Followers

Monday 5 December 2011

Patah Seribu - Semangat Dan Cinta Yang Hilang




Sudah lama aku tidak menjengah ke sini. Bukan sibuk, jauh sekali lupa. Tapi kerana semangat dan cinta aku telah hilang. Semangat dan cinta yang selalu menemani aku ketika aku di sini. Aku kehilangan semangat untuk menulis. Aku juga kehilangan cinta yang memberi aku semangat itu. Hakikatnya, aku rindu tempat ini. Tempat yang menyimpan segala kisah dan rasa. Tempat bermulanya semangat dan cinta itu. Ironinya, aku kehilangan kedua-duanya di sini.

Bagaimana patut aku bermula? Biarlah aku bermula dengan bismillahirahmanirrahim. Itu sebaik-baik permulaan. Permulaan bagi mendapatkan kembali semangat itu. Terasa hati aku berdenyut ngilu ketika ini. Terasa hingga ke hujung hati. Aku biarkan sahaja, kerana aku sudah pun berada di sini, untuk memulakan kembali sesuatu yang telah terhenti. Kali ini aku ingin berbicara panjang dengan kamu. Aku ingin kamu tahu sesuatu yang kamu tidak tahu.

Ini kisah aku. Akulah watak utama yang tahu tentang kisah ini. Kisah yang aku peram dalam ingatan dan menjadi kenangan yang akan aku ingat sampai bila-bila. Aku bukan penulis anugerah Tuhan. Tulisan aku masih jauh dari mampu untuk memberi kamu sesuatu pada kisah ini. Sesuatu yang kita kenal sebagai rasa dalam hati. Hanya ini yang mampu aku lakukan, menulis dari hati.

Kalau dikira, ini bukanlah satu-satunya kisah terbaik selama aku hidup. Namun ia tetap sesuatu yang amat berharga untuk aku simpan. Lebih dari itu, kisah inilah yang membuat aku ada di sini, di tempat aku mendapat semangat yang didorong oleh rasa cinta. Rasa cinta dari dia yang aku gelar ‘lelaki yang jatuh dari langit’.

Semuanya bermula dari Nama Aku Sarah. Cerita yang sampai kini melekat di hati aku, tanpa aku sedar itulah luahan hati, harapan dan impian aku. Harapan yang tidak terbatas seperti langit yang tidak mampu diukur luasnya. Aku mahu hidup selayak perempuan bahagia. Tidak lebih tidak kurang.

Rupa-rupanya cerita itu membawa pada kisah yang lebih indah. Itulah saat aku tersenyum memandang langit . Dia, lelaki yang jatuh dari langit itu, melungsurkan rasa hatinya ke dalam hati aku. Memegang harapan aku itu dengan rasa cinta, yang datangnya terus ke hati. Tidak dapat aku gambarkan perasaan aku. Bahagia. Bahagia yang membawa aku ke langit.

Kata-katanya sering membesarkan hati aku. Cerita-ceritanya di sini juga sering menjentik emosi aku. Aku tersenyum bila bersama ‘Cikgu Zakiah’, langkah aku berat bersama ‘Derap’, ada kesepian dan keseorangan dalam ‘Journey’, dan simpati pada ‘Honel’. Semua cerita itu membakar semangat aku untuk jadi sepertinya, memberi rasa pada setiap tulisan. Itulah semangat yang didorong rasa cinta.

Namun, pada saat bahagia aku melangit, pada saat itu Tuhan merangka cerita-Nya untuk aku. Tanpa kata dia pergi dari aku. Menyepikan diri,meninggalkan aku dengan satu persoalan. Perginya membawa semangat dan cinta aku, setelah dia bersungguh-sungguh meletakkan rasa itu dalam hati. Puas aku bertanya apa yang berlaku. Penat aku berbicara tanpa bercakap. Tidak aku tahu yang aku perlu mencari jawapan sendiri. Sesuatu yang tidak mungkin mampu aku lakukan kerana jawapan bagi soalan itu hanya dia dan Tuhan yang tahu. Walau apa pun alasannya, ia tetap melukakan. Jelas bagaimana rupa hati aku. Patah seribu. Dan kamu tidak akan mahu melihat wajah aku waktu itu.

Aku tidak mahu ke sini lagi. Aku patah semangat dan kecewa aku bukan sedikit, bergulung gulung di dalam hati. Aku tidak mahu lagi menulis. Bagaimana mungkin aku dapat menulis dengan keadaan semangat yang hilang. Apa kisah yang ingin aku ceritakan? Memikirkannya sahaja bisa membuat aku menangis, apatah lagi berbicara tentangnya. Aku tidak sanggup melukakan hati sendiri biarpun hati aku sememangnya sudah dilukai. Sungguh! Aku tidak mahu lagi menulis. Aku khuatir bicara aku hanya akan meretakkan hati orang.

Mujur dalam keadaan patah semangat dan jiwa kosong, aku mampu bersabar. Sabar itu indah dan tidak pernah berakhir pahit. Semangat yang hilang dan jiwa yang kosong bukan kerana aku tidak berdoa dan lupa pada Tuhan, tapi kerana aku tidak berusaha memperolehnya kembali. Sulit sekali memikirkan ujian Tuhan. Cukup sulit, kerana jawapannya hanya ada dalam sabar.

Sesungguhnya Tuhan itu lebih mengerti apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Walau aku kehilangan, Dia tetap memberi aku peluang untuk bersabar dan rasa tidak putus asa. Sebagai selayaknya aku hamba-Nya, aku hanya perlu patuh dan terima apa sahaja yang ditakdirkan. Tapi sebelum takdir itu tiba, tidak perlu aku mendahului takdirnya. Tuhan mahu aku berusaha agar aku tidak hilang harapan kerana sebagai hamba-Nya, “kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan”.

Dan kerana itu aku kembali ke sini. Semangat itu masih ada, sebetulnya memegang hati aku agar tidak terus melungsur jatuh. Walaupun melakukannya dengan patah semangat dan jiwa yang kosong, itu lebih baik dari aku terus meninggalkannya. Aku tidak mempunyai mimpi yang besar di sini. Aku hanya ingin memastikan yang aku terus berada di sini. Mungkin bukan selama –lamanya, tapi selama yang mungkin.

Dan kamu, aku tidak meminta lebih dari kamu. Cuma doa, semoga aku yakin untuk terus berada di sini. Aku yakin suatu hari nanti aku akan perolehi semua itu kembali, biarpun bukan dari ‘lelaki yang jatuh dari langit’ itu. Doakan.



Pesanan untuk kekasih:

Terima kasih awak sebab pernah membahagiakan saya walaupun sehujung kuku, biarpun kini awak bersungguh-sungguh membuang saya dari hidup awak.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

4 comments:

  1. i can feel u . ujian yg maha hebat.
    tp tuhan maha mengetahui ape yg kite lalui. die tahu . . u mampu sabar & tabah, lalu die limpahkan kasih sayangnya melalui ujian ini. insyallah die sudah menyediakan ganjaran bahagia lebih dr itu.

    ReplyDelete
  2. sabar la...
    n move on... I know it's very easy for me to say, but.. that's what life is all about... :)

    ReplyDelete
  3. sabar sayang.semoga kebahagiaan milik kamu :)

    ReplyDelete
  4. ya.. sgt lama dikau mencoret disini... membuatkan mereka ternanti-nanti... =)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...