Followers

Wednesday, 17 April 2013

[Resensi Buku] Catatan Penglipur Lara Sang Majistret



Catatan Penglipur Lara Sang Majistret 
Zabidi Mohamed

ISBN: 978-983-097-374-6
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2012
Halaman: 255
Harga: RM18.00 (Sem Msia) RM20.00 (Sabah/Swak)










As-salam. Kali ini saya review catatan dari seorang majistret. Majistret? Sebetulnya bekas majistret. Mungkin ada yang mengenali Zabidi Mohamed sebagai penulis. Tetapi sebelum itu beliau bertugas dalam bidang perundangan. Kini beliau terlibat secara serius (sejak tahun 1999) dalam bidang penulisan buku dan skrip. Antara buku yang ditulis ialah Arqam, Tersungkur Di Pintu Syurga; Maunah, Kebenaran Yang Sebenar dan novel Hani yang ditulis bersama Puan Nurulsham Saidin.


Catatan Penglipur Lara Sang Majistret mengandungi 4 cerita. Semuanya berdasarkan pengalaman lucu namun penuh pengajaran ketika penulis bertugas sebagai majistret. Bermula dari kisah dihantar ke Penjara Pudu untuk melihat sendiri bagaimana hukuman sebat dilaksanakan sehinggalah kejadian yang menakutkan  tetapi lucu yang berlaku di rumah MB Kelantan ( Dato' Seri Mohamed Yaacob ketika itu). Keseronokkan membaca cerita beliau sering membuat saya tersenyum, kadang kadang mencetuskan tawa.


Seperti yang dicatatkan di muqaddimah, asalnya pengalaman lucu yang ditulis ini adalah siri-siri catatan beliau di 'wall' Facebook. Status-status tersebut mendapat reaksi positif dari rakan-rakan FB. Kisah-kisah lucu yang berlanjutan menjadi episod panjang itu kemudiannya dibukukan dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd.


Walaupun kisah yang dipaparkan itu mencuit hati, banyak sekali info yang berguna serta nasihat yang boleh dijadikan ikhtibar. Melalui apa yang diceritakan, saya mendapat tahu yang bangsa Melayu, Cina dan India mempunyai cara berbeza dalam menerima hukuman sebat. Dalam rasa seriau boleh pula saya mengekek ketawa. Tak tahulah kalau penulis bercerita secara langsung kepada saya. Mahu putus urat perut!


Okeylah, cakap banyak pun tak guna. Beli dan alami sendiri. Kepada yang suka sangat genre kisah benar, memang patut baca. Jom kita baca sedikit blurp:

Dari Penjara Pudu merentas ke negeri Serambi Mekah, kisah-kisahnya amat menggelikan hati, namun tidak sepi daripada nilai-nilai tarbiah.

Kisah 1

"Zaaapppss," bunyi rotan itu apabila dihayunkan.

"Ayoyo! Amma!" jerit pesalah India itu sambil menangis menyangkakan rotan itu sudah mula dihayunkan kepadanya.

"Oi... belum mula lagilah!" jerit pegawai penjara yang memegang rotan itu sambil disambut gelak ketawa semua pegawai penjara yang ada di situ.

Kami majistret juga semua ketawa.



Kisah 2

Jurubahasa memandang ke arah saya. Saya tidak memberi sebarang reaksi.

"Nak mengaku salah atau nak bicara?" tanya jurubahasa itu lagi.

Sambil menggosok gigi dengan kayu suginya pensyarah itu menjawab dengan nada penuh yakin, tetapi dengan gaya yang agak sombong,

"Saya mengaku pun tak nak, bicara pun tak nak. Ini semua kuasa Allah!"

Jurubahasa terkedu.



Kisah 3

"Saya dengan berpandukan kepada peruntukan di bawah Akta Kastam menjatuhkan hukuman sebanyak... ."

"Gedebummm."

Saya berhenti membacakan hukuman. Mak cik yang tadinya berdiri di kandang pesalah sudah tidak kelihatan.

"Tuan! Mak cik tu pengsan tuan!" jerit jurubahasa sambil bergegas membuka pintu kandang pesalah untuk pergi melihat keadaan mak cik yang sudah terbaring dalam keadaan terkulai tidak sedarkan diri itu.

Mahkamah menjadi riuh-rendah.



Selamat membaca.

Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday, 31 March 2013

[Bukan Resensi Buku] Sudah Tidak Minat


Salam dan selamat berhujung minggu.

Saya perasan sepanjang bulan Mac ini langsung tidak ada apa-apa yang saya tulis. Bukan malas atau sibuk. Saya tahu ada satu rasa yang mula hilang. MINAT.

Orang kata, buatlah sesuatu yang kita minat. Bukan saya tidak minat menulis. Antara membaca dan menulis, saya lebih suka (baca: minat) membaca.

Selalu juga saya dengar-dengar, kalau sudah banyak membaca tentu senang untuk menulis. Tulis sahaja apa yang kita baca.

Haih, masalahnya, apa yang saya baca tidak pula mahu keluar dari minda.

Sekian.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Monday, 11 February 2013

[Resensi Buku] Huyan dan Mimpy





Huyan dan Mimpy 
Nippan


ISBN: 978-967-408-021-1
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
Penterjemah: Iskandar Syah Ismail
Tarikh terbit: 2011
Halaman: 305
Harga: RM17.00 (Sem Msia) RM19.00 (Sabah/Swak)










Salam. Sebelum saya teruskan, saya ingin memberitahu yang novel ini bukanlah pilihan kamu yang sukakan karya urban. Novel ini juga bukanlah pilihan pembaca yang sukakan karya benci-terpaksa kahwin-mula suka-ada konflik terpaksa berpisah-bersatu semula-bahagia dan ada anak comel. Bukan. Novel ini hanyalah kisah biasa dalam kehidupan, namun mempunyai motivasi hidup yang  luar biasa. Bertemakan pengorbanan, kisah ini membawa kita ke satu peringkat yang mana kita menyedari bukan semuanya mempunyai kehidupan yang baik. Malah ada yang perlu bekerja keras hingga ke akhir hayat hanya untuk sesuap nasi. Dengan berbekalkan semangat hidup yang tinggi serta kesabaran, mereka teruskan hidup sambil mencuba untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.


Huyan dan Mimpy dengan tajuk asalnya Butterfly and Flowers merupakan karya terbaik penulis Thailand, Nippan atau nama sebenarnya Makut Oradee. Nippan lebih dikenali di negaranya melalui Huyan dan Mimpy serta telah memenangi anugerah kesusasteraan berprestij di Pesta Buku Kebangsaan Thailand melalui novel ini.  Edisi bahasa melayu ini diterjemahkan oleh Iskandar Syah Ismail dibawah penerbitan  PTS Utama Litera Sdn Bhd. Setakat ini saya amat senang membaca buku terjemahan terbitan PTS dan Zi Publications. Terjemahannya tidak melulu tetapi dilakukan dengan penuh teliti. Dalam edisi terjemahan ini, Huyan dan Mimpy mampu menyentuh hati saya untuk turut berasa belas dengan kepayahan hidup yang watak-watak alami. Saya tidak tahu bagaimana rasanya bila saya mampu membaca karya asalnya. Silap-silap boleh mengalir airmata!


Nippan menggunakan watak Huyan bagi menggambarkan golongan kurang bernasib baik di selatan Thailand. Huyan, seorang remaja muslim yang berhati mulia, terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan. Dia menjual aiskrim dengan pendapatan yang tidak seberapa. Ayahnya, walaupun kesal dengan keputusan Huyan, namun tetap bersyukur kerana mempunyai anak yang bersedia memikul tanggungjawab menyara keluarga. Sementelah, pendapatan dia sebagai pengangkut barang di stesen keretapi semakin berkurangan. Namun pekerjaan sebagai penjual aiskrim tidak mencukupi bagi Huyan. Dia ingin memberi kehidupan yang selesa kepada keluarga dan mampu menyekolahkan dua orang adiknya. Pertemuan semula Huyan dengan Mimpy ( gadis yang selalu membeli aiskrim warna biru sewaktu mereka masih bersekolah) telah membuka lembaran baru dalam hidup Huyan. Melalui Mimpy. Huyan mula berfikir untuk melangkah lebih berani dalam usahanya untuk mengubah kehidupan keluarganya.


Kejadian ayahnya mendapat kemalangan lalu tidak lagi mampu untuk bekerja telah membuatkan Huyan nekad mengikut saranan Mimpy. Maka Huyan mula membabitkan diri dalam penyeludupan beras di sempadan Thailand-Malaysia. Walaupun pekerjaan itu merbahaya, apa pilihan yang Huyan ada memandangkan keperluan hidup yang semakin mendesak. Tambahan, Huyan tidak berpendidikan tinggi.


Saya dari mula telah mengikuti perkembangan Huyan. Huyan satu karekter yang sangat kuat. Malah kisah ini merupakan satu fasa perkembangan seorang remaja menjadi seorang dewasa. Dengan memasukkan unsur pengorbanan, kesetiaan persahabatan, kasih sayang, sifat survivor yang tinggi serta ketaksamaan taraf hidup, Nippan mampu mencuit rasa belas terhadap watak-watak yang ada. Tidak kira watak baik atau jahat, kedua-duanya terus berusaha mengharungi kepayahan hidup dengan tujuan yang sama.


Melalui rakan-rakannya (Mimpy, Adel dan Nakha) Huyan, dari seorang yang sangat naif mula belajar erti kehidupan sebenar. Namun Huyan adalah Huyan. Baginya, kerja sebagai penyeludup beras adalah salah. Terlintas di hatinya untuk berhenti tetapi tidak tahu apa yang perlu dia lakukan untuk menyara keluarganya nanti. Sedangkan dia perlu mengumpul lebih banyak duit untuk membeli basikal aiskrimnya nanti. Impiannya itu dikongsi bersama Mimpy. Saya rasa Mimpy banyak mempengaruhi Huyan dari segi harapan dan impian. Mimpy, dengan power of knowlegde yang dimiliki sentiasa menceritakan apa saja yang dia ketahui. Saya suka dengan watak Mimpy. Karekternya matang dan mengetahui serba serbi apa yang berlaku di sekelilingnya. Dia bukanlah seperti remaja yang akan berfoya-foya biarpun hidupnya agak senang. Berhenti sekolah (menolong ibunya berniaga) tidak menghalangnya dari membaca kerana  dia boleh mendapat segala maklumat.


Kematian Nakha yang tergelincir dari bumbung keretapi ketika menyeludup beras membuatkan Huyan tersentak. Dia mula memikirkan masa depannya. Apa akan jadi sekiranya nasibnya seperti Nakha? Bagaimana pula nanti nasib keluarganya? Kerisauan ini diceritakan kepada Mimpy. Mimpy bersetuju dengan apa yang dirasai oleh Huyan. Dia lalu mencadangkan agar Huyan mengusahakan kebun bunga dan Mimpy sendiri akan menjual bunga. Sebenarnya, bagi saya, ia adalah impian Huyan dan Mimpy dalam merangka masa depan bersama, demi sebuah kehidupan yang lebih jujur serta tidak terbeban dengan perasaan takut atau risau ditimpa kecelakaan sewaktu menyeludup beras.


Banyak yang saya perolehi dari novel ini. Kehidupan yang sukar kadang-kadang membuatkan kita lebih matang, lebih bertanggungjawab, lebih peka dengan keadaan sekeliling serta lebih tinggi sifat survivornya. Ketaksamaan taraf hidup berlaku di mana-mana. Dugaan dan kesengsaraan yang berlaku boleh mengubah kita menjadi baik atau jahat. Seperti kata penulis,” dalam mana-mana agama sekalipun,pasti akan sentiasa wujud golongan ini; golongan yang baik dan jahat. Dan, kedua dua golongan ini, hidup bersama.”


Jadi,untuk kamu yang meminati karya sastera negara lain, tidak rugi sekiranya novel ini menjadi salah satu koleksi peribadi. Mungkin kamu akan mempelajari sesuatu darinya biarpun ia hanyalah karya tentang seorang remaja yang baru hendak mengenal kehidupan.




Selamat malam dan selamat membaca.







Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Friday, 1 February 2013

[Bukan Resensi Buku] Pesta Buku 1 Malaysia 2013 - Shopping Bajet


Salam. Hari ini cuti Hari Wilayah Persekutuan. Yipieee! Apa lagi. Ke PWTC la jawabnya. Shopping buku. Sekarang ni di PWTC berlangsung Pesta Buku 1 Malaysia dari 30hb Jan - 3hb Feb 2013. Saya panggil pameran buku kecil-kecilan. Tapi kecil jangan disangka anak. Walaupun tak segah PBAKL tapi keluar duit juga lah dibuatnya. Mana boleh balik dengan tangan kosong. Ada yang meroyan. Kurang meriah tapi selesa sebab orang tak ramai. Boleh ngada-ngada pusing sampai 60 kali. Kannn... Okey, kata bajet RM100. Kira ini cabaran untuk diri sendirilah supaya tidak berbelanja melebihi had. Dalam kepala dah kira-kira dapat buku dalam 5-6 buah saja. Takpelah, nanti kan ada PBAKL.



Haha. Seperti tak percaya saya dapat 8 buku. Cuma terlebih bajet sedikit disebabkan The Da Vinci Code. Kalau nak tau, masa beli buku ni saya keliru dengan harganya. Macam-macam harga yang dilekatkan. Belek punya belek dapatlah yang hard cover dengan harga RM65. Harga sebenar tak tau sebab ada yang bertanda RM89. Logiknya kita akan ambik yang murahlah kan... Lepas tu dapat lagi diskaun 50 peratus! Masa nak bayar tu tanyalah cashier kenapa harga buku tu lain lain. Kesian dia. Tak tau pun harganya lain-lain. Nasib baik dia tak kisah harga buku yang saya pegang tu. Dapatlah RM32. Lepas dari saya bayar tu terus dia ambil semua buku The Da Vinci Code. Agaknya nak labelkan harga yang betul kut. Apa-apapun terima kasihlah sebab tak kisah saya ambil yang hard cover RM65 tu.





Yang ini saya dapat harga RM8. Rindu Andalusia saya pernah beli lama dulu tapi hilang. Jadi saya beli lagi sekali dengan buku kedua, Cinta Granada. Kisah tentang penderitaan satu keluarga muslim di tengah keruntuhan Kota Cardova. Kisah tentang bagaimana mereka menghadapi kekejaman yang dilakukan oleh orang kristian yang bersembunyi di sebalik 'misi suci'.



Perburuan dari Pramoedya Ananta Toer ini pun saya dapat dengan harga RM8.




Kertasnya dah sedikit kuning. Betul-betul buku lama. Bau pun macam baru keluar dari stor. Hehehe...


Okey, ini cerita tentang buku-buku dari pameran buku di PWTC. Harap-harap dapat dihabiskan sebelum PBAKL 2013. Insyaallah. Baru perasan 6 dari 8 buku tersebut adalah terjemahan. Nampaknya hala tuju pembacaan saya tahun ini adalah buku-buku terjemahan. Dah ada senarai buku dari ITBM untuk dibeli nanti. Tadi tak cukup bajet. Simpan dulu hingga PBAKL 2013 nanti.


Adios.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Saturday, 26 January 2013

[Resensi Buku] Isabella - Terjemahan Dato' Abdullah Hussain



Isabella merupakan sebuah novel bertemakan kajian perbandingan agama Islam dan Kristian. Dengan watak utamanya, Isabella, ia adalah  kisah benar tentang perjuangan seorang gadis kristian yang sentiasa mencari kebenaran dan mengkaji ilmu ketuhanan. Dilahirkan sebagai seorang puteri kepada ketua paderi besar Cordoba, dia dididik dengan ilmu agama yang cukup tinggi sehingga dalam usia yang sangat muda (17 tahun) dia sudah mahir dalam masalah yang berkaitan dengan keagamaan. Isabella juga sentiasa terlibat dalam perbincangan mengenai ilmu ketuhanan. Dikurniakan dengan kecantikan wajah serta peribadi yang anggun, bukan sedikit pemuda-pemuda yang berangan akan Isabella termasuk para bangsawan dan paderi-paderi (bukankah hati mereka harus suci dari nafsu?). Namun cita-cita bapa Isabella  mahu Isabella mengikut jejak Mariam, ibu Nabi Isa, tidak berkahwin hingga ke akhir hayat  serta mengabdikan diri kepada Jesus Kristus.


Namun Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Siapa sangka, dari seorang penganut kristian yang fanatik dan seorang ilmuwan dalam teologi, kini menjadi seorang muslim yang alim dan warak, seorang pentafsir hadis dan seorang wanita islam yang sempurna keyakinannya. Tidak sedikit cabaran yang dilalui untuk menjadi seorang muslim. Namun keyakinannya cukup tinggi terhadap kebenaran Islam. Dia telah menyerahkan seluruh hidupnya ke jalan Allah. Isabella meninggal dunia ketika berusia 80 tahun.


Plot cerita yang berlatarbelakangkan bandar Cordoba, Sepanyol ketika itu menyaksikan bagaimana kisah Isabella bermula. Pada suatu petang, Isabella bersama 4 orang rakannya duduk bersantai di sebuah taman yang terkenal dengan keindahannya. Tidak jauh dari situ, 2 orang pemuda Islam, Umar Lahmi dan Maaz sedang duduk berbincang mengenai keraguan dalam dasar ajaran agama kristian. Mereka begitu asyik berbincang sehingga tidak menyedari Isabella dan rakan-rakannya telah mencuri dengar. Isabella mendengar dengan penuh minat  dan cuba mencari jawapan pada persoalan Umar. Dia bertanya kepada ayahnya, gurunya malah mencari jawapan dalam kitab injil namun buntu. Hatinya mula timbul rasa ragu dengan dasar ajaran kristian. Untuk menghilangkan rasa ragu itu, Isabella mengemukakan cadangan agar diadakan perdebatan di antara cendekiawan islam dan kristian.  Semoga keraguan terhadap doktrin ajaran kristian hilang malah Isabella berniat untuk menarik Umar dan Maaz memeluk agama kristian sebagai pengajaran kepada umat Islamyang lain.


Dalam perbincangan pertama, Umar Lahmi meminta penjelasan tentang mengapa St Paul telah mengatakan yang hukum agama itu suatu kutukan. Adakah ianya benar-benar suatu kutukan ataupun tidak? Namun tiada jawapan pasti yang diperolehi kerana Father Peter sentiasa memberikan jawapan yang berbelit-belit. Perbincangan kemudiannya ditangguhkan ke keesokkan harinya. Disebaliknya pertemuan yang tertangguh itu, paderi-paderi mula berbalah sesama sendiri.


Isu perbincanga kedua telah ditetapkan oleh Father Peter. Ianya berkenaan ketuhanan Kristus dan penebusan dosa. Umar Lahmi memulakan perbincangan dengan membaca beberapa potong ayat Al-Quran. Ketika inilah sesuatu telah berlaku pada Isabella. Wajah Isabella kemerahan dan beberapa titik air matanya jatuh meleleh di pipinya yang merah bersih itu. Kerana terlalu terpesona dengan bacaan ayat suci itu, Isabella terjatuh dari kerusi. Hal ini menyebabkan para paderi mula menyangka yang Isabella sudah mula terpengaruh dengan Islam.


Situasi menjadi lebih teruk bila kedua-dua paderi yang cukup dihormati, Father Peterdan Father Michael, tidak berupaya menjawab soalan-soalan Umar walaupun ianya dari Kitab Injil itu sendiri. Ini merupakan tamparan yang cukup hebat sehinggakan mereka mula mengkritik dan menghina ajaran Islam. Keadaan di dalam gereja itu bertambah ribut bila Isabella menyebelahi Umar Lahmi (yang merasakan para paderi itu tidak profesional dalam menangani soal ketuhanan). Father Michael mula memarahi Isabella sehingga mengatakan yang fikiran Isabella dan rakan-rakannya telah dirasuk syaitan dan kemungkinan telah murtad.


Nasib baik ayah Isabella masuk sebelum keadaan bertambah buruk. Ketua paderi itu menempelak para paderi  serta pertemuan yang diadakan itu. Dia merasa malu dengan ketidakupayaan paderi-paderinya berhujah dan menganggap ia hanya akan menganggu kepercayaan orang kristian. Kemarahannya reda bila dipujuk oleh seorang paderi muda dengan alasan yang munasabah bahawa apa yang mereka lakukan adalah untuk menunjukkan kebenaran kepada orang-orang Islam yang dianggap kafir itu, dan berharap mereka kembali ke jalan kebenaran. Setelah terpujuk, ketua paderi itu menjemput Umar Lahmi serta cendekiawan Islam yang lain ke rumah untuk pertemuan seterusnya. Biar segala masalah dapat diselaesaikan dengan baik dan bijaksana serta kebenaran tentang soal ketuhanan mereka akan terjawab.


Pertemuan ketiga juga tidak seperti yang diharapkan. Persoalan mengenai Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus menjadikan perbincangan semakin tidak menyebelahi pihak gereja. Umar Lahmi dengan yakinnya menolak segala dasar ajaran kristian. Umar Lahmi mengatakan yang Kitab Injil mereka adalah palsu atau kitab asal yang telah dimanipulasikan demi kepentingan diri sendiri. Tidak dapat menahan asakan dari Umar Lahmi, Ketua paderi menhalau Umar Serta rakan-rakannya lalu meninggalkan perbincangan itu. Perkara  itu telah menjadi buah mulut di kalangan penganut kristian yang terkejut dengan sikap ketua paderi mereka.


Sejak itu, pegangan Isabella mula goyah bila dia dapat melihat walaupun belum yakin bahawa agamanya seakan-akan tidak mempunyai dasar dan prinsip yang kukuh. Dia mula menumpukan perhatiannya mengkaji isi Kitab Injil dan Al-quran secara senyap. Dia membuat perbandingan untuk mencari yang mana satu di antara kedua agama itumempunyai kebenaran yang hakiki dan yang mana pula di antaranya yang tidak benar. Dia turut menemui Umar Lahmi untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas semasa membuat perbandingan itu. Hati Isabella mula tunduk kepada Islam namun untuk menukar agamanya adalah sesuatu yang amat sukar. Namun kerana perasaan yang begitu kuat untuk mencapai kebenaran yang terbentang, Isabella nekad memeluk Islam. Terlalu banyak kepincangan yang dilihatnya baik dari ajaran kristian mahupun kehidupan para paderi dan biarawati itu sendiri. Sehinggakan andai diselak kain dan jubah yang dipakai maka akan ternampaklah kudis-kudis busuk di badan masing-masing. Walaupun merahsiakan keislamannya, khabar angin  tetap bertiup kencang. Nyawa Isabella mula terancam.


Apabila dirasakan Isabella sudah tidak dapat dibimbing kembali ke dalam kristian, satu konspisari dibuat. Isabella diculik dan dibawa ke sebuah rumah lalu dikurung di bawah tanah. Isabella dipaksa menjalani satu inkuisisi. Dia diseksa dan dihina namun keimanan Isabella sedikit pun tidak berganjak. Kehilangan Isabella akhirnya sampai kepada orang Islam. Mereka berpakat untuk menyelamatkan Isabella. Satu rancangan telah diatur dan operasi menyelamat itu dilakukan oleh 4 orang sahabat Isabella dengan bantuan orang Islam yang lainnya. Sekali lagi pihak gereja menerima tamparan hebat bila Isabella berjaya diselamatkandengan begitu mudah. Setelah diselamatkan, Isabella dan sahabat-sahabatnya mendapat perlindungan dan dikawal ketat oleh pengawal-pengawal Islam. Mereka mempelajari Islam dengan lebih mendalam dan turut diajar bahasa arab. Beberapa tahun berlalu, Isabella telah menjadi seorang penganut agama Islam yang berhemah tinggi dan diberi gelaran sebagai muhaddis di Cordova.


Usai sahaja membaca, saya menarik nafas. Hati saya amat terkesan dengan watak Isabella. Seorang yang cintakan ilmu, seorang yang mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap agamanya, seorang yang berani demi kebenaran, malah langsung tidak gentar menghadapi seksaan fizikal dan mental kerana percaya Allah sentiasa di sisinya. Risikonya tinggi bila dia memeluk Islam di mana dia tidak lagi dipedulikan oleh ibunya. Ayahnya yang  mementingkan kuasa dan kedudukannya sebagai ketua paderi hanya membiarkan anaknya ditangkap untuk menjalani inkuisisi. Dia dibenci oleh para paderi dan biarawati. Namun sahabat-sahabat Isabella tetap berada di sampingnya. Demi persahabatan, mereka sanggup mengadaikan nyawa demi menyelamatkan Isabella. Akhirnya mereka ikut memeluk Islam.


Bagi saya, buku ini memang harus dibaca. Banyak yang kita perolehi dari novel yang diterjemahkan oleh Dato’ Abdullah Hussain ini. Karya asal ditulis oleh Maulana Muhammad Saeed Dehlvi dalam bahasa Urdu.  Mesej yang disampaikan juga cukup jelas iaitu Islam adalah agama yang benar.





Isabella (terjemahan Dato' Abdullah Hussain)
Maulana Muhammad Saeed Dehlvi

Penerbit: Pelima Media Sdn Bhd
Tarikh terbit: 2011
Halaman: 271
Harga: RM16.00



Dato' Abdullah Hussain dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Beliau merupakan seorang sasterwan negara dan pernah dianugerahkan S.E.A Write Award di Bangkok pada tahun 1981. Selain itu, Dato' Hussain diberi Anugerah Sasterawan Negara (1996), anugerah Dato' Setia Diraja Kedah serta Anugerah Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara. Kedua-dua nugerah itu membawa gelaran Dato'.  Karya yang ditulis beliau juga banyak. Antara yang penting adalah Interlok dan Terjebak. Novel Isabella telah menarik perhatian beliau sewaktu melihat-lihat buku di Kedai Buku USM pada tahun 1980. 







Selamat membaca.



Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Wednesday, 9 January 2013

[Resensi Buku] Madu-maduku Gangster Dalam Madu Tiga Suku




Madu Tiga Suku
Saidee Nor Azam

ISBN: 978-967-408-035-8
Penerbit: PTS Litera
Tarikh terbit: 5 Nov 2012
Halaman: 240
Harga: RM16.00
Amaran: 
Jangan naik angin apabila membaca blurb ini. Kisahnya bermula apabila Jamilkhan dapat kahwin kali kedua tanpa diduga. Begitu juga perkahwinan ketiga, dapatnya tidak disangka-sangka.
Ada yang memasang jerat papan berpaku. Ada yang dipakaikan masker bercampur dengan cecair pencuci tandas. Ada pula yang tertipu dengan ubat cula biawak komodo.
Si Jamilkhan pula sungguh gembira apabila mendapat satu hadiah di luar jangkaannya. Namun hadiah itulah yang membuatkan dia hampir putus nyawa!


Salam. Hai. Kalau hendak bercakap tentang hidup bermadu, belum habis tanya lagi perempuan dah melenting. Silap-silap si penanya makan penampar. Itu tak apa lagi. Takut nanti ada yang kena simbah dengan asid. Belum kahwin lagi dah masuk hospital. Gila sensitif isu tu! Tiada wanita yang sanggup dimadukan hatta berkongsi kasih kecuali atas sebab kukuh yang membawa kepada kerelaan hatinya untuk bermadu. Di mana-mana pun, isu poligami ini pasti jadi hangat jika dibahaskan. Panas. Sepanas mentari. Baik untuk sebahagian orang, bencana untuk sebahagian lagi.

Kisah inilah yang dimasukkan oleh Wan Azlan dalam novel ini. Sebagai penulis novel parodi, kali ini beliau menggunakan asas cerita filem "Madu Tiga", sebuah filem kalau ditonton 100 kali pun tetap membuat kita gelak tergolek-golek!

Novel parodi? Apa tu? Sila google!

Okeylah, okeylah! Saya beritahu sikit je. Ringkasnya, karya parodi adalah karya baru yang meniru karya yang sedia ada dengan cara yang melucukan atau menyindir mengikut pengalaman pengarang itu sendiri. Lebih kurang begitu maksudnya. Saya pun google juga tau! Jadi, bila menikmati Madu Tiga Suku ini saya tidak boleh tidak terbayangkan gelagat P Ramlee dan madu-madunya.

Dengan menggunakan nama watak yang lebih kurang sama, Jamilkhan merupakan seorang pegawai bahagian  Undang-undang Keluarga di Pejabat Agama Daerah Marang.  Dia mengahwini Liafara tetapi tidak dikurniakan anak. Sebagai seorang pegawai agama, tentunya Jamilkhan banyak  berdepan dengan pelbagai masalah rumahtangga para pelanggannya. Pada suatu hari, Jamilkhan didatangi oleh seorang janda, Hasnina. Hasnina datang untuk mengadu betapa menyesalnya dia kerana berpisah dengan suaminya. Dia masih lagi merindui bekas suaminya itu dan menyatakan keinginan untuk rujuk kembali. Namun... 

"Awak rujuklah semula dengan suami awak," kata Jamilkhan.
"Tidak boleh. Sebab dia sudah jatuhkan talak tiga," kata Hasnina. Airmatanya kembali berlinangan. (m/s 21)


Hasnina tidak boleh rujuk semula dengan bekas suaminya kerana dicerai talak tiga. Jamilkhan tidak dapat membantu apa-apa. Dalam situasi tertekan itu, Jamilkhan secara bergurau memberi cadangan agar Hasnina berkahwin dengannya. Tanpa disangka Hasnina setuju. Jamilkhan rasakan bagai bulan jatuh ke riba! Maka, Jamilkhan dan Hasnina pun berkahwin. Tanpa dijangka, pada malam majlis perkahwinan Jamilkhan, Liafara turut hadir kerana menemani rakannya. Apa lagi. Kecohlah jadinya! Ingat lagi babak kekecohan majlis perkahwinan Jamil dan Hasnah dalam Madu 3? Kelakar kan? Dari malam itu, bermulalah bencana hidup Jamilkhan bila kedua-dua isterinya sering mengenakan antara satu sama lain. Bagai anjing dengan kucing. Masing-masing dengan agenda jahatnya. Dapat dilihat di sini yang Jamilkhan hilang arah dalam mengawal perlakuan isteri-isterinya. Ingat poligami ni senang Jamil? Hahaha...

Jodoh itu di tangan Tuhan. Dalam masa isteri-isterinya sibuk bercakaran siang malam, rupanya Jamilkhan telah berkahwin lagi untuk kali ke-3. Kali ini dengan Rudjini. Sebelum itu, untuk mengelak dari diketahui isteri-isterinya, Jamilkhan mengambil keputusan untuk bernikah di Siam. Namun membatalkan niatnya kerana mendapati agen yang menguruskan nikah kahwin itu menipu. Maka, perkahwinan mereka dijalankan di kampung Rudjini sahaja.


Okey, seperti mana jalan cerita Madu Tiga, itulah yang berlaku dalam novel ini. Ada babak kejar-mengejar antara ketiga-tiga madu dan Jamilkhan bila sudah bocor rahsia. Tetapi dalam novel ini babak kejar-mengejar itu tidak berakhir di sungai. Jamilkhan berjaya melarikan diri. Sudah penat dipermainkan, Liafara, Hasnina dan Rudjini mula merancang sesuatu untuk memberi pengajaran kepada suami mereka. Mereka ingin memberi sesuatu sebagai hadiah hari jadi Jamilkhan yang bakal tiba. Hadiah memberi kebenaran untuk kahwin kali ke-4!!! Bermulalah persiapan rapi dari mencari calon isteri hingga kepada menguruskan majlis perkahwinan. Siapakah isteri ke-4 Jamilkhan? Adakah rancangan itu berjalan dengan lancar atau keadaan menjadi sebaliknya?  Saya tinggalkan kepada pembaca untuk mengetahuinya sendiri.

Ha... biar Abang Jamil rasa bagaimana 'seronoknya' apabila dimain-mainkan Macam orang putih kata; what you give, you get back," kata Rudjini akhirnya.. Mereka pun ketawa lagi sepuas hati. (m/s 211)

gambar google


Nama Wan Azlan saya kenal melalui novel parodinya bertajuk Ahmad Alkebab - karya pertama beliau bersama PTS. Wan Azlan dilahirkan pada 1 Julai 1979 di Kuala Terengganu. Beliau yang kini bertugas sebagai pegawai pelayaran mula menulis sejak tahun 2010. Berada berbulan-bulan lamanya di lautan memberi kelebihan kepadanya dalam berkarya. Bertekad untuk melebarkan sayapnya dalam dunia penulisan Malaysia, beliau memilih karya parodi memandangkan karya tersebut masih kurang di pasaran. Bermula dengan asas filem P Ramlee untuk kedua-dua novelnya, kini Wan Azlan dalam proses menghasilkan novel ke-3 iaitu Nujum Pak Belukang. Semoga Wan Azlan terus sukses dalam bidang penulisan ini.








Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Sunday, 6 January 2013

Hingga Hujung Waktu



HINGGA HUJUNG WAKTU
Saidee Nor Azam


ISBN: 978-967-0342-85-6
Penerbit: Buku Prima
Tarikh terbit: 2012         
Halaman: 659
Harga: RM25.90











Salam. Selamat tahun baru bookworms sekalian. Petang tadi bila saya mendapat tahu yang buku RAM terbaru sudah ada di Popular Wangsa Walk, terus saya bergegas ke sana. Ambil-bayar-balik. Puas hati. Maknanya itulah buku yang pertama saya beli tahun ini. Saya tidak mahu publish buku itu di sini kerana entri ini khas untuk review ‘Hingga Hujung Waktu’. Tapi saya rasa bookworms Malaysia pasti sudah tahu mengenai karya terbaru RAM – Aku Bercerita. Kepada yang sudah pun dapat buku tersebut, selamat membaca. Tapi jangan review dulu ya. Saya takut ada yang terjun bangunan sebab belum dapat buku dari penulis yang hangat di pasaran itu.


Hehe.


Kembali kepada topik. Hingga Hujung Waktu saya tamatkan pada malam tahun baru. Buku penutup tahun 2012. Baru sekarang nak review. Nampak? Nampak sikap suka bertangguh saya? Tak dapek den nak nolong.  Novel ini Saidee Nor Azam yang punya. Eh, kenapa bunyi macam cerita Ahmad Albab? Abaikan. Tak kelakar pun okey. Tapi tak perlu kerut dahi. Baca saja dengan tenang. Tidak silap saya, ia adalah novel pertama Saidee. Dibeli masa Alaf21 buat karnival. Memang saya muka diskaun. Maaflah tu!


Mungkin ada yang kata novel ini seram sebab ada hantu yang ingin membalas dendam. Mungkin ada yang kata ini novel aksi-thriller-misteri-cinta. Terpulang. Cuma pada saya ia tidak mendatangkan rasa seram. Mungkin kerana saya kurang dipengaruhi rasa takut pada sesuatu yang tidak nampak depan mata. Tapi saya suka bab yang ada lawan-lawan tu. Biasalah, bila baca bab gaduh-tumbuk-sepak-terajang adrenaline pun naik sekali.


Okey, kisah Hingga Hujung Waktu digerakkan oleh misteri sebuah jam antik di Mahligai Cahaya – rumah agam tiga tingkat milik Datuk Osman dan Datin Shamsiah. Jam antik itu akan berbunyi seperti suara perempuan menjerit tepat pukul 12 tengah malam, dan hanya berlaku pada setiap malam jumaat sahaja. Ada cerita disebalik kejadian itu. Klise cerita seram, hantu itu semestinya roh yang tidak tenang. Plus, mesti mangsa itu mati dibunuh dan mayatnya tidak disempurnakan dengan sewajarnya. Maka jadilah ia hantu yang membalas dendam.


Di sini, hantu itu adalah Ayu Aleya yang mati dibunuh oleh Zulkefli, orang suruhan Datuk Osman. Ayu Aleya merupakan perempuan simpanan Datuk Osman. Ini kes cemburu. Mayat Ayu Aleya disembunyikan di dalam sebuah jam antik dan berada di situ selama 4 tahun!!! Datuk Osman dan Zulkefli (suka pada Ayu dalam diam) cemburu bila Ayu Aleya dan Irfan menyintai satu sama lain.  Untuk menghalang hubungan tersebut, Datuk Osman telah menghantar Irfan ke Australia dengan alasan menjaga perniagaannya di sana. Semasa di sanalah, Irfan diberitakan yang Ayu telah hilang tanpa dapat dikesan.


Okey, Saidee Nor Azam menggunakan penceritaan imbas kembali untuk menghubungkaitkan perkara yang berlaku. Ia dilakukan dengan sangat teliti dan terperinci. Jadi tidak ada sebab untuk pembaca rasa keliru bila baca sekejap ke belakang sekejap ke depan. Datuk Osman menganggap Irfan Rushidi sebagai anak sendiri sementelah dia dan isterinya tidak memiliki anak. Datuk Osman telah mewariskan segala hartanya kepada Irfan. Selepas kematian Datuk Osman, Irfan terpaksa kembali ke Malaysia untuk menguruskan beberapa perkara termasuk mencari Ayu Aleya yang dikatakan hilang. Pencarian itu dibantu oleh Rashdan, seorang penyiasat persendirian. Di sinilah mula terbongkarnya rahsia demi rahsia sehingga menjadi kes polis. Sisi gelap Ayu Aleya mula diketahui dan kematiannya pula mengundang rasa kecewa di hati Irfan. Inspektor Maria yang mengendalikan kes ini pula mula menaruh hati pada Irfan namun hanya bertepuk sebelah tangan.


Irfan mengambil keputusan untuk kembali ke Australia. Di sana dia bertemu dengan Nur Fazura yang mirip wajah Ayu Aleya. Cinta di hati Irfan berputik kembali. Namun dia tahu Nur Fazura bukanlah Ayu Aleya. Kerana itu dia mengambil keputusan untuk mengahwini Nur Fazura yang menyintainya sepenuh hati. Berjayakah mereka menyulam kasih hingga hujung waktu? Baca sendiri okey. Kalau saya cerita takut akan sama tebal dengan novel ini.


Pada saya Saidee ini menulis dengan penuh teliti. Plot, watak dan latar diceritakan dengan penuh terperinci tanpa tertinggal sedikit pun. Kalau ada yang tertinggal Saidee akan menceritanya secara imbas kembali pula. Ia seperti kalau ada barang yang terjatuh, Saidee akan berpatah balik dan kutip supaya semuanya lengkap bila sampai ke hujung. Tidak hairanlah novelnya mencecah 659 mukasurat! Namun ia bukanlah sesuatu yang membosankan. Minda seakan-akan memaksa mata untuk mengikuti setiap bait ayat tanpa mahu ada satu pun tertinggal. Tiba-tiba saya rasa saya membaca dengan penuh tertib, sama seperti ketika saya membaca novel terjemahan. Perasaan yang sama.


Okeylah, sudah sampai masanya untuk saya menikmati karya Ramlee Awang Murshid yang terbaru pula. Tapi sebelum tu saya ada draf review untuk novel parodi 'Madu Tiga Suku' oleh penulis Wan Azlan. Sudah siap nanti saya publish, okey?



Selamat membaca dan selamat malam.




Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Friday, 21 December 2012

[Resensi Buku] Kenapa Kalau Kisah Psycho Mesti Guna Topeng Putih Ni? MENTAL Shaz Johar boleh jawab tak?






MENTAL
Shaz Johar

ISBN: 978-967-0374-18-5
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh terbit: November 2012         
Halaman: 299
Harga: RM19.90











Salam. Masih lagi bercakap-cakap perihal hari kiamat? Good, kerana kerana bila bercakap tu hati mula nekad untuk bertaubat. Bukan hanya borak-borak kosong. Ingat, kiamat tetap datang. Cuma kita tidak tahu bila harinya kerana itu rahsia Tuhan. Well, tak perlulah you all sibuk-sibuk nak google, mengkaji atau membaca sampai bengkak mata semata-mata mahu mendapatkan maklumat setepatnya bila hari kiamat tu berlaku. Rahsia Allah tetap rahsia Allah.


Okey, okey, okey. Terlebih suda lah kan... Well, saya nak tanya, kenal Shaz Johar? Atau ingat lagi dengan Shaz Johar? Mental adalah buku ketiga beliau. Sebelum ini Shaz Johar telah pun menghasilkan Kougar dan Tabu. Bagi saya Mental adalah buah tangan beliau yang terbaik. Walaupun agak mengelirukan, tapi idea beliau dalam Mental tidak boleh dipandang ringan. Tabik tanpa henti untuk beliau!


Pada mereka yang hendak mengenali Shaz Johar dengan lebih dekat, pergi sahaja ke blog beliau. Ala... Bukan susah pun. Klik sahaja di sini.


Di mana saya hendak bermula ya? Well, novel ini sering menganggu ketenangan saya. Bila sudah mula baca, saya langsung tidak boleh berhenti. Semuanya kerana rasa ingin tahu apa yang tidak kena dengan Maya? Atau keluarga Kosygin?  Atau keluarga di kampung? Atau orang –orang lain? Mental? Sesuailah dengan tajuknya. Tapi siapa yang mental sebenarnya? Wah, banyak soalan tu. Oleh kerana darah CSI saya membuak-buak, saya mula menyelak-nyelak halaman belakang untuk tahu mencari jawapan.


Okey, itu memang habit saya bila baca novel. Sesekali saya akan baca bahagian belakang untuk menjawab persoalan kepada ‘sesuatu’ yang saya ingin tahu sangat-sangat. Sesetengah orang mesti kata, tak best  buat macam tu. Dah rosak mood sebab dah tau jalan cerita. Well, saya sebenarnya tidak kisah. Saya juga tidak kisah pada mereka yang  dipanggil ‘spoiler’. Bila sudah dapat jawapan, nah, barulah saya dapat membaca dengan senang hati.


Apa jawapan yang saya cari dari belakang novel ini? Silalah dapatkan naskah ini secepat mungkin. Malam ini saya memang nak masukkan entri seringkas mungkin. Bukan tidak mahu berkongsi tapi saya rasa novel ini agak mencabar dan saya mahu kamu pun turut merasainya nanti. Biasalah, genre psycho-thriller memang begini. Lain yang kita agak, lain yang jadi. Kan Shah Johar kan?


Selamat malam semua. Sebelum tidur jangan lupa baca doa.





Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives

Tuesday, 18 December 2012

Himpunan Kisah Thriller Dalam Jiwa Kacau




Antologi Jiwa Kacau

Elee Mardiana, Attoks Dikulgai, Lyn Dayana, Dhiya Zafira, Salina Salleh

ISBN: 978-983-124-785-3
Penerbit: Alaf 21
Tarikh terbit: 2012         
Halaman: 552
Harga: RM22.00




Salam. Apa khabar bookworms sekalian. Sudah habis membaca atau buku dah tutup muka? Good. Mesti ada yang begitu sibuk hingga  tidak sempat langsung untuk menyelak hatta satu muka surat pun. Faham. Maklumlah sekarang kan cuti sekolah. Hujung tahun pula tu. Masa untuk clearkan saki baki cuti tahunan. Pada mereka yang bercuti, selamat bercuti tapi jangan abaikan keselamatan diri, okey.

Now,kita kembali kepada resensi buku. Walaupun  sibuk menjadi tourist guide untuk keluarga yang datang bercuti, saya tetap berjaya menghabiskan satu novel antologi. Tajuk di atas ya. Ia mengandungi 5 kisah yang ditulis oleh 5 orang penulis.  Namun hanya 3 daripadanya yang saya kira mantap. Bookworms, jangan sentap dulu ya. Sesuai dengan tajuknya,  semua kisah berkisar tentang manusia yang jiwanya kacau. Whooo...jiwa kacau. Satu situasi yang rumit untuk ditangani sendirian sebenarnya. Mungkin akan berakhir dengan positif dan mungkin juga negatif. Bergantung kepada individu  itu sendiri dan juga sokongan orang terdekat.

Jom kita review satu persatu. 




TRAGEDI DI LAMPU ISYARAT – Elee Mardiana

Penulis ini telah berjaya menghasilkan banyak  novel. Kalau tidak silap ada 6 novel bersama Alaf21 (2 adalah genre fantasi). Tragedi Di Lampu Isyarat ini membawa kita kepada seorang gadis mat saleh iaitu Rita. Sejak pulih dari satu kemalangan (berlaku berdekatan dengan tempat tinggalnya di New York) yang meragut nyawa kedua orang tuanya serta seorang lagi mangsa (Juliana), Rita sering diganggu suara Juliana yang memintanya untuk mencari pembunuh adiknya, Johanis. Rita nekad untuk membantu dengan meninggalkan segala yang dimilikinya di New York lalu berpindah ke Malaysia. Di Malaysia, dia memulakan pencariannya bersama sama Atikah, kawan baik Juliana. 

Di Malaysia, Rita bertemu pula dengan Mukhlis yang dia syaki ada hubung kait dengan kematian Johanis. Dari situ, Rita memulakan rancangan untuk memerangkap Mukhlis dengan harapan dapat menemui mayat Johanis. Untuk menjayakan rancangannya, Rita mengahwini Mukhlis (hmmm..tak ada ke cara lain? Kahwin juga yang dia nak!). Berjayakah Rita membuat Mukhlis mengaku? Itu kena baca sendiri. Saya malas nak beritahu.

Okey, cerita ini pada saya so-so saja. Mungkin kerana kisahnya pendek maka jalan ceritanya kurang mantap. Maklumlah, idea jadi terhad. Banyak 'lubang' yang saya temui. Namun saya suka pada permulaan ceritanya. Terasa thrill-nya di situ. Kalaulah betul manusia ada kelebihan mendengar bisikan dari orang mati dibunuh, tentu dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan kes pembunuhan kan? Penjenayah pun takut. Mana tidaknya bila tiba -tiba kita tuding jari kata "dia yang bunuh". Hehe.. Kita ke next story pulak.



MENARI DALAM DUKA - Attoks Dikulgai

Ini adalah kali pertama saya membaca hasil tulisan penulis ini. Saya mengenali nama Attoks Dikulgai sebagai penulis aliran indie. Bagaimanapun saya tidak pernah lagi membaca mana-mana karyanya. Mungkin selepas ini. Menari Dalam Duka bagi saya amat menarik. Malah telah mendedahkan saya kepada maklumat yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini dan ia merupakan salah satu daripada 3 kisah yang saya gemari dalam siri antologi ini. Ianya boleh saya kategorikan sebagai thriller aksi ala-ala filem gangster Hong Kong.

Hmmm...saya perasan ayat-ayat saya di atas agak panjang. Maklumlah, teruja lebih. Tapi tak apa kan? Okey, kisahnya berkenaan dengan Arzam Domino, Ghazeem dan sedikit pemanis cerita iaitu Tria. Mereka ini anak yatim yang dibesarkan oleh Tuan D (Godfather). Cuma Arzam dan Ghazeem yang terlibat dengan aktiviti jenayah yang dijalankan oleh Tuan D. Nama pun dunia jenayah, tiada yang jujur. Berlaku pengkhianatan dalam organisasi. Ghazeem yang gila kuasa telah berpaling tadah untuk menjatuhkan Tuan D serta merampas teritory yang dipegang oleh Tuan D selama ini. Pengkhianatan Ghazeem bukan setakat terhadap Tuan D, malah juga kepada Arzam. Disebabkan itu Arzam ‘tercampak’ jauh dari kehidupan jenayah yang dia lalui selama ini. Apa yang berlaku kepada Arzam? Itu kena beli dan baca sendiri ya.



DENDAM BUNGA DAHLIA - Lyn Dayana

Teringat saya dengan filem 'I Know What You Did Last Summer'. Kisah  psiko thriller ringan yang dapat diagak penamatnya. Kisahnya diolah dengan teratur dan setiap watak yang terlibat mempunyai 'cerita' sendiri. Ia membolehkan kita mengikuti perkembangan setiap watak yang ada dan dengan gaya penulisan sebegini membolehkan saya membacanya dengan cepat.. Kisah ini juga antara yang saya suka. Namun watak si psiko kurang didedahkan.

Dania, Tihani dan Eda bertemu kembali setelah 10 tahun berpisah. Dulunya mereka berkawan baik. Selepas habis SPM mereka bersama-sama rakan lain bercuti ke Cameron Highland. Namun percutian bertukar malapetaka apabila Halil bunuh diri kerana cintanya ditolak oleh Dania. Errr...rapuhnya alasan untuk bunuh diri. Kini selepas 10 tahun mereka bertemu kembali tapi dalam situasi yang amat dingin. Masing-masing tidak menyukai satu sama lain sehingga mereka menjadi subjek seorang pembunuh bersiri. Disebabkan hal ini hubungan mereka mula rapat. Lebih kepada untuk melindungi diri dan mencari punca kenapa mereka diburu pembunuh bersiri itu. Siapakah pembunuh bersiri itu kepada mereka? Dan mengapa mereka diburu?



BURU BAYANGAN LUKA - Dhiya Zafira


Apa rasanya bila orang tuduh kita gila padahal kita tidak gila? Tapi orang akan kata pula yang orang gila tak akan mengaku dia gila. Betul tak? Hehe.. Okey, Azalea pernah masuk hospital gila kerana beberapa kali cuba untuk membunuh diri. Kematian bapanya telah meninggalkan kesan mendalam terhadap mental Azalea. Harta yang ditinggalkan ayahnya tidak mampu untuk memulihkan Azalea sehingga dia mula berhalusinasi ada orang yang ingin membunuhnya. Apakah benar Azalea berhalusinasi?

Kisahnya best sangat untuk dibaca. Saya pernah baca novel beliau bertajuk 'Hati Bergetar Rindu'. Best tau! Nanti saya akan cuba dapatkan novel beliau yang lain pulak. Tapi apa-apa pun baca yang ini dulu. Sayangnya halaman bukunya terhad. Kalau dikembangankan sudah tentu akan menjadi sebuah novel suspen-thriller-cinta. Eh?



CINTA BERDARAH - Salina Salleh


Hmmm...bagaimana saya nak rumuskan kisah yang terakhir ini ya? Saya tidak tahu di mana hendak bermula kerana jujurnya saya langsung tidak faham apa yang ingin diceritakan. Mungkin minda saya tidak cukup bijak untuk mentafsir apa yang ingin disampaikan penulis. Harus makan supllement penguat minda kot!

Bagi saya ia kisah gila, segila watak Helmi. Saya yang membacanya hampir juga gila. Ingin saja saya mencarik-carik halaman kisah ini kerana  'blur' dengan apa yang diceritakan. Kasihan!



Okey bookworms. Walaupun malam masih muda tapi mata sudah mula mengantuk. Jadi, saya layan mata dulu ya. Silalah membaca dengan rasa bahagia. Selamat malam semua.






Entri Asal Disini Butang Like Facebook untuk Setiap Entri | BLOG ARCX13.COM Under Creative Commons License: Attribution Non-Commercial No Derivatives
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...