Followers

Showing posts with label DARI DIARI SARAH. Show all posts
Showing posts with label DARI DIARI SARAH. Show all posts

Friday, 11 November 2011

Diari Sarah - Temujanji

Hari ini adalah hari pertama aku berjumpa dengan lelaki yang jatuh dari langit itu.  Sehingga ke saat ini hati aku masih berbolak balik. Fikiran aku berputar seperti gasing hinggakan aku sendiri tidak pasti apa yang aku fikirkan sebenarnya. Namun persoalannya tetap satu; keinginan hati aku untuk melihat dia dengan lebih dekat. Selama ini aku hanya ‘melihat’ dia mengikut persepsi yang aku andaikan ketika berbual di telefon. Hanya itu. Selalu orang kata jangan menilai isi buku melalui kulit luarannya. Aku ambil kata-kata itu sebagai satu sebab kenapa aku perlu berjumpa dengan dia. Tidak adil kalau aku terus-menerus melihat dia dari sudut pandangan ‘maya’ aku. Aku pasti yang dia pun sama.

Tapi yang paling penting ingin aku tahu ialah adakah dia ‘lelaki baik’ yang aku cari selama ini? Setakat ini dia tidak pernah menyakiti hati aku melalui tutur katanya. Jadi aku rasa dia adalah  lelaki yang baik. Orang baik selalu mempunyai hati yang bersih. Hati yang bersih tergambar pula melalui kata-kata dan tindakannya. Aku percaya kerana hati itu bertunjangkan iman. Bila hati ada iman, kita tidak berani hendak berbuat jahat. Bagaimana hendak berbuat jahat kalau kita sentiasa ingat balasan di akhirat nanti? Lelaki yang baik juga tidak akan meninggalkan solatnya kerana baginya solat itu tiang agama. Meninggalkan solat sama seperti meruntuhkan tiang agama.

Aku teringat kawan aku Fatimah yang sedang hangat bercinta sekarang. Aku pernah bertanya adakah teman lelakinya itu seorang lelaki yang baik. Aku lihat Fatimah menjawab dengan penuh perasaan dan penuh keyakinan, memang teman lelakinya itu lelaki baik. Ini kerana teman lelakinya itu menyayanginya dengan ikhlas tanpa mempedulikan kekurangan Fatimah.. Mungkin juga, kerana Fatimah itu berisi orangnya. Tapi Fatimah pandai memasak dan manja. Mungkin sebab itu teman lelaki Fatimah sayang kepadanya.

Zila kawan sekerja aku juga kata tunangnya itu lelaki yang baik. Tunangnya adalah pilihan keluarga. Datang dari keluarga yang baik-baik. Kalau sudah datang dari keluarga yang baik baik, sudah tentu tunangnya itu pun lelaki baik. Kerana itu agaknya keluarga Zila tidak teragak-agak menerima pinangan dari keluarga yang baik-baik itu. Aku harap Zila bahagia hingga ke akhir hayat kerana pilihan keluarga itu katanya berkat. Kak Salina, senior aku pun mendoakan perkara yang sama untuk Zila. Kata Kak Salina, lelaki baik adalah lelaki yang sayangkan keluarga. Tiba-tiba sahaja aku teringat ayah aku. Ayah aku juga lelaki yang baik.

Tapi bagaimana pula dengan Melissa? Hairan sungguh aku bila dia kata suaminya yang baru dikahwini itu lelaki baik. Ini kerana, setahu aku suaminya itu menceraikan isterinya kerana ingin mengahwini Melissa. Aku masih ingat lagi bila Melissa kata suaminya itu seorang yang baik, penyayang dan bertanggungjawab terhadap dia. Ironinya, suaminya itu telah meninggalkan isteri dan anak-anak hanya kerana Melissa. Sudah buta hati agaknya kawan aku yang seorang ini.

Hmmm, jadi macam mana lelaki baik sebenarnya? Aku masih mencari apa sebenarnya makna ‘lelaki baik’. Aku melihat maknanya sentiasa berubah-ubah pula. Namun kata-kata seorang kawan lama amat terkesan di hati aku sehingga kini.. Katanya, “good guy has no limit.. Tidak ada perkara khusus bagi menjadi lelaki baik.. Selagi perkara yang dilakukannya mendatangkan manfaat kepada orang lain, itu adalah perkara baik”.

Kata-kata kawan aku itu seperti telah memberi satu makna baru yang lebih spesifik. Jadi aku harap pertemuan aku dengan lelaki itu hari ini akan membolehkan aku melihat lebih banyak lagi kebaikkan yang ada dalam dirinya. Kerana aku percaya orang yang ikhlas berbuat baik sahaja yang dianggap baik oleh Allah.. Andai dia terus berbuat baik dan terus mencuba ikhlas kerana Allah, insyaallah dia akan menjadi lelaki baik.

Tidak sabar rasanya aku hendak berjumpa dengan lelaki yang jatuh dari langit itu...




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Thursday, 15 September 2011

Nama Aku Sarah...


Aku

Assalamualaikum. Nama aku Sarah. Aku seorang wanita yang sederhana dengan kehidupan yang sederhana. Aku senang begini. Pada orang lain aku mungkin kelihatan tidak mempunyai cita cita atau impian yang besar. Impian untuk membina kejayaan dalam hidup. Bagi aku kejayaan itu tidak semestinya diukur melalui apa yang kita perolehi di dunia. Malah kejayaan sebenar ialah bila kita berjaya di dunia dan di akhirat. Namun tidak semua mampu mendapatkannya. Ramai yang berjaya di dunia. Akhirat? Hmmm,entahlah. Memandangkan aku tidak sehebat mereka mereka yang berjaya di dunia, aku cuba meraih kejayaan untuk akhirat. Seboleh mungkin aku cuba menjadi sebaik baik muslim. Bukan aku nak kata yang aku ni warak alim. Tapi aku berusaha ke arah itu.

Usia dan jodoh

Aku belum berkahwin walau pun usia aku menginjak ke angka 30-an. Jodoh belum sampai lagi. Aku tidak memandang hal ini sebagai satu masalah. Tapi aku tahu emak aku risau. Dia risau kalau kalau aku susah hati dengan hal ni, lalu terdesak menerima siapa saja yang hadir dalam hidup aku. Jangan risau mak. Anak mak ni memilih orangnya. Memilih untuk kebaikan dunia dan akhirat. Seperti wanita wanita lain aku ada ciri ciri suami idaman. Hanya sebagai guide. Tidak mencari yang terlalu sempurna, cuma memilih yang sedang sedang saja. Tapi sudah pasti lelaki yang hidup berbekalkan ilmu Allah.

Ciri ciri

Bila solat aku selalu berdoa dengan menyebut ciri ciri lelaki yang aku idamkan. Kelakar bukan? Kalau kita tidak malu meminta dari Allah perkara yang besar besar, kenapa kita mesti malu untuk meminta perkara yang kecil kecil? Kan Allah tempat meminta. Kecil atau besar semua datang dari Allah. Sebelum itu sudah aku catatkan apa yang aku mahu. Dan aku sebut satu persatu di dalam doa aku. Sebenarnya tanpa doa pun Allah tahu apa kemahuan kita. Kan hati kita milik Allah. Cuma dengan berdoa kita secara totalnya telah mengabdikan dan menyerahkan diri kita yang hina dina ini kepada Allah Yang Maha Besar. Aku perlu yakin bila berdoa kerana Allah tidak menerima doa dari orang yang alpa. Kerana berdoa perlu dari hati yang bersungguh sungguh, bukan sekadar di bibir. Antara yang aku mahu ialah seorang lelaki yang menyayangi dan menyintai aku seikhlasnya. Dan juga lelaki yang lebih tinggi dari aku kerana aku rendah orangnya.

Mereka

Bukan tiada langsung lelaki yang singgah di hati aku. Malah ada yang aku sayang dengan sungguh sungguh. Tapi sampai sekarang hubungan hubungan itu tidak ada yang kekal. Ada saja masalahnya. Walau pun kecewa tapi aku tahu itu aturan Tuhan. Mungkin mereka mereka ini tidak menepati ciri ciri yang aku minta dalam doa aku, maka Allah jauhkan mereka dari aku? Wallahualam. Untuk mendapat lelaki yang baik, aku sendiri perlu menjadi baik. Bukankah wanita wanita baik untuk lelaki lelaki baik, dan lelaki lelaki baik untuk wanita wanita baik pula. Itu janji Allah.

Lelaki itu

Hingga satu hari, datang seorang lelaki dalam hidup aku. Entah dari mana. Dia seolah olah terjatuh dari langit!! Diakah jodoh aku? Aku senang dengan kehadirannya. Sangat berbeza dengan lelaki lelaki yang aku kenal. Berbeza sekali!!! Di dalam dirinya penuh dengan rasa cinta dan sayang hingga aku dapat rasai auranya.  Tapi kali ini aku rasa aku tidak perlu terburu buru. Kalau betul dia takdir aku, maka dia akan berada di sisi aku hingga akhir hayat. Kalaupun bukan, dialah satu satunya lelaki yang meninggalkan aku tanpa menyakiti hati aku. Andai kali ini aku kecewa lagi, aku sudah boleh menghadapinya. Cuma aku berharap biarlah ini yang terakhir. Diakah lelaki itu?


p/s: menyahut cabaran someone untuk hasilkan entry berbentuk story, walaupun bukan tentang cinta putera dan puteri raja..



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...