Followers

Thursday 16 August 2012

[Resensi Buku] Saga Takluk Jagat - Karya fantasi melayu tanpa sedikitpun dipengaruhi unsur barat. Digambarkan seperti kisah Lord Of The Ring versi melayu.






SAGA TAKLUK JAGAT
(Bisikan Ariasha / Amukan Indera Bumi)
Zaki Zainol


ISBN: 978-967-5136-72-6
Penerbit: PTS Fortuna Sdn bhd
Tarikh terbit: Cetakan pertama 2011
Halaman: 756
Harga: RM35.00 (Sem. Malaysia)/RM38.00 (Sabah/Sarawak)




Salam. Sebelum balik kampung saya nak review satu novel fantasi melayu, yang buat saya teringat-ingat hingga sekarang. Begitu terkesan. Bagi saya, Siri Takluk Jagat umpama mutiara di dalam lumpur. Sesuatu yang luar biasa yang kita tidak sedar kewujudannya. Sebelum ini saya hanya mengikuti siri pengembaraan fantasi Sunan Musafir (Ramlee Awang Mursheed) dan Lagenda Alfarren (Mohd Zahar Yasin). Bezanya, Sunan Musafir menghidangkan kepada pembaca satu kisah fantasi yang di luar jangkauan minda, manakala Lagenda Alfarren secara totalnya terikat dengan acuan fantasi barat. 

Ketika saya mula bosan dengan ruang litup jenis genre novel yang dibaca, saya ternampak buku ini terselit di antara buku-buku yang saya 'beli tetapi tidak dibaca'. Rasanya hampir setahun buku ini berada dalam simpanan saya. Dan baru saya perasan buku ini mengandungi novel pertama dan novel kedua. Bisikan Ariasha pada novel pertama dan disambung dengan Amukan Indera Bumi pada novel kedua. Khabarnya, sebelum ini kedua-dua buku ini diterbitkan secara berasingan sejak tahun 2008. Namun yang saya baca sekarang adalah cetakan tahun 2011 (buku berkembar).

Huh, berat juga buku ni. Dengan ketebalan, lebar serta beratnya yang seperti kamus, memungkinkan saya tidak akan membawanya ke hulu ke hilir seperti selalu saya lakukan kepada buku-buku lain. Melihat pada tajuk serta kavernya membuat saya tertanya cerita jenis apalah Takluk Jagat ni. Mesti sebuah fantasi yang biasa-biasa dengan watak hero melawan kejahatan dengan dibantu kuasa magik, binatang sebesar naga atau sekecil toyol, latar belakang hutan serta kostum ala-ala barat. Persepsi pertama saya itu rupa-rupanya jauh meleset! 

Idea, tema, latar belakang, watak, nama watak, budaya, dialog, kostum yang dipakai, senjata yang digunakan, kesenian melayu yang ditunjukkan melalui silat dan pantun/syair/mantera berjaya digarap oleh penulis tanpa dipengaruhi sedikit pun oleh idea barat. Sangat melayu! Perasaan saya memang terbawa-bawa ke dalam setiap penceritaannya. Dengan bahasa yang mudah difahami serta sedap dibaca, membuatkan saya tidak sukar untuk mengambarkan setiap apa yang penulis sampaikan. Sehinggakan saya sudah mula membayangkan siapa pelakon yang memegang setiap watak sekiranya karya ini difilemkan. 

Novel pertama menceritakan pengembaraan watak hero, Budi Adi Jata yang mencari pembunuh datuknya serta sebilah keris pusaka miliknya yang turut dicuri. Keris tersebut juga mempunyai pasangannya, Indera Bumi yang mana turut dicuri semasa pegembaraan itu. Rupa-rupanya keris itu mempunyai cerita yang tidak Budi ketahui, dan sangat-sangat diidamkan oleh Penakluk Dakawa untuk membentuk semula kerajaannya yang pernah runtuh suatu ketika dulu. Dalam pengembaraannya, Budi berjumpa dengan Zilastri dan Puteri Ariasha yang turut menyertai misi pencarian itu. Kewujudan keris dan makhluk bunian mengingatkan saya pada cerita Lord Of The Ring. Boleh saya katakan bahawa Takluk Jagat ini adalah LOTR versi melayu. Haha!

Novel kedua pula lebih kepada peperangan besar yang berlaku di Tanah Ini. Peperangan disertai oleh angkatan tentera Dasyuria dan Sedinggi dan dibantu oleh tentera bunian ini menentang tentera Dakawa yang dibantu oleh tentera Sigorong (makhluk besar hitam serta bersifat jahat). 

Menariknya, dipermulaan buku ini ada peta Tanah Ini yang memudahkan kita membayangkan perjalanan kembara watak-wataknya. Sepanjang pengembaraannya, Budi Adi Jata mula membentuk jati diri sebagai seorang pendekar muda. Pengembaraan yang pada asalnya bermula dari sebuah dendam. Setiap watak baru diperkenalkan, mempunyai perwatakan sendiri dan berdiri dengan kukuh. 

Setiap bab akan meninggalkan satu persoalan yang sentiasa menjentik hati pembaca untuk mengetahui apa yang telah berlaku sebelumnya atau apa yang akan berlaku selepas itu. Hai... Saya sentiasa berdebar dan cemas setiap kali pertarungan berlaku. Nasib baik penulis sentiasa menyelitkan unsur unsur komedi yang boleh melegakan tense yang dialami. Banyak twist dan sub plot membuatkan hati saya sentiasa meronta untuk terus membaca dan membaca. Maka, tidak kira berat, saya kepit juga Takluk Jagat ke hulu ke hilir mencari setiap ruang waktu untuk menyambung bacaan. Ketagihan tanpa sedar!

Seni silat yang mengunakan jurus-jurus ilmu batin dibacakan bersama mantera dalam bentuk enam kerat. Wah, sungguh menarik dengan frasa indah. Kadang-kadang seperti menonton filem kungfu purbakala di mana setiapnya mempunyai nama jurus serta kuasa magiknya. Sememangnya melayu indah bahasanya.

Sehingga saya habis baca, jiwa saya masih lagi berada dalam environment pengembaraan serta pertarungan itu. Maka, sesekali saya akan baca kembali bahagian-bahagian yang super menarik. Akan adakah lagi karya fantasi melayu sehebat Takluk Jagat selepas ini? Semoga Siri Takluk Jagat tidak terhenti di sini kerana saya mengharapkan agar penulisnya meyambung beberapa siri lagi. Teringin saya melihat siri Takluk Jagat menjadi kegilaan seperti siri Sunan Musafir. Diharap keinginan saya ini sampai kepada penulisnya.



Selamat membaca dan salam aidilfitri serta maaf zahir batin untuk semua.






Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

3 comments:

  1. baca review ni membuatkan saya rasa nak baca la pulak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nash Azly, kepada mereka yang meminati cerita fantasi memang harus baca novel ni. Saya berani bagi 4 bintang.

      Delete
  2. waaa.. lama dah tak jumpa novel2 mcm ni.
    mesty best r.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...