Followers

Sunday 5 August 2012

Resensi Buku: Nama Atas Kertas





NAMA ATAS KERTAS
Nasron Sira RAhim


ISBN: 978-967-5118-29-6
Penerbit: Jemari Seni Sdn bhd
Tarikh terbit: Cetakan Pertama Januari 2010
            Cetakan Kedua Jun 2010
Halaman: 504
Harga: RM20.00 (Sem. Malaysia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)





Salam. Hujung minggu yang agak membosan tanpa aktiviti yang memerlukan saya memberi fokus yang tinggi. Jadi, ada baiknya saya menulis satu lagi resensi buku. Ya, tetap tidak lari dari genre thriller. Tentang satu penyiasatan pembunuhan bersiri. Baru sahaja habis dibaca. Nama Atas Kertas saya temui ketika sedang mencari-cari sesuatu di Google. Oh, ada lagi genre thriller yang saya terlepas pandang. 

Latar belakang cerita yang jelas iaitu Kedah membuatkan saya berfikir yang penulisnya berasal dari sana. Lalu, saya mencari sedikit maklumat tentang beliau. Bekas wartawan Berita Harian rupanya dan telah menghasilkan beberapa buah novel dan buku umum. Tidak hairanlah, ada watak wartawan. Novel ini adalah yang kedua selepas Enigma. Ketika dalam proses pembacaan, saya dapat rasakan kecenderungan kuat penulis ke arah genre thriller penyiasatan. Itu persepsi awal saya. Kaver novel? Agak bercelaru tanpa mesej yang spesifik. Mungkin itu yang penulis ingin tunjukkan, kecelaruan personaliti pembunuh.

Cerita berkisar tentang pembunuhan bersiri yang bermotifkan dendam dan juga rasa prejudis terhadap pasukan polis, yang dirasakan tidak boleh diharap untuk membela mangsa yang teraniaya. Lantas, dia mengambil keputusan untuk membunuh penjenayah yang terlepas dari hukuman. Idea yang klise. Namun penulis memberi satu kelainan dalam jalan ceritanya. Selesaikan teka-teki! Subjek meninggalkan tanda pada setiap mangsa yang dibunuh. Tanda itu berupa satu 'puzzle' yang perlu diselesaikan yang mana sebenarnya merupakan klu. Hebat! Sayangnya, seperti mana pihak polis buntu dengan "puzzle' itu, saya juga turut merasa buntu bila terpaksa membaca ayat demi ayat. Aduh, sedikitnya dialog!

Saya kurang menghayati jalan ceritanya. Mungkin saya terlampau sibuk membaca ayat demi ayat sehingga keterujaan saya yang memuncak pada awalnya perlahan-lahan menurun. Inilah kelemahan saya bila terpaksa membaca sesuatu yang diceritakan secara berjela-jela. Cepat sahaja hilang mood. Penerangan yang panjang tanpa adanya prinsip 'show don't tell' sangatlah merunsingkan minda pembaca. Namun ada babak yang saya suka iaitu info mengenai sains tulisan yang berkait rapat dengan personaliti kita. 

Saya perasan yang perkembangan watak Faiz dan Hanim sangat mendatar. Begitu juga dengan Wadi. Kenapa dihentikan begitu sahaja sedangkan dia adalah sebahagian dari cerita malah agak penting juga. Ya Tuhan, resensi saya kali ini sangat lain. Ini kerana saya tahu penulis ini begitu meminati cerita-cerita penyiasatan. Saya juga begitu dan atas sebab itu saya mengharapkan Nama Atas Kertas mampu membuatkan saya teruja hingga ke akhir bab.

Penulis ada memberi sedikit info-tahukah-anda mengenai sains siasatan jenayah di akhir halaman buku. Menarik sekali! Dan penulis memang seorang yang suka berkongsi info seperti itu. Untuk mengetahui apa lagi yang dikongsikan, boleh sahaja layari blog beliau. Macam-macam yang boleh diperolehi di situ.

Apa-apa pun idea memasukkan 'puzzle' itu sangat menarik. Saya pasti semuanya tentu sudah biasa dengan teka silang kata, mencari perkataan dan sodoku. Permainan minda yang menyeronokkan. Sekiranya pembaca ingin sama-sama menyelesaikan kes pembunuhan ini, sila sertai Faiz dan Hanim. Mana tahu anda lebih pantas menemui pembunuhnya.

Jadi, sudah bersedia untuk menyertai Faiz dan Hanim? Good luck to you! :)



Selamat membaca.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...