Followers

Monday, 11 February 2013

[Resensi Buku] Huyan dan Mimpy





Huyan dan Mimpy 
Nippan


ISBN: 978-967-408-021-1
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
Penterjemah: Iskandar Syah Ismail
Tarikh terbit: 2011
Halaman: 305
Harga: RM17.00 (Sem Msia) RM19.00 (Sabah/Swak)










Salam. Sebelum saya teruskan, saya ingin memberitahu yang novel ini bukanlah pilihan kamu yang sukakan karya urban. Novel ini juga bukanlah pilihan pembaca yang sukakan karya benci-terpaksa kahwin-mula suka-ada konflik terpaksa berpisah-bersatu semula-bahagia dan ada anak comel. Bukan. Novel ini hanyalah kisah biasa dalam kehidupan, namun mempunyai motivasi hidup yang  luar biasa. Bertemakan pengorbanan, kisah ini membawa kita ke satu peringkat yang mana kita menyedari bukan semuanya mempunyai kehidupan yang baik. Malah ada yang perlu bekerja keras hingga ke akhir hayat hanya untuk sesuap nasi. Dengan berbekalkan semangat hidup yang tinggi serta kesabaran, mereka teruskan hidup sambil mencuba untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.


Huyan dan Mimpy dengan tajuk asalnya Butterfly and Flowers merupakan karya terbaik penulis Thailand, Nippan atau nama sebenarnya Makut Oradee. Nippan lebih dikenali di negaranya melalui Huyan dan Mimpy serta telah memenangi anugerah kesusasteraan berprestij di Pesta Buku Kebangsaan Thailand melalui novel ini.  Edisi bahasa melayu ini diterjemahkan oleh Iskandar Syah Ismail dibawah penerbitan  PTS Utama Litera Sdn Bhd. Setakat ini saya amat senang membaca buku terjemahan terbitan PTS dan Zi Publications. Terjemahannya tidak melulu tetapi dilakukan dengan penuh teliti. Dalam edisi terjemahan ini, Huyan dan Mimpy mampu menyentuh hati saya untuk turut berasa belas dengan kepayahan hidup yang watak-watak alami. Saya tidak tahu bagaimana rasanya bila saya mampu membaca karya asalnya. Silap-silap boleh mengalir airmata!


Nippan menggunakan watak Huyan bagi menggambarkan golongan kurang bernasib baik di selatan Thailand. Huyan, seorang remaja muslim yang berhati mulia, terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Dia menjual aiskrim dengan pendapatan yang tidak seberapa. Ayahnya, walaupun kesal dengan keputusan Huyan, namun tetap bersyukur kerana mempunyai anak yang bersedia memikul tanggungjawab menyara keluarga. Sementelah, pendapatan dia sebagai pengangkut barang di stesen keretapi semakin berkurangan. Namun pekerjaan sebagai penjual aiskrim tidak mencukupi bagi Huyan. Dia ingin memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga dan mampu menyekolahkan dua orang adiknya. Pertemuan semula Huyan dengan Mimpy ( gadis yang selalu membeli aiskrim warna biru sewaktu mereka masih bersekolah) telah membuka lembaran baru dalam hidup Huyan. Melalui Mimpy. Huyan mula berfikir untuk melangkah lebih berani dalam usahanya untuk mengubah kehidupan keluarganya.


Kejadian ayahnya mendapat kemalangan lalu tidak lagi mampu untuk bekerja telah membuatkan Huyan nekad mengikut saranan Mimpy. Maka Huyan mula membabitkan diri dalam penyeludupan beras di sempadan Thailand-Malaysia. Walaupun pekerjaan itu merbahaya, apa pilihan yang Huyan ada memandangkan keperluan hidup yang semakin mendesak. Tambahan, Huyan tidak berpendidikan tinggi.


Saya dari mula telah mengikuti perkembangan Huyan. Huyan satu karekter yang sangat kuat. Malah kisah ini merupakan satu fasa perkembangan seorang remaja menjadi seorang dewasa. Dengan memasukkan unsur pengorbanan, kesetiaan persahabatan, kasih sayang, sifat survivor yang tinggi serta ketaksamaan taraf hidup, Nippan mampu mencuit rasa belas terhadap watak-watak yang ada. Tidak kira watak baik atau jahat, kedua-duanya terus berusaha mengharungi kepayahan hidup dengan tujuan yang sama.


Melalui rakan-rakannya (Mimpy, Adel dan Nakha) Huyan, dari seorang yang sangat naif mula belajar erti kehidupan sebenar. Namun Huyan adalah Huyan. Baginya, kerja sebagai penyeludup beras adalah salah. Terlintas di hatinya untuk berhenti tetapi tidak tahu apa yang perlu dia lakukan untuk menyara keluarganya nanti. Sedangkan dia perlu mengumpul lebih banyak duit untuk membeli basikal aiskrimnya nanti. Impiannya itu dikongsi bersama Mimpy. Saya rasa Mimpy banyak mempengaruhi Huyan dari segi harapan dan impian. Mimpy, dengan power of knowlegde yang dimiliki sentiasa menceritakan apa saja yang dia ketahui. Saya suka dengan watak Mimpy. Karekternya matang dan mengetahui serba serbi apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia bukanlah seperti remaja yang akan berfoya-foya biarpun hidupnya agak senang. Berhenti sekolah (menolong ibunya berniaga) tidak menghalangnya dari membaca kerana  dia boleh mendapat segala maklumat.


Kematian Nakha yang tergelincir dari bumbung keretapi ketika menyeludup beras membuatkan Huyan tersentak. Dia mula memikirkan masa depannya. Apa akan jadi sekiranya nasibnya seperti Nakha? Bagaimana pula nanti nasib keluarganya? Kerisauan ini diceritakan kepada Mimpy. Mimpy bersetuju dengan apa yang dirasai oleh Huyan. Dia lalu mencadangkan agar Huyan mengusahakan kebun bunga dan Mimpy sendiri akan menjual bunga. Sebenarnya, bagi saya, ia adalah impian Huyan dan Mimpy dalam merangka masa depan bersama, demi sebuah kehidupan yang lebih jujur serta tidak terbeban dengan perasaan takut atau risau ditimpa kecelakaan sewaktu menyeludup beras.


Banyak yang saya perolehi dari novel ini. Kehidupan yang sukar kadang-kadang membuatkan kita lebih matang, lebih bertanggungjawab, lebih peka dengan keadaan sekeliling serta lebih tinggi sifat survivornya. Ketaksamaan taraf hidup berlaku di mana-mana. Dugaan dan kesengsaraan yang berlaku boleh mengubah kita menjadi baik atau jahat. Seperti kata penulis,” dalam mana-mana agama sekalipun,pasti akan sentiasa wujud golongan ini; golongan yang baik dan jahat. Dan, kedua dua golongan ini, hidup bersama.”


Jadi,untuk kamu yang meminati karya sastera negara lain, tidak rugi sekiranya novel ini menjadi salah satu koleksi peribadi. Mungkin kamu akan mempelajari sesuatu darinya biarpun ia hanyalah karya tentang seorang remaja yang baru hendak mengenal kehidupan.




Selamat malam dan selamat membaca.







Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

4 comments:

  1. woah... cam best jer... nanti nak carik jugaklah...
    bauncer buku pun dah dapat... hahahahaha

    ReplyDelete
  2. salam..

    thanks for blog walking kat blog saya...

    meniti blog erni ni, saya teruja sangat... awesome..

    saya pun suka baca buku & kaki novel. hehe.. tapi tak selalu cerite kat blog pasal buku2.. hehe... lebih teruja nak share stori mori pasal jejalan...

    btw, selamat berkenalan =))

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...