Followers

Tuesday 10 July 2012

Resensi Buku: Venom Suria


Venom Suria
Mazni Aznita


ISBN: 978-967-0342-40-5
Penerbit: Grup Buku Karangkraf (Buku Prima)
Tarikh terbit: 2012
Halaman: 692
Harga: RM25.90










Salam. Setelah menghabiskan masa hampir tiga minggu dengan sebuah novel sejarah, saya kembali kepada genre thriller. Kali ini penulisnya seorang wanita. Bagus sekali ceritanya. Dengan setebal 692 muka surat, saya menghabiskan bacaan dalam masa 2 hari di mana sebahagiannya saya baca sehingga ke pukul 4 pagi. Menarik. Sangat-sangat menarik dan saya tidak menyangka penulis wanita juga mampu untuk menulis kisah thriller sebegini baik. Prolognya sahaja sudah mampu membawa saya hingga ke akhir muka surat.

Kaver buku sangat ringkas. Dengan satu tangan yang memegang keris dan tangan yang lain memegang topeng serta percikkan darah sudah cukup memberitahu ini adalah kisah thriller. Banyak watak yang terlibat. Setiap watak pula mampu 'bercerita sendiri'. Penulis juga menggunakan teknik imbas kembali dan mimpi untuk menceritakan apa yang telah berlaku yang membawa kepada konflik watak-watak tersebut. Penyusunan plotnya juga menarik. 

Mari saya ringkaskan ceritanya. Venom Suria sebenarnya berkisar tentang penyiasatan siri-siri pembunuhan yang berlaku dan pemburuan ke atas kuasa jahat. Semua pembunuhan itu saling berkaitan. Namun pembunuhan itu bukan pembunuhan yang biasa-biasa. Okey pembaca, ini adalah thriller supernatural. Mungkin apa yang dibayangkan adalah cerita-cerita filem yang menentang kejahatan kuasa ghaib. Lebih kurang begitulah Venom Suria. Semestinya pelbagai halangan perlu dilalui sebelum dapat menghapuskan kejahatan kuasa ghaib.

Suria, gadis wartawan seorang pemburu berita jenayah. Ironinya, dia juga diburu oleh satu kuasa makhluk jahat - Mahira yang inginkan jasadnya untuk terus berkuasa. Sementelah, Suria adalah waris kepada jasad yang digunakan oleh Mahira sebelum ini. Dan transformasi itu perlu dilakukan pada malam bulan gerhana merah. 

Pembunuhan yang berlaku telah membawa kepada pembongkaran satu kumpulan pemburu Mahira. Kumpulan ini juga ingin membunuh Suria bagi menghalang Mahira dari mendapatkan Suria sekaligus menghapuskannya. Namun disebalik semua itu ada rahsia lain yang tersembunyi. Ada kisah yang mengaitkan satu watak kepada watak yang lain. Well, itu perkara biasa dalam satu-satu cerita bukan? Jangan risau kerana ia tetap akan memakukan mata kamu untuk terus membaca.

Saya kira penulisnya, Mazni Aznita boleh menjadi penulis pelapis dalam genre thriller. Buku ini adalah buku pertama untuk beliau tahun ini. Sebelum ini penulis telah pun menulis beberapa buah buku dan Venom Suria adalah antara yang mencabar kerana ini bukan kisah cinta. Saya tahu ada di kalangan pembaca yang kurang gemar dengan genre thriller yang dirasakan berat. Namun sekiranya ada di antara kamu yang ingin mencuba, boleh bermula dengan Venom Suria. Tidak ada masalah untuk difahami sekiranya kamu peminat drama bersiri atau filem berbentuk thriller supernatural. Mungkin tidak setahap penulis barat, namun ini sudah dikira cukup baik untuk penulisnya. 


Selamat membaca.



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...