada pilihan, Edri terpaksa bersetuju dan membawa sekali rakan serumahnya, Adam untuk pergi menemaninya ke Bandar Durian Lima. Semasa perjalanan menuju ke bandar tersebut (ikut jalan lama yang sudah lama ditutup), kereta mereka telah dilanggar oleh kenderaan lain menyebabkan ia rosak dan tersadai tepi jalan. Nasib mereka baik kerana bertemu dengan Saleha dan Murni, penduduk Kampung Durian Lima (kampung yang terlibat dengan pembinaan jambatan itu) . Mereka dibawa ke kampung itu dan tinggal di sana untuk beberapa waktu sehingga masalah jambatan itu selesai.

Semasa di sana, Edri dan Adam terpaksa menyesuaikan diri dengan cara hidup kampung. Pelbagai peristiwa yang mereka alami. Jam tangan mati, kompas tidak berfungsi, duit zaman british, kehidupan kampung yang serba kekurangan, tanpa kemudahan eletrik dan air yang sempurna, gaya hidup yang berbeza serta penerimaan penduduknya terhadap orang luar. Telah lama kita tinggalkan kehidupan kampung yang begitu terutamanya dalam hal permuafakatan dan saling mengambil berat di antara satu sama lain. Betapa zaman sudah berubah, dunia sudah maju.

Atas layanan yang baik, Edri telah jatuh cinta pada Saleha namun di halang oleh Hasan yang telah lama berhajat untuk memiliki Saleha. Penentangan demi penentangan dilakukan oleh Hasan terhadap Edri dan Adam sehinggalah suatu hari keadaan bertambah parah bila mereka dikatakan telah melakukan onar di kampung itu. Mereka diburu tetapi Edri tidak menyerah begitu sahaja. Dia memutuskan untuk dibawa berjumpa dengan Tok Ampat. 

Siapa yang membuat onar sebenarnya? Dan ketika itu, terbongkarlah siapa sebenarnya Saleha dan apa yang berlaku kepada mereka yang hilang sebelum ini. Ceritanya memang penuh debaran. Kita hanya tahu apa sebenarnya berlaku hanya diakhir cerita. Salute untuk Maria Kajiwa kerana berjaya membuat saya terus membaca sehingga pukul 1 pagi!

Secara halusnya cerita ini membawa kita kepada nilai nilai yang sudah lama hilang. Pemuafakatan, saling bekerjasama, maruah, kehidupan melayu tradisional, persahabatan dan pengorbanan. Dapatkan novel ini dan sila baca sampai habis.



"Berani itu bukan bermakna berani melawan sahaja, berani juga bermakna berani menghadapi dan menerima"





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...